backup og meta

Hah, Jantung Boleh Membengkak? Ketahui 10 Penyebab Utama Jantung Menjadi Besar!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 06/02/2024

    Hah, Jantung Boleh Membengkak? Ketahui 10 Penyebab Utama Jantung Menjadi Besar!

    Pernahkah anda dengar mengenai penyakit jantung membengkak? Jantung bengkak atau cardiomegaly bukanlah sejenis penyakit dan selalunya berlaku disebabkan kondisi lain. Namun, apakah punca jantung bengkak?

    Terma cardiomegaly merujuk kepada saiz jantung yang semakin membesar atau membengkak. Ia dapat dikesan ketika melakukan ujian X-ray.

    Walau bagaimanapun, punca jantung bengkak perlu diperiksa dengan lebih lanjut menggunakan beberapa ujian lain.

    Ingin tahu lebih lanjut mengenai penyakit jantung bengkak serta puncanya? Mari ikuti penjelasan kami di bawah.

    Baca lebih lanjut tentang Kesihatan Jantung di sini.

    Apakah maksud jantung bengkak?

    punca jantung bengkak
    Jantung yang bengkak tidak boleh dipandang ringan.

    Seperti namanya, penyakit jantung membengkak (cardiomegaly) bermaksud saiz jantung yang lebih besar daripada normal.

    Untuk pengetahuan anda, jantung boleh membesar jika otot bekerja dengan kuat sehinggakan ia menebal dan kamar jantung membesar.

    Jantung membengkak boleh berpunca daripada stres jangka pendek terhadap badan seperti kehamilan, atau penyakit seperti lemah otot jantung, penyakit arteri koronari, masalah injap jantung dan aritmia.

    Jantung boleh membengkak dengan dua cara:

    1. Dilatation – Dinding jantung menjadi nipis dan lemah ketika jantung menjadi semakin besar. Pembengkakan jantung jenis ini boleh menyebabkan kegagalan jantung.
    2. Hypertrophy – Dinding jantung membengkak dan menyebabkan jantung menjadi kurang efisien. Kondisi ini sering terjadi kepada atlet dan wanita mengandung yang menggunakan jantung secara berlebihan.

    Punca jantung bengkak

    Sebenarnya, ada banyak punca di sebalik penyakit ini. Antaranya ialah:

    1. Tekanan darah tinggi

    Tekanan darah tinggi atau hipertensi merupakan salah satu punca jantung bengkak. Penyakit ini memaksa jantung untuk mengepam darah dengan lebih kuat ke seluruh badan dan menyebabkan otot jantung menjadi tebal.

    punca jantung bengkak
    Antara perkara yang boleh sebabkan bacaan darah tidak tepat.

    Selain itu, hipertensi juga boleh menyebabkan ventrikel kiri untuk membesar dan menyebabkan otot jantung menjadi lemah. Tekanan darah tinggi juga boleh menyebabkan kamar jantung bahagian atas menjadi besar.

    2. Penyakit injap jantung

    Di dalam jantung kita, terdapat 4 injap yang berfungsi untuk memastikan darah mengalir mengikut arah yang betul.

    Walau bagaimanapun, jika injap ini tercedera oleh kondisi seperti demam reumatik, jangkitan, degupan jantung tidak tetap (aritmia), rawatan kanser atau ubat-ubatan tertentu, jantung anda berisiko untuk membengkak.  

    Bukan itu sahaja, injap yang tidak berfungsi dengan baik juga akan menyebabkan darah tidak dapat mengalir dengan betul. Oleh sebab itu, jantung terpaksa mengepam dengan lebih kuat daripada biasa.

    3. Punca jantung bengkak: Kardiomiopati

    Penyakit ini menyebabkan jantung anda mengalami kesukaran untuk mengepam darah ke seluruh badan. Lama-kelamaan, jantung anda akan semakin membesar untuk mengepam lebih banyak darah.

    Selalunya, pesakit akan alami simptom seperti sesak nafas dan buku lali membengkak. Pesakit juga mungkin akan alami pening kepala dan juga sakit dada.

    4. Hipertensi pulmonari

    Hipertensi pulmonari merupakan tekanan darah tinggi di dalam arteri yang menghubungkan organ jantung dan juga paru-paru.

    Penyakit ini menyebabkan jantung perlu mengepam darah dengan lebih kuat di antara jantung dan juga paru-paru. Akibatnya, bahagian kanan jantung anda mungkin akan membengkak.

    5. Penyakit arteri koronari

    Individu yang mengalami kondisi ini mempunyai plak lemak dalam kawasan arteri yang boleh menghalang pengaliran darah dan menyebabkan sakit jantung.

    Apabila satu bahagian otot pada jantung mati, jantung anda terpaksa bekerja dengan lebih kuat untuk mengepam darah ke seluruh badan anda.

    Lama-kelamaan, jantung akan membengkak kerana terpaksa bekerja dengan lebih keras.

    6. Punca jantung bengkak: Penyakit tiroid

    Kedua-dua jenis penyakit tiriod iaitu hipertiriodisme dan hipotiriodisme boleh menyebabkan masalah jantung yang membuatkan jantung membengkak.

    Jika kondisi ini tidak dirawat, penyakit tiroid boleh menyebabkan tekanan darah tinggi, peningkatan kolesterol dalam darah, degupan jantung tidak teratur dan sebab jantung bengkak.

    7. Pernah mengalami serangan jantung

    Jantung manusia boleh menjadi lemah selepas terkena serangan jantung. Oleh sebab itu, otot yang lemah mungkin akan membengkak atau membesar untuk terus berupaya mengepam darah ke seluruh badan.

    8. Punca jantung bengkak: Obesiti

    Mempunyai terlalu banyak lemak badan boleh menyebabkan tekanan darah tinggi. Seperti yang dijelaskan di atas, tekanan darah tinggi merupakan salah satu punca utama penyakit jantung membengkak.

    9. Kurang bersenam

    punca jantung bengkak
    Hidup tidak aktif juga boleh sebabkan jantung menjadi bengkak.

    Mereka yang mempunyai gaya hidup sedentari lebih berisiko untuk menghidap pelbagai jenis penyakit termasuklah penyakit arteri koronari dan juga tekanan darah tinggi.

    Semua penyakit ini akan meningkatkan risiko jantung membengkak pada masa hadapan.  

    10. Umur yang kian meningkat

    Apabila kita semakin tua, arteri kita akan kehilangan keanjalannya.

    Apabila salur darah ini jadi semakin ‘keras’, mudah untuk kita mengalami tekanan darah tinggi yang juga merupakan salah satu faktor utama jantung membengkak.

    Kesimpulan

    Jika anda mempunyai sejarah keluarga mengenai penyakit jantung bengkak seperti kardiomiopati, pastikan anda berjumpa doktor secepat mungkin.

    Kondisi ini dapat dirawat dan dielakkan jika ia dikesan dengan lebih awal.

    Untuk mengelakkan penyakit jantung bengkak, pastikan anda menjauhi faktor risiko penyakit ini seperti amalan merokok, mempunyai tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan juga diabetes.

    Mengawal tekanan darah tinggi dengan diet, senaman dan ubat-ubatan juga boleh mengelakkan anda daripada mengalami masalah jantung membengkak pada masa hadapan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 06/02/2024

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan