Definisi
Apa itu Arteritis Sel Gergasi?
Arteritis sel gergasi adalah keradangan pada lapisan arteri anda. Selalunya, ia memberi kesan pada arteri di kepala anda, terutamanya di bahagian pelipis. Atas sebab ini, arteritis sel gergasi kadang-kadang dipanggil arteritis temporal.
Arteritis sel gergasi selalunya menyebabkan sakit kepala, kesakitan kulit kepala, sakit rahang dan masalah penglihatan. Sekiranya tidak dirawat, ia boleh menyebabkan strok atau buta.
Apakah kebarangkalian Arteritis Sel Gergasi?
Arteritis sel gergasi boleh menjejaskan pesakit pada mana-mana lapisan umur. Ia boleh diatasi dengan mengurangkan faktor-faktor risiko pada diri anda. Sila bincang dengan doktor anda untuk maklumat selanjutnya.
Simptom-simptom
Apakah simptom-simptom Arteritis Sel Gergasi?
Simptom yang paling umum bagi arteritis sel gergasi adalah ketidakselesaan dan sakit kepala – selalunya teruk – yang biasanya menjejaskan kedua-dua belah pelipis. Permulaan penyakit ini boleh dirasakan seperti selesema. Secara umumnya, antara tanda-tanda dan simptom arteritis sel gergasi termasuklah:
- Sakit kepala yang berterusan, teruk, dan biasanya di kawasan pelipis
- Kesakitan kulit kepala
- Sakit rahang apabila anda mengunyah atau membuka mulut
- Demam
- Keletihan
- Kehilangan berat badan yang tidak diingini
- Hilang penglihatan atau penglihatan berganda, terutamanya pada orang yang turut mengalami sakit rahang
- Buta secara tiba-tiba pada satu mata
Kesakitan dan ketegangan leher, bahu atau pinggul adalah simptom umum bagi gangguan lain yang berkaitan, iaitu polymyalgia rheumatica. Kira-kira 50 peratus penghidap arteritis sel gergasi turut mempunyai polymyalgia rheumatica.
Mungkin terdapat beberapa simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang apa-apa simptom, sila berjumpa dengan doktor anda.
Bila saya harus berjumpa doktor?
Sekiranya anda mengalami sakit kepala yang baru dan berterusan ataupun sebarang masalah yang disenaraikan di atas, sila temui doktor anda tanpa berlengah-lengah. Sekiranya anda didiagnosis dengan arteritis sel gergasi, dengan memulakan rawatan secepat mungkin biasanya dapat membantu mencegah kehilangan penglihatan.
Punca
Apakah punca Arteritis Sel Gergasi?
Dalam arteritis sel gergasi, lapisan arteri mengalami keradangan. Ini menyebabkan ia membengkak. Pembengkakan ini kemudiannya mengecilkan saluran darah anda, lalu mengurangkan jumlah darah – bermakna bekalan oksigen dan nutrien penting – yang dapat mencapai tisu badan anda.
Hampir setiap arteri yang besar atau sederhana boleh terjejas, namun pembengkakan paling selalu terjadi pada arteri yang terletak di pelipis kepala. Kawasan ini terletak di hadapan telinga anda dan bersambung ke atas kulit kepala anda. Kadang-kadang, pembengkakan ini memberi kesan pada hanya sebahagian arteri dan berselang dengan bahagian yang normal di antaranya.
Apa sebenarnya yang menyebabkan arteri ini meradang masih tidak diketahui. Sesetengah gen dan variasi gen boleh meningkatkan kecenderungan anda terhadap penyakit ini.
Faktor-faktor Risiko
Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Arteritis Sel Gergasi?
Terdapat banyak faktor risiko bagi arteritis sel gergasi, seperti:
- Arteritis sel gergasi hanya memberi kesan kepada orang dewasa, dan ia jarang berlaku pada mereka yang berusia di bawah 50 tahun. Kebanyakan orang dengan penyakit ini mula mengalami tanda amaran pada usia antara 70 hingga 80 tahun.
- Wanita didapati kira-kira dua kali lebih cenderung untuk mengalami penyakit ini.
- Wilayah perlumbaan dan geografi: arteritis sel gergasi paling biasa berlaku di kalangan orang kulit putih di utara Eropah atau keturunan Scandinavia.
- Polymyalgia rheumatica: mempunyai polymyalgia rheumatica boleh meletakkan anda pada peningkatan risiko untuk menghidap arteritis sel gergasi.
- Sejarah keluarga. Penyakit ini didapati kadangkala diwarisi dalam keluarga.
Diagnosis dan Rawatan
Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.
Bagaimana pesakit Arteritis Sel Gergasi didiagnosis?
Boleh jadi arteritis sel gergasi ini sukar untuk didiagnosis kerana simptom awalnya menyerupai kebanyakan penyakit umum yang biasa. Atas sebab ini, doktor anda akan cuba untuk menolak sebarang kemungkinan punca masalah anda yang lain terlebih dahulu.
Untuk membantu mendiagnosis arteritis sel gergasi, anda mungkin akan menjalani beberapa atau semua ujian dan prosedur berikut:
- Pemeriksaan fizikal. Selain bertanyakan tentang simptom dan riwayat perubatan anda, doktor anda mungkin akan melakukan pemeriksaan fizikal yang menyeluruh, memberi perhatian khusus kepada arteri temporal anda. Selalunya satu atau kedua-dua arteri ini berasa sakit dengan nadi yang lemah, manakala rasa dan penampilannya didapati seperti seutas tali yang keras.
- Ujian darah. Jika doktor anda mengesyaki anda mungkin mempunyai arteritis sel gergasi, anda mungkin akan menjalani ujian darah yang memeriksa kadar pemendapan erythrocyte (erythrocyte sedimentation rate) – biasanya dirujuk sebagai ‘sed rate’. Ujian ini akan mengukur kelajuan sel darah merah mendap ke bahagian bawah tiub darah. Sel-sel merah yang jatuh dengan cepat mungkin menandakan keradangan di dalam badan anda. Anda juga mungkin akan menjalani ujian yang mengukur protein C-reactive (CRP), suatu bahan yang dihasilkan oleh hati anda apabila wujud keradangan. Ujian yang sama boleh digunakan untuk mengikuti perkembangan penyakit semasa rawatan.
- Cara terbaik untuk mengesahkan diagnosis arteritis sel gergasi adalah dengan mengambil sampel kecil (biopsi) daripada arteri temporal. Prosedur ini dilakukan pada pesakit luar dengan anestesia setempat, biasanya dengan sedikit ketidakselesaan atau parut. Sampel kemudiannya diperiksa di bawah mikroskop di makmal.
Ujian pengimejan boleh digunakan untuk mendiagnosis arteritis sel gergasi dan untuk memantau respons anda terhadap rawatan. Ujian yang mungkin dijalankan termasuklah:
- Angiografi resonans magnetik (MRA). Ujian ini menggabungkan penggunaan pengimejan resonans magnetik (MRI) dengan menggunakan bahan kontras yang akan menghasilkan imej terperinci mengenai saluran darah anda. Pastikan doktor anda tahu lebih awal jika anda tidak selesa berada di dalam ruang yang kecil, kerana ujian ini akan dijalankan dalam sebuah mesin berbentuk tiub.
- Ultrabunyi Doppler. Ujian ini menggunakan gelombang bunyi untuk menghasilkan imej darah yang mengalir melalui saluran darah anda.
Positron Emission Tomography (PET). Dengan menggunakan larutan pengesan intravena yang mengandungi sejumlah kecil bahan radioaktif, imbasan PET boleh menghasilkan imej terperinci saluran darah anda dan menyerlahkan kawasan keradangan.
Bagaimana pesakit Arteritis Sel Gergasi dirawat?
Rawatan untuk arteritis sel gergasi terdiri daripada ubat kortikosteroid dalam dos yang tinggi seperti prednison. Disebabkan rawatan segera diperlukan untuk mencegah kehilangan penglihatan, doktor anda mungkin akan memulakan ubat walaupun sebelum pengesahan diagnosis dengan ujian biopsi.
Anda mungkin akan mula berasa lebih baik dalam masa beberapa hari selepas memulakan rawatan. Simptom visual anda mungkin akan sembuh dalam masa tiga bulan, melainkan jika anda telah mengalami kehilangan keseluruhan penglihatan.
Anda mungkin perlu terus mengambil ubat selama satu hingga dua tahun, ataupun lebih lama. Selepas bulan pertama, doktor anda secara beransur-ansur mula menurunkan dos ubat sehingga anda mencapai dos kortikosteroid terendah yang diperlukan untuk mengawal keradangan.
Sesetengah simptom, terutamanya sakit kepala, boleh kembali semasa tempoh pengurangan dos ini. Ini juga merupakan masanya di mana ramai turut mengalami simptom bagi polymyalgia rheumatica. Cetusan simptom tersebut biasanya boleh dirawat dengan sedikit peningkatan dalam dos kortikosteroid. Doktor anda juga boleh mencadangkan sejenis ubat yang dipanggil methotrexate, yang boleh membantu mengurangkan kesan sampingan kortikosteroid.
Kortikosteroid boleh membawa kepada beberapa kesan sampingan yang serius, seperti osteoporosis, tekanan darah tinggi dan kelemahan otot. Untuk mengatasi kesan sampingan yang berpotensi ini, doktor anda mungkin akan memantau kepadatan tulang anda, memberikan suplemen kalsium dan vitamin D, atau ubat-ubatan lain untuk membantu mencegah kerapuhan tulang. Doktor anda juga mungkin akan memantau tekanan darah anda dan boleh mengesyorkan program senaman, perubahan diet dan ubatan untuk mengekalkan tekanan darah dalam lingkungan yang normal. Kebanyakan kesan sampingan hilang apabila rawatan kortikosteroid dikurangkan dan dihentikan.
Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan
Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Arteritis Sel Gergasi?
Gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan yang berikut mungkin membantu anda menangani arteritis sel gergasi:
- Ambil makanan yang sihat. Pemakanan yang baik boleh membantu mencegah beberapa potensi masalah, seperti kerapuhan tulang, tekanan darah tinggi dan diabetes. Berikan penekanan pada buah-buahan, sayur-sayuran segar, bijirin penuh, daging dan ikan tanpa lemak, di samping membatasi pengambilan garam, gula dan alkohol. Pastikan anda mendapat jumlah kalsium dan vitamin yang mencukupi. Pakar kesihatan mengesyorkan 1,200 miligram kalsium dan 800 unit antarabangsa (IU) vitamin D sehari, untuk wanita berusia 50 ke atas dan lelaki berusia 70 ke atas. Sila semak dengan doktor anda untuk mengetahui dos yang betul.
- Bersenam dengan kerap. Senaman aerobik yang kerap, seperti berjalan, boleh membantu mencegah kerapuhan tulang, tekanan darah tinggi dan kencing manis. Ia juga memberi manfaat kepada jantung dan paru-paru anda. Di samping itu, ramai orang mendapati bahawa senaman boleh memperbaiki mood dan meningkatkan kesejahteraan keseluruhan. Sekiranya anda tidak biasa bersenam, mulakan dengan perlahan dan bina tahap secara beransur-ansur. Doktor anda juga boleh membantu merancang program senaman yang sesuai untuk anda.
- Dapatkan pemeriksaan teratur. Sila berjumpa doktor anda untuk memeriksa sebarang kesan sampingan terhadap rawatan dan perkembangan sebarang komplikasi.
- Dapatkan maklumat tentang aspirin. Sila rujuk doktor anda tentang pengambilan aspirin antara 75 dan 150 miligram setiap hari, kerana aspirin didapati apabila diambil setiap hari dalam dos yang rendah boleh mengurangkan risiko kebutaan dan strok.
Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.
[embed-health-tool-heart-rate]