Bayi biru apabila kerap menangis dan meragam? Eh, jangan ambil mudah. Keadaan itu mungkin melibatkan masalah jantung bayi. Dalam perubatan ia dipanggil cyanotic.
Ini berkaitan masalah jantung bayi
Si manja dengan sesetengah masalah jantung tertentu boleh mengalami cyanotic (hypercyanotic) atau turut dikenali sebagai blue spell.
Keadaan yang boleh menyebabkan bayi biru itu lebih kerap terjadi kepada si kecil dengan masalah kesihatan Tetralogy of Fallot (Fallot Tetralogy).
Fallot Tetralogy adalah masalah jantung bayi yang melibatkan kecacatan VSD dan penyempitan injap pulmonari yang menyebabkan kekurangan pengaliran darah ke paru-paru.
Apa yang akan terjadi pada si manja yang mengalami serangan cyanotic?
Bayi dengan keadaan jantung ini boleh menyebabkan wujudnya kesukaran bagi darah biru (deoxygenated)) untuk sampai ke paru-paru untuk mengangkut oksigen.
Sesetengah darah biru ini juga mungkin akan melalui tepi jantung antara ruang mengepam kanan dan kiri.
Apabila bukaan untuk masuk ke arteri pulmonari semakin sempit, maka lebih banyak darah biru akan mengelilingi badan.
Ini bermakna, darah yang dipam ke seluruh badan anak mungkin tidak mengandungi kandungan oksigen seperti yang diperlukan.
Keadaan itu sekali gus menyebabkan darah kelihatan biru (cyanosed).
Semasa serangan blue spell, lebih banyak darah biru tanpa oksigen yang akan melalui paru-paru. Situasi itu akan mengakibatkan cyanosis.
Masalah cyanosis punca bayi biru
Sama ada cyanosis mahupun blue spell, kedua-duanya keadaan yang berlaku apabila jumlah darah yang mengalir ke paru-paru berkurangan.
Umumnya, darah berfungsi untuk membawa oksigen. Jika keadaan tersebut terjadi, maka akan kurang oksigen yang dihantar ke badan.
Kesannya, si manja akan tampak biru atau kebiruan.
Mesti ada parents yang mempersoalkan kenapa biru, kan?
Warna tersebut adalah disebabkan oleh kadar hemoglobin berkurangan (deoxygenated) dalam darah yang berada hampir dengan permukaan kulit.
Hemoglobin adalah molekul yang membolehkan sel darah merah mengangkut oksigen.
Hemoglobin beroksigen akan berwarna merah terang, manakala hemoglobin tanpa oksigen berwarna kebiruan.
Terdapat 2 kategori utama cyanosis, iaitu central dan peripheral.
Central cyanosis akan menyebabkan bayi biru pada bibir, lidah dan kulit, terutamanya bahagian jari tangan dan kaki.
Keadaan ini boleh berlaku disebabkan pelbagai faktor penyebab, seperti:
- Masalah pernafasan dan paru-paru
- Masalah jantung bayi ekoran kecacatan ini menyebabkan darah kurang oksigen daripada belah kanan jantung bercampur dengan darah tinggi oksigen pada sebelah kiri jantung. Keadaan yang mengakibatkan darah dipam keluar ke badan rendah oksigen dikenali sebagai right-to-left shunts
- Mempunyai masalah dengan aliran darah ke dan/atau daripada paru-paru. Situasi itu mungkin berpunca oleh sambungan saluran darah tidak normal antara jantung dan paru-paru atau penyumbatan saluran darah
- Pertambahan cecair pada paru-paru (paru-paru berair) berpunca daripada kegagalan jantung kongestif
- Gangguan hemoglobin – darah tidak dapat membawa oksigen dengan baik
Peripheral cyanosis pula hanya dilihat pada jari tangan dan kaki.
Keadaan ini boleh disebabkan oleh:
- Suhu sejuk
- Tangisan oleh bayi baru lahir
- Sawan
- Terkejut
Cyanosis yang disebabkan oleh keadaan jantung kongenital boleh terjadi sejurus selepas kelahiran. Tetapi adakalanya ia tidak muncul sehingga bayi lebih berusia.
Memahami simptom bayi biru
Masalah bayi biru boleh tercetus disebabkan keadaan seperti:
- Menangis
- Sakit
- Penyusuan
- Mengalami pergerakan usus/ regangan
- Dehidrasi – tidak mempunyai cecair dalam badan yang mencukupi
- Suhu badan tinggi
Masalah bayi biru juga boleh terjadi sebaik sahaja mereka bangun daripada tidur.
Jika si manja mempunyai masalah sakit jantung jenis biru (cyanotic heart defects), penjagaan tambahan perlu diberikan pada cuaca panas.
Anda perlu memastikan bayi sentiasa terhidrat dengan baik.
Sekiranya mereka mengalami muntah dan cirit-birit atau suhu badan menjadi tinggi sehingga melebihi 38℃, serta keadaan ini berlangsung untuk tempoh lebih 24 jam, lakukan pemeriksaan dengan doktor segera.
Rawatan segera apabila serangan bayi biru
Semasa serangan blue spell, keadaan bibir dan kulit si manja akan kelihatan kebiruan dan pernafasan mungkin menjadi lebih cepat.
Anak akan menjadi mudah marah, mengantuk dan tidak responsif.
Jika keadaan tersebut berlaku, anda sebagai ibu bapa perlu kekal tenang dan lakukan langkah-langkah berikut untuk membantu anak:
- Baringkan anak secara menelentang
- Bawa atau tolakkan lutut si manja sehingga menyentuh bahagian dada mereka
- Peluk dan tenangkan si manja
- Untuk anak yang lebih berusia, baringkan mereka secara mengiring dan tolakkan lutut ke bahagian dada
Sekiranya keadaan berterusan sehingga lebih daripada 5 minit, hubungi talian 999 untuk mendapatkan ambulans bagi membawa anak ke hospital berdekatan.
[embed-health-tool-heart-rate]