backup og meta

Selain Batuk Kronik Berdarah, Ini Simptom Tibi Ramai Tak Sedar, Kena Cek Segera!

Selain Batuk Kronik Berdarah, Ini Simptom Tibi Ramai Tak Sedar, Kena Cek Segera!

Melihat seseorang batuk kronik bersama wajah pucat, anda mungkin terfikir ia adalah penyakit tuberkulosis (TB) atau lebih dikenali dengan jolokan tibi. Tetapi adakah hanya batuk kronik sahaja sebagai simptom tibi?

Teruskan membaca perkongsian artikel ini untuk mengetahui apakah tanda penyakit tibi lain yang mungkin ramai tidak ketahui.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Pernafasan, sila dapatkannya di sini.

Fahami simptom tibi

Punca penyakit tibi adalah daripada jangkitan bakteria Mycobacterium tuberculosis yang boleh menyerang bahagian berbeza pada tubuh.

Organ yang paling kerap diserang bakteria ini adalah paru-paru yang dirujuk sebagai tuberkulosis paru-paru (PTB).

Manakala tuberkulosis ekstrapulmonari (EPTB) adalah istilah bagi mengkategorikan TB yang menyerang bahagian tubuh lain seperti nodus limfa, tulang (biasanya tulang belakang) dan dalam kes jarang berlaku, pada usus.

Bagi individu dengan imun tertindas (immunosuppressed) seperti penghidap HIV, bakteria itu boleh menyerang bahagian otak.

Individu paling berisiko kepada jangkitan TB adalah:

  • Warga emas
  • Individu rendah imuniti seperti pesakit kencing manis
  • Individu imun tertindas seperti mereka yang menjalani terapi steroid, penghidap HIV
  • Kanak-kanak – kerana sistem imun belum matang
  • Tinggal di persekitaran sesak

Kenal pasti tanda penyakit tibi

Empat tanda penyakit tibi adalah batuk kronik, kuat berpeluh pada waktu malam, penurunan berat badan dan peningkatan suhu badan berulang pada waktu petang.

Simptom tibi bagi EPTB pula akan dapat dilihat melalui bengkak pada nodus limfa, sakit belakang kronik, tulang rapuh serta perut yang sensitif.

Sekiranya bakteria TB menjangkiti otak, ia boleh menyebabkan tanda penyakit tibi seperti sawan, sakit kepala, sering keliru dan perubahan dalam personaliti individu.

simptom tibi
Ketua Divisyen Perubatan di Fakulti Perubatan Antarabangsa, Profesor Dr James Koh

Menurut Ketua Divisyen Perubatan di Fakulti Perubatan Antarabangsa, Profesor Dr James Koh, “Salah satu cabaran untuk mengesan TB adalah ia tidak menampakkan gejala serta-merta.”

“Anda mungkin sudah lama terdedah kepada bakteria TB. Ia kekal dorman atau tidak aktif di dalam badan dan berhibernasi. Ia boleh muncul berbulan atau bertahun kemudian,” ujar beliau lagi.

Perkembangan gejala yang perlahan dan tidak ketara serta tanpa sebarang amaran sehinggalah penyakit sudah pada tahap kronik adalah apabila seseorang individu itu mengalami batuk berdarah.

Diagnosis simptom tibi

Beberapa ujian perlu dilakukan untuk mendiagnosis simptomnya. Bagi PTB, x-ray pada paru-paru akan menunjukkan ‘rongga’ – tanda jelas TB. Ujian air liur dan kulit mungkin akan dilakukan juga untukmelihat simptom pesakit tibi. Untuk EPTB, biopsi tulang dan bahagian yang bengkak perlu dilakukan.

Batuk berterusan selama dua minggu menjadi tanda aras bila masa sesuai untuk melakukan pemeriksaan doktor.

Anda juga amat disarankan untuk berjumpa doktor sekiranya mengalami keadaan berpeluh pada waktu malam tanpa sebab dan mengalami penurunan berat badan bersama bengkak pada nodus limfa atau sakit belakang kronik.

Dengan mengambil kira keadaan umum kesihatan, doktor akan mengetahui sama ada anda perlu melakukan ujian TB atau tidak.

simptom tibi
Ilustrasi kuman tibi dalam paru-paru.

Adakah TB berjangkit?

Sama seperti semua penyakit pernafasan lain, TB adalah berjangkit dan disebarkan melalui titisan air daripada batuk atau air liur. Namun berita baiknya, ia tidak menular seperti COVID-19. Ini kerana bakteria adalah berat. 

“Anda perlu betul-betul berhubung rapat dan berada di dalam situasi simptom tibi berlaku pendedahan berpanjangan untuk tempoh lebih daripada lapan jam sehari,” jelas Profesor James. 

Antara contoh kenalan rapat adalah penjaga terdekat, rakan sepejabat atau individu tinggal di dalam rumah yang sama.

simptom tibi
Beza tibi kanak-kanak dan orang dewasa.

Kaedah rawatan

Adakah terdapat petua hilangkan penyakit tibi

Petua terbaik adalah dengan mengikuti rawatan TB. Ia menggabungkan preskripsi empat antibiotik untuk tempoh enam bulan sehingga setahun, bergantung pada simptom tibi pada bahagian tubuh terkesan.

“Umumnya PTB memerlukan tempoh enam bulan, manakala tempoh rawatan untuk EPTB antara sembilan hingga 12 bulan,” ujar Profesor James.

Pengambilan ubat tepat pada masanya dan mengikut preskripsi adalah sangat penting. Sekiranya pesakit tidak melengkapkan rawatan penuh atau tertinggal dos, bakteria tersebut boleh menjadi kebal ubat.

Kesannya, TB boleh menjadi tahan ubat secara meluas (XDR TB) dan TB rintang pelbagai ubat (MDR TB), atau lebih dikenali sebagai superbugs.

Langkah pencegahan

Ketahuilah bahawa penyakiti ini tidak sama seperti COVID-19! Kenapa?

Tidak seperti COVID-19 yang mempunyai ‘suntikan penggalak’ untuk meningkatkan tahap imuniti terhadap TB, cara terbaik untuk menghindari jangkitan ini adalah dengan mengamalkan gaya hidup sihat. 

Amat penting untuk mengenal pasti tanda penyakit tibi bagi mendapatkan rawatan awal. Jika dibiarkan terlalu lama, TB boleh meninggalkan parut pada paru-paru yang akan menjejaskan kapasiti organ tersebut walaupun selepas sembuh.

“Setelah pulih, jagalah pemakanan, bersenam dan jangan merokok. Anda boleh dijangkiti TB semula dan ia boleh menjadi lebih teruk,” ujar Profesor James.

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan mengenai penyakit dan simptom tibi, berundinglah dengan doktor bagi mendapatkan lebih kepastian.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Tuberculosis (TB). https://www.lung.org/lung-health-diseases/lung-disease-lookup/tuberculosis, Accessed on April 10, 2023
  2. Tuberculosis. https://www.paho.org/en/topics/tuberculosis, Accessed on April 10, 2023
  3. Tuberculosis. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/tuberculosis/symptoms-causes/syc-20351250, Accessed on April 10, 2023
  4. Tuberculosis TB. https://www.hopkinsmedicine.org/health/conditions-and-diseases/tuberculosis-tb, Accessed on April 10, 2023
  5. Tuberculosis (TB). https://www.cdc.gov/tb/default.htm, Accessed on April 10, 2023

Versi Terbaru

24/09/2024

Ditulis oleh Asyikin Md Isa

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Tak Selesanya Bila Tekak Berkahak! Atasi Masalah Kahak Dengan 4 Tip Mudah Ini!

Pneumonia: Jangkitan Paru-Paru


Disemak secara perubatan oleh

Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 24/09/2024

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan