Kegilaan terhadap kolagen kian meningkat pada masa ini. Pelbagai jenis kolagen yang diamalkan oleh pencinta kecantikan antaranya suplemen, krim mahupun dengan minum kolagen.
Oleh itu, secara teori, pengambilan sumber protein ini meningkatkan tahap kolagen kulit dan akan membantu anda kelihatan lebih muda.
Tetapi, sejauh mana keberkesanannya? Ikuti artikel ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut!
Apa itu kolagen?
Tahukah anda, kolagen adalah protein yang sangat penting yang menyatukan tisu dan tulang anda? Ya, benar sekali.
Khusus untuk kulit, sumber protein ini membantu memberikan struktur dan keanjalan terhadap kulit dan menghasilkan kesan glowing yang menjadi kegilaan dunia kecantikan sekarang.
Selain itu, ia adalah protein yang paling banyak terdapat di dalam badan dan adalah komponen utama bagi struktur tulang, kulit, otot dan ligamen.
Terdapat beberapa jenis kolagen, tetapi jenis I, II dan III paling biasa di dalam tubuh manusia.
Jenis I menyumbang sebahagian besar kolagen kita dan diperbuat daripada serat padat yang diperlukan untuk gigi, tulang, ligamen, kulit dan tisu penghubung.
Bagi jenis II pula, terdapat pada tulang rawan elastik, yang memberikan sokongan bersama Jenis III, ia terdapat dalam struktur otot, arteri dan organ.
Seiring dengan pertambahan usia, badan kita menghasilkan lebih sedikit sumber protein ini, yang menyumbang kepada penuaan dan kedutan.
Di samping itu, faktor gaya hidup seperti merokok dan terlalu banyak pendedahan cahaya matahari juga boleh merosakkan pengeluaran sumber protein ini.
Bolehkah anda mengekalkan keanjalan dengan minum kolagen?
Prolyl-hydroxyproline, kolagen yang hanya terdiri daripada 2 asid amino, didapati mencetuskan sel-sel kulit in vitro (dalam sel) untuk menghasilkan lebih banyak asid hyaluronik.
Asid hyaluronik adalah komponen penting lain untuk meningkatkan kandungan air kulit.
Malangnya, kita tidak mempunyai kawalan untuk meletakkannya pada tempat tertentu kerana tubuh kita akan menentukannya secara sendiri dan semula jadi.
Sebagai contoh, apabila anda makan atau minum yang berasaskan protein seperti kolagen, perut dan usus kecil, anda akan memecah protein menggunakan enzim.
Kemudian, serpihan kecil ini biasanya terdiri daripada 3 asid amino sebelum tubuh anda dapat menyerapnya.
Oleh itu, keanjalan kulit tidak akan dapat disumbangkan hanya dengan cara minum sumber protein ini.
Jadi, apakah yang boleh dilakukan untuk kekal awet muda?
Untuk mengekalkan kulit sihat dan muda, pengamalan rutin penjagaan kulit yang bagus adalah lebih berkesan daripada memakan atau minum kolagen.
Anda boleh mencari produk topikal seperti krim yang mengandungi vitamin A dengan ramuan retinol dan tretinoin.
Ia adalah pilihan produk terbaik untuk meningkatkan sumber protein ini, dan serum vitamin C juga bagus untuk meningkatkan keanjalan kulit.
Selain itu, masalah penghidratan kulit merupakan penyebab biasa wajah kelihatan letih tapi jangan risau kerana ia mudah diperbaiki dengan serum dan pelembap.
Bagi pencuci muka, carilah bahan yang mampu tingkatkan tahap kelembapan kulit, seperti gliserin dan asid hyaluronik untuk membersihkan dan melembapkan.
Yang paling penting, amalkan pelindung matahari dengan perlindungan UVA yang tinggi untuk mencegah radikal bebas kerana ia mampu mengganggu kolagen badan.
Tambahan lagi, makanlah makanan yang tinggi antioksidan, seperti buah-buahan dan sayur-sayuran, ia dapat mencegah potensi berlakunya kerosakan kolagen.
Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai rutin penjagaan kulit atau menggunakan produk kecantikan antipenuaan, anda disyorkan berjumpa dengan pakar dermatologi.
Perlukah anda mengambil kolagen tambahan?
Seperti banyak trend pemakanan di pasaran, kolagen cenderung dipromosi secara berlebihan di dalam media.
Walaupun terdapat beberapa produk yang mungkin kelihatan menjanjikan, namun masih belum dapat dipastikan apa faedah yang dijumpai secara khusus daripada suplemen berasaskan kolagen.
Selain itu, penting untuk anda ingat bahawa badan akan menghadam kolagen yang diambil secara semula jadi dan belum tentu disalurkan pada kulit.
Suplemen mungkin tidak berbahaya.
Pengambilan protein yang mencukupi daripada sumber tumbuhan dan haiwan sepatutnya sudah cukup dalam menyediakan asid amino untuk mensintesis kolagen yang mencukupi tanpa perlukan makanan tambahan.
Sekiranya anda menghadapi masalah untuk mendapatkan protein mencukupi dalam diet anda, cari ahli diet berdaftar di sekitar kawasan anda untuk membantu mencari pilihan makanan yang paling sesuai.
Rumusan
Jangan mudah terpedaya dengan iklan-iklan di media, kerana belum tentu ia dapat memberikan kesan yang diidamkan.
Untuk menjaga keanjalan kulit dan kekal awet muda, hanya pastikan anda mengamalkan diet pemakanan yang sihat dan seimbang.
Selain itu, amalan gaya hidup sihat dan bersenam secara berkala juga dapat membantu, justeru kesihatan tubuh badan akan turut meningkat!
[embed-health-tool-bmi]