Pembaziran makanan sudah menjadi satu isu yang semakin serius di peringkat global. Amalan membazir makanan ini juga tidak asing di Malaysia.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, rakyat Malaysia dilaporkan membuang tidak kurang 3,000 tan makanan yang masih boleh dimakan setiap hari. Dalam erti kata lain, setiap rakyat Malaysia membazir 1 kg makanan setiap hari dan jumlah ini bertambah di musim perayaan.
Sebuah syarikat pengurusan sisa pepejal makanan yang dilantik kerajaan, SWCorp pernah merekodkan 615,000 tan makanan dibazirkan selepas majlis berbuka puasa. Bagaimana pula dengan pembaziran di majlis perkahwin dan perayaan lain?
Akta Pembaziran Makanan sebagai langkah menangani pembaziran
Dr Wan Azizah berkata bahawa kerajaan bercadang ingin mengemukakan cadangan untuk menggubal Akta Pembaziran Makanan bagi mengelakkan rakyat membazir dan meningkatkan penjimatan. Denda terhadap pelanggan hotel dan restoran ialah antara usaha yang diharap dapat mendidik masyarakat.
1 dari 9 individu di dunia tidak mempunyai makanan yang cukup
Sekitar 795 juta individu di seluruh dunia gagal mendapatkan makanan yang cukup untuk menjalani kehidupan yang sihat. Ini bersamaan 1 dari 9 individu. Dalam masa yang sama, satu pertiga dari makanan yang dihasilkan dibazirkan setiap tahun bersamaan sekitar 1.3 bilion tan.
Impak yang diberikan adalah sangat besar terhadap ekonomi dan kesihatan.
- Pembaziran makanan menelan belanja sekurang-kurangnya USD 300 bilion dan sehingga USD 680 bilion di negara-negara perindustrian.
- Malnutrisi menyebabkan hampir separuh (45%) kematian kanak-kanak di bawah umur 5 tahun, iaitu 3.1 juta setiap tahun.
- 1 dari 4 kanak-kanak mengalami pembesaran terbantut, dan angka ini lebih tinggi dalam kalangan negara membangun.
Ambil ikut keperluan, bukan keinginan
Mempunyai duit yang banyak bukan satu alasan untuk anda membazir. Lebih baik jika duit tersebut disalurkan kepada mereka yang lebih memerlukan berbanding dimasukkan ke dalam tong sampah melalui lebihan makanan yang tidak dimakan.
Jika anda makan di restoran, ambil makanan dalam kuantiti sedikit terlebih dahulu. Kalau tidak cukup, boleh tambah kemudian. Tidak akan ada caj atau bayaran servis tambahan dikenakan. Selain itu, jangan biarkan lebihan makanan di atas pinggan anda dibuang. Pastikan ia dihabiskan atau dibungkus untuk dimakan kemudian.
Pihak hotel dan restoran juga harus mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan pembaziran makanan seperti mengenakan denda dan mewujudkan jawatankuasa khas untuk mengawal pembaziran melalui audit, pengumpulan data dan solusi.
Lebihan makanan tersebut boleh dimanfaatkan seperti menderma kepada individu lain (jika makanan masih selamat), mengitar semula bahan yang boleh dimanfaatkan (seperti plastik dan botol), dan membuat baja atau kompos sebagai sumber pendapatan tambahan.
Sebelum anda membuang makanan, fikirkan nasib hampir 800 juta individu yang tidak cukup makanan di seluruh dunia. Setiap butir beras itu berharga!
[embed-health-tool-bmr]