Sedang mencari resepi donut sukatan cawan untuk dicuba di rumah? Jangan risau, anda berada di tempat yang betul!
Donat yang lembut dan gebu merupakan makanan kegemaran ramai orang. Walau bagaimanapun, disebabkan rasanya yang manis, ia bukanlah satu makanan yang sihat.
Selalunya, sebiji donat mempunyai kandungan gula yang sangat tinggi. Manakan tidak, donat selalunya disalut coklat, ditabur gula atau mempunyai inti pelbagai rasa yang sangat manis.
Walaupun ada donat yang dihias dengan buah-buahan, namun makanan ini masih lagi dalam kategori yang tidak sihat.
Akan tetapi, bolehkah kita jadikan donat sebagai makanan yang berkhasiat? Jawapannya, ya!
Jom ikuti penjelasan kami secara lebih lanjut mengenai donat serta bahayanya jika diambil secara berlebihan.
Selepas itu, anda bolehlah cuba resipi donat tanpa letak telur yang kami sediakan pada akhir artikel!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Pemakanan Sihat, sila dapatkannya di sini.
Donat: Manisan tinggi kalori, penuh gula!
Siapa yang tidak suka makan donat? Disebabkan rasanya yang manis berlemak, sebiji donat boleh membuatkan sesiapa sahaja jadi terliur.
Walau bagaimanapun, donat yang dijual di kedai roti atau kedai kopi bukanlah pilihan makanan yang terbaik, terutamanya untuk mereka yang sedang berdiet.
Sebiji donat mengandungi antara 230 hingga 400 kalori, bergantung kepada jumlah gula dan inti donat tersebut. Banyak bukan!
Untuk membakar semua kalori ini, anda perlu melakukan senaman berintensiti sederhana selama 30 hingga 50 minit. Sanggupkah anda bersenam selama ini hanya untuk membakar semua kalori dalam sebiji donat?
Boleh meningkatkan risiko sakit jantung
Makan sebiji donat mungkin tidak akan membawa sebarang mudarat. Namun, jarang sekali kita makan HANYA sebiji donat. Selalunya, kita akan makan 2-3 biji. Betul tak?
Kandungan gula dalam donat yang sangat tinggi boleh menyebabkan masalah berat badan berlebihan dan obesiti.
Malah, peningkatan gula dalam darah boleh meningkatkan risiko diabetes, penyakit jantung, rintangan insulin dan juga masalah metabolisme!
Menurut sebuah artikel yang dimuatkan di dalam jurnal Progress in Cardiovascular Diseases, diet tinggi gula boleh meningkatkan tekanan darah dan tahap gula dalam darah.
Dalam masa yang sama, ia akan menyebabkan inflamasi dan meningkatkan kandungan lemak dalam badan.
Lama-kelamaan, diet tinggi gula akan menyebabkan masalah rintangan insulin dan kolesterol tinggi. Ini semua merupakan faktor utama penyakit jantung.
Malah, mereka yang makan terlalu banyak gula mempunyai risiko 3 kali ganda untuk menghidap penyakit jantung!
Jadi, sebelum anda makan donat-donat yang manis itu, fikir dahulu, beebaloikah untuk mengambilnya sebagai pemanis mulut.
[embed-health-tool-bmr]
Masih teringin makan donat? Cubalah resepi donut sukatan cawan ini
Tidak salah jika kita ingin makan donat sekali-sekala. Malah, sama seperti kek, coklat dan minuman manis yang lain, makan donat boleh membuatkan kita rasa gembira dan kurang stres.
Cara yang terbaik untuk memastikan donat yang dimakan sihat dan tidak memudaratkan adalah dengan memasaknya sendiri di rumah.
Jadi, kami telah siapkan satu resepi donut sukatan cawan yang sihat untuk pembaca:
Donat coklat mudah, tanpa telur, kurang minyak!
Jika anda ingin donat yang mudah dan sihat, cubalah resepi ini.
Resepi donut sukatan cawan ini tidak menggunakan telur. Malah, donut ini juga tidak digoreng tetapi dibakar menggunakan ketuhar.
Jadi ia kurang minyak dan tidak mempunyai banyak kalori. Resepi donut sukatan cawan ini juga hanya mempunyai 125 kalori sahaja, sesuai untuk mereka yang sedang berdiet!
Bahan-bahan:
- 2 ½ cawan tepung naik sendiri.
- ½ cawan sirap mapel.
- ¼ cawan minyak kelapa.
- 1 cawan susu (susu berasaskan tumbuhan adalah yang terbaik).
- 1 cawan coklat masakan (cair).
Cara penyediaan:
- Panaskan oven pada 180C. Sapukan minyak pada dulang donat dan tunggu ketuhar panas.
- Dalam sebuah mangkuk, ayakkan tepung. Kemudian, letakkan bahan-bahan lain dan campur sehingga terbentuk satu doh.
- Gunakan sudu dan masukkan campuran doh tersebut ke dalam dulang. Basahkan tangan dan bentukkan donat. Jangan isikan doh sehingga penuh.
- Bakar selama 12-17 minit.
- Keluarkan donat dari ketuhar dan biar sejuk selama 10 minit. Selepas sejuk, cicah ke dalam coklat masakan.
Tip semasa memasak:
- Jangan bakar donat terlalu lama. Jika tidak, ia akan mengeras. Jadi, periksa donat anda selepas 12 minit. Gunakan pencungkil gigi untuk periksa sama ada donat betul-betul masak.
- Pastikan anda ayak tepung untuk elak adunan menjadi berketul.
- Adunan resepi donut sukatan cawan ini sedikit tebal, jadi pastikan tangan anda betul-betul lembap sebelum uli!
- Jangan isikan dulang donat sehingga penuh. Jika tidak, ia akan menjadi terlalu kembang dan mungkin akan bersambung dengan donat lain.
Baca juga:
- Anak Nak Makan Kek Tapi Ada Alahan? Nah, Cuba Resepi Kek Hari Jadi Bebas Gluten!
- 5 Resepi Jus Buah-buahan Campuran Yang Pasti Sedap Dan Berkhasiat!
Kesimpulan
Siapa kata donat tidak sihat? Jika anda menyediakannya dengan cara yang betul serta menggunakan bahan-bahan yang berkualiti dan berkhasiat, donat yang dihasilkan akan mempunyai kalori yang lebih rendah.
Tidak salah jika anda ingin makan donat sekali-sekala. Tetapi, lebih baik makan secara sederhana.
Namun, jika anda sangat sukakan donat dan ingin mengambilnya dengan lebih kerap, cubalah resepi donut sukatan cawan kami. Lebih sihat dan kurang minyak!