Memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan sudah dikeluarkan, mahu tidak mahu, kena juga turun ke dapur. Hmmm…inginkan resepi mudah dan sihat, siap dalam tempoh 30 minit? Haa…Hello Doktor tahu resepi masakan untuk anda cuba!
Resepi masakan untuk cegah jangkitan?
Selain menjaga aspek penjagaan diri seperti kerap mencuci tangan, pastinya pengambilan makanan tinggi nutrien juga boleh membantu badan melawan virus dan bakteria, termasuk jangkitan coronavirus.
Melalui penjagaan pemakanan dengan pengambilan nutrien yang sesuai, ia dapat menguatkan fungsi sistem imun, sekali gus menjadikan badan lebih kuat melawan virus korona dengan efektif.
Berdasarkan kajian yang diterbitkan dalam Journal of Obesity & Weight Loss Therapy, setiap resepi masakan yang ingin anda cuba dalam mencegah jangkitan COVID-19 haruslah mempunyai nutrien seperti:
- Karbohidrat
- Protein dan asid amino
- Vitamin dan mineral
- Antioksidan
Resepi mudah untuk dicuba
Memandangkan hari ini sudah memasuki hari ke-3 pengisytiharan separa lockdown diumumkan Kerajaan Malaysia, mungkin ada di antara anda, khususnya para ibu, buntu untuk menyediakan hidangan masakan dan mencari resepi mudah dimasak.
Jangan risau. Berikut dikongsikan resepi mudah dan yang paling penting, bahan-bahannya tidak sukar untuk dicari. Dalam situasi lockdown, pastinya kita tidak mahu sesuatu yang menyusahkan, bukan?
Resipi #1 Nasi goreng tauhu kacang buncis
Bahan-bahan
- 3 mangkuk nasi – boleh ditambah ikut keperluan
- 100 gram kacang buncis – dihiris
- 2 ketul tauhu – digoreng sedikit
- 3 sudu makan udang kering – ditumbuk kasar
- 3 biji telur
- 1 batang lobak merah – dihiris
- 1 sudu teh serbuk lada putih
- Garam secukup rasa
- Minyak masak secukupnya
Cara penyediaan
- Panaskan minyak di dalam kuali dan masukkan bawang merah bersama tauhu yang telah dipotong dadu kecil. Masak sehingga bawang naik bau.
- Masukkan udang kering, lobak merah dan kacang buncis.
- Kemudian masukkan telur, biarkan separuh masak. Gaul rata.
- Akhir sekali, masukkan nasi dan kacau sebati. Perasakan dengan garam secukupnya.
- Sedia untuk dihidangkan.
Sup ayam huru hara
Bahan-bahan
- Ayam – bahagian paha dan tulang
- 1 bunjut sup bunjut
- 2 batang lobak merah – dipotong
- 2 biji kentang – dipotong
- 6 biji cili padi
- 1 batang serai
- 2 biji halia – dihiris
- 2 tangkai daun sup – dihiris
- 1 kiub stok ayam
- Air secukupnya
- Garam secukup rasa
- Sedikit minyak untuk menumis
Cara penyediaan
- Panaskan periuk, masukkan sedikit minyak. Tumis halia, serai dititik, bawang besar, kentang, sup bunjut. Kacau sehingga naik bau.
- Masukkan ayam dan tulang. Gaul sehingga rata.
- Kemudian masukkan air, lobak merah, kiub ayam, cili padi serta garam secukup rasa.
- Tutup periuk dan biarkan ia mendidih untuk tempoh 10 minit. Kemudian perlahankan api.
- Masukkan daun sup. Angkat dan sup sedia untuk dinikmati.
Ikan bawal masak percik
Bahan-bahan
- 2 ekor ikan bawal – dilumurkan dengan garam dan kunyit
- 2 cawan santan pekat
- 4 biji bawang merah
- 1 sudu teh gula
- 8 tangkai cili kering
- 2 batang serai – dititik
- 2 inci halia
- 3 ulas bawang putih
- 1 inci kunyit – serbuk kunyit juga boleh digunakan sebagai pengganti
- Garam secukup rasa
- Minyak secukupnya
Cara penyediaan
- Kisar cili kering, halia, bawang merah, bawang putih dan kunyit.
- Panaskan kuali, letakkan minyak dan masukkan bahan kisar sehingga naik bau.
- Masukkan serai serta santan. Kacau sebati hingga terbit minyak dan pekat.
- Perasakan dengan gula dan garam secukupnya. Tutup api.
- Bakar ikan sambil sapukan kuah yang pekat tadi.
- Setelah ikan masak, angkat dan sedia untuk dihidangkan.
# Boleh juga menggunakan sebarang jenis ikan lain yang ada di rumah. Jangan guna ikan emas sudahlah, ya?
Sosej sambal merah
Bahan-bahan
- 9 batang sosej – dipotong menyerong 2 inci
- 2 sudu makan mentega
- 5 sudu makan sos cili
- 4 sudu makan sos tomato
- ½ sudu makan sos tiram
- 1 biji bawang besar – dihiris tebal
- 1 ulas bawang putih – diketuk
- 1 batang serai – dititik
- 1 biji cili merah – dihiris
Cara penyediaan
- Panaskan kuali, masukkan mentega dan goreng sosej.
- Masukkan bawang merah, bawang putih, cili merah dan serai. Biarkan sehingga sosej masak.
- Kemudian masukkan sos cili, sos tomato dan sos tiram.
- Kacau sehingga pekat dan matikan api. Sedia untuk dinikmati.
Resepi mudah: Snek santapan anak-anak
Apabila duduk di rumah, pastinya dapur menjadi tumpuan anak-anak. Aduh…pening kepala mommies fikirkan resepi mudah untuk dibuat snek. Jangan risau, ada jawapannya.
Chewy cheese spinach
Bahan-bahan
- 250 gram keju mozarella parut – jika beli yang ketul, parutkan terlebih dahulu supaya senang cair
- 250 gram krim keju
- 1 cara daun bayam racik – daun sahaja tanpa batang
- 1 sudu makan mentega
- 1 ulas bawang putih – dicincang
- 1 sudu teh lada hitam – gunakan serbuk juga boleh
- 1 sudu teh garam halus
Bahan salutan
- ½ cara tepung gandum
- 2 biji telur – dipukul
- 1 cawan serbuk roti oren
Cara penyediaan
- Panaskan kuali, masukkan mentega dan bawang putih. Biar naik bau. Gunakan api perlahan untuk elakkan bawang menjadi garing.
- Masukkan keju mozarella dan krim keju. Kacau sehingga cair.
- Masukkan daun bayam, lada hitam dan garam secukup rasa.
- Kacau rata hingga bayam agak layu dan bertukar warna hijau gelap.
- Masukkan ke dalam bekas bersesuaian yang tidak melekat. Jika perlu, sapukan sedikit minyak pada bekas. Tekan-tekan agar rata.
- Jika mahukan bentuk bulat, kepalkan semasa keju masih panas.
- Biarkan sejuk sebelum dimasukkan ke dalam peti untuk 30 minit.
- Apabila sudah pejal, potong keju menjadi kepingan saiz yang anda gemari.
- Elakkan terlalu tebal atau nipis.
- Anda juga mempunyai pilihan untuk menggunakan cookies cutter.
- Salutkan dengan ½ cawan tepung gandum.
- Celupkan ke dalam bancuhan telur. Ulang proses: tepung – telur- tepung- telur.
- Salutkan dengan serbuk roti sehingga rata.
- Simpan kepingan keju di dalam freezer selama 15 minit sebelum digoreng.
# Lebihan yang tidak digunakan boleh dibekukan untuk kegunaan di lain masa.
Baked apple chip cinnamon
Bahan-bahan
- Epal hijau – dihiris nipis
- Gula perang atau serbuk kayu manis
Cara penyediaan
- Masukkan gula perang atau serbuk kayu manis ke dalam bekas.
- Celup rata epal bersama gula perang atau serbuk kayu manis.
- Bakarkan sehingga ranggup untuk tempoh 2 hingga 4 minit.
# Jumlah epal yang digunakan bergantung kepada jumlah isi rumah. Boleh juga menggunakan epal merah.
Banana oat pancake
Bahan-bahan
- 2 biji pisang cavendish – sebarang jenis pisang juga boleh digunakan
- 5 sudu besar instant rolled oats
- 1 biji telur
- 30 ml minyak zaitun
- 1 sudu besar jem strawberi
Cara penyediaan
- Lenyekkan buah pisang ke dalam mangkuk.
- Masukkan 1 biji telur dan gaul sebati.
- Masukkan oat dan sebatikan campuran.
- Campurkan minyak zaitun ke dalam campuran.
- Panaskan kuali tidak melekat (non-stick pan).
- Masak pancake sehingga kekuningan.
- Tuangkan jem strawberi dan sedia untuk dimakan.
Akhir kata
Apa yang dikongsikan adalah antara resepi mudah yang boleh disediakan dan boleh disimpan frozen untuk bekalan kemudian harinya. Moga ia membantu memberikan ibu-ibu idea untuk resepi masakan sepanjang tempoh kawalan pergerakan ini. Selamat mencuba!
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:
- JANGAN Ambil 9 Makanan Ini Jika Ingin Elak Diabetes
- AWAS! Jangan Ambil 8 Makanan Sihat Ini Semasa Sakit
- 5 Saat Saja, Hembus Dan Masuk Mulut: Benarkah Makanan Jatuh Boleh Dimakan?
- Lagi Kesan Buruk Makan Makanan Segera- TINGKATKAN Risiko Penyakit Kronik
- Jika Nak Panjang Umur, Makan Makanan Jepun. Ini Sebabnya!
- Jadual Kerja Padat Punca Individu Ambil Makanan Ringan, Kajian
[embed-health-tool-bmi]