Kita sering mendengar berkenaan obesiti dan juga berlebihan berat badan. Namun, adakah terdapat perbezaan yang ketara antara maksud obesiti dan juga berat badan yang berlebihan?
Jika ya, apakah perbezaannya?
Ini maksud obesiti dan berlebihan berat badan
Definisi perubatan untuk berat badan berlebihan adalah berdasarkan indeks jisim badan atau ringkasnya BMI.
Berat badan berlebihan ditakrifkan dengan mempunyai BMI antara 25.0 hingga 29.9 kg / m2. BMI normal dikira antara 18.5 dan 24.9.
Mempunyai BMI lebih rendah daripada 18.5 mengelaskan seseorang individu sebagai seorang yang mempunyai kekurangan berat badan.
Definisi perubatan untuk maksud obesiti juga bergantung pada pengiraan BMI. Untuk diklasifikasikan sebagai obes, seseorang itu mestilah mempunyai BMI bermula 30.0 atau lebih tinggi.
BMI 40.0 atau lebih besar sering disebut sebagai ‘obesiti yang lebih parah’, dan boleh dijadikan sebagai titik tolak untuk mengenal pasti pesakit yang mungkin layak menjalani pembedahan bariatrik.
Namun, perlu juga diketahui bahawa sesetengah atlet yang berotot mungkin mempunyai BMI yang tinggi disebabkan oleh berat otot yang lebih besar daripada lemak badan.
Oleh itu, BMI menjadi sebahagian daripada penilaian klinikal yang lebih besar.
Secara umumnya, terma obesiti bermaksud mempunyai lebih banyak jumlah lemak badan berbanding berat badan yang berlebihan.
Apakah yang menyebabkan obesiti dan juga berat badan berlebihan?
Penyebab asas bagi maksud obesiti dan berat badan berlebihan adalah disebabkan ketidakseimbangan tenaga antara kalori yang dimakan dan kalori yang digunakan.
Di peringkat global, terdapat beberapa penyebab hal ini terjadi dan ia adalah seperti berikut:
- Peningkatan pengambilan makanan yang tinggi tenaga serta kandungan lemak dan gula
- Peningkatan kadar mereka yang tidak aktif secara fizikal disebabkan persekitaran seperti cara bekerja, penggunaan pengangkutan tertentu dan peningkatan urbanisasi
- Kurangnya bersukan atau bersenam setiap hari
- Sejarah keluarga yang mempunyai berat berlebihan atau obes. Kanak-kanak yang mana ibu bapanya makan makanan berkalori tinggi dan tidak aktif cenderung untuk mempelajari tabiat yang sama. Genetik juga berperanan dalam menyebabkan obesiti seseorang individu. Ia akan mempengaruhi berapa banyak jumlah lemak yang kita simpan, dan di mana ia disimpan
- Mempunyai emosi yang negatif seperti bosan, kesedihan, kemarahan yang boleh mempengaruhi tabiat makan anda
Perubahan dalam pola aktiviti diet dan fizikal seseorang individu tersebut sering terjadi akibat faktor persekitaran di sekeliling manusia.
Apakah wujud kesan kesihatan yang berbeza antara individu obes dengan mereka yang lebih berat badan?
Sebenarnya, tidak terdapat perbezaan bagi kesan negatif yang mungkin berlaku terhadap kesihatan mereka yang obes dan juga individu yang mempunyai berat badan berlebihan.
Kadar BMI yang tinggi bagi kedua-dua obesiti dan berat badan berlebihan akan meningkatkan faktor risiko utama bagi penyakit-penyakit seperti berikut:
- Penyakit kardiovaskular (terutamanya penyakit jantung dan strok), yang merupakan penyebab utama kematian pada tahun 2012 di seluruh dunia
- Diabetes
- Gangguan muskuloskeletal (terutamanya osteoartritis – penyakit degeneratif sendi yang melumpuhkan)
- Beberapa jenis kanser (termasuk kanser endometrium, payudara, ovari, prostat, hati, pundi hempedu, buah pinggang, dan usus besar)
Obesiti kanak-kanak dikaitkan dengan kemungkinan berlakunya obesiti, kematian pramatang dan kecacatan apabila mereka telah dewasa.
Selain itu, kanak-kanak yang obes juga akan mengalami kesukaran untuk bernafas, peningkatan risiko patah tulang, hipertensi, penanda awal penyakit kardiovaskular, kerintangan insulin dan juga kesan terhadap psikologi.
Bolehkah masalah obesiti dan juga berat badan lebih ini dielakkan?
Obesiti dan juga berat badan lebih adalah antara perkara yang boleh dielakkan.
Persekitaran dan komuniti yang sentiasa memberikan sokongan adalah asas dalam membentuk pilihan seseorang itu, dengan menjadikan makanan sihat dan aktiviti fizikal yang teratur sebagai pilihan termudah.
Dengan sokongan seperti ini, ia boleh mengelakkan kadar obesiti daripada terus meningkat.
Antara perkara yang boleh dilakukan oleh seseorang itu untuk mengelakkan obesiti ialah:
- Hadkan pengambilan tenaga daripada sumber lemak dan juga gula
- Meningkatkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran, serta kekacang, biji-bijian dan bijirin penuh
- Lakukan aktiviti fizikal secara berkala iaitu sekitar 60 minit sehari untuk kanak-kanak dan 150 minit sepanjang minggu untuk orang dewasa
Kesimpulan
Apa yang perlu anda lakukan adalah dengan mengikuti saranan yang telah dinyatakan seperti di atas untuk mengelakkan obesiti.
Sentiasalah bersenam setiap hari agar kalori berlebihan dalam tubuh dapat dibakar dengan baik dan seterusnya menurunkan berat badan anda.
Semakin rendah BMI anda, maka semakin kurang risiko anda untuk mendapat pelbagai masalah kesihatan lain yang disebabkan oleh berat badan berlebihan.
[embed-health-tool-bmi]