backup og meta

Keliru Nak Sarapan Apa? Jom Try Menu Sarapan Pagi Yang Sihat Dan Sedap Ini

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 09/05/2022

    Keliru Nak Sarapan Apa? Jom Try Menu Sarapan Pagi Yang Sihat Dan Sedap Ini

    “Emm, nak makan apa pagi ni…” Biasalah kalau pada waktu pagi, masing-masing sudah tidak tahu mahu mengambil jenis makanan apa sebagai hidangan pertama mereka pada hari tersebut. Tetapi, pernahkah anda terfikir untuk mengambil menu sarapan pagi yang sihat?

    Bihun goreng, nasi lemak, roti canai, kuih karipap, teh tarik, semua telah dicuba pada hari-hari yang lepas. Kadangkala, menu sarapan pagi yang sama setiap hari juga boleh menghilangkan selera makan

    Apa kata, kami cadangkan beberapa jenis menu sarapan pagi yang sihat yang mungkin anda boleh cuba dan membuka selera anda pada setiap pagi. Bukan apa, tidak elok juga kalau setiap hari anda makan makanan berminyak dan berlemak sebagai hidangan sarapan anda.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Pemakanan Sihat, sila dapatkannya di sini.

    Jenis-jenis menu sarapan pagi yang sihat yang boleh anda cuba

    #1. Telur

    menu sarapan pagi yang sihat

    Hidangan yang satu ini pasti diambil oleh hampir kesemua orang pada waktu sarapan pagi. Nasi lemak dengan potongan telur rebus, atau bihun goreng dengan sebiji telur goreng, siapa sahaja yang mampu menolak keenakannya.

    Mungkin selepas ini anda boleh mencuba hidangan telur dengan cara penyediaan yang lebih sihat seperti telur rebus dan juga poached egg.

    Kajian telah menunjukkan bahawa memakan telur pada waktu pagi boleh meningkatkan rasa kekenyangan, mengurangkan pengambilan kalori pada hidangan seterusnya dan membantu mengekalkan kestabilan gula darah dan tahap insulin.

    Tambahan lagi, bahagian kuning telur mengandungi lutein dan zeaxanthin, sejenis antioksidan yang membantu mencegah penyakit mata seperti katarak dan degenerasi makula.

    Selain itu, telur juga merupakan sumber kolin yang terbaik, iaitu nutrien yang amat membantu dalam perkembangan kesihatan otak dan hati.

    Baca juga:

    #2. Yogurt Greek

    Pada kebiasaannya, makanan yang ditapai atau difermentasi adalah sangat baik untuk kesihatan usus anda dan diambil untuk sarapan pagi, begitu juga dengan yogurt Greek.

    Protein yang terkandung dalam yogurt ini pula telah menunjukkan kesan mampu mengurangkan rasa lapar dan mempunyai kesan terma yang lebih tinggi berbanding lemak dan karbohidrat. Kesan terma bermaksud peningkatan kadar metabolik yang berlaku setelah anda makan.

    Selain itu, yogurt dan juga produk-produk tenusu yang lain juga membantu dalam pengawalan berat badan kerana makanan jenis ini meningkatkan tahap hormon yang menggalakkan kekenyangan.

    #3. Oat sebagai sarapan pagi sihat

    menu sarapan pagi yang sihat

    Siapa sahaja yang tidak kenal dengan oat atau oatmeal dan ramai yang pasti tahu ia adalah jenis makanan yang sesuai diambil sebagai menu sarapan pagi yang sihat.

    Oat mengandungi sejenis serat unik yang dipanggil oat beta-glucan. Antara kebaikan serat ini ialah dapat mengurangkan kolesterol dalam tubuh anda. Selain itu, oat beta-glucan adalah sejenis serat likat yang menggalakkan rasa kenyang jika anda memakannya.

    Walau bagaimanapun, perlu diingat bahawa satu cawan oat (sekitar 235 gram) hanya mengandungi sekitar 6 gram protein sahaja, yang mungkin tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan sarapan yang kaya dengan kandungan protein. 

    #4. Kekacang

    menu sarapan pagi yang sihat

    Jika anda makan kacang semata-mata pada waktu sarapan pagi, ia mungkin sedikit pelik. Malah, ia mungkin kurang enak dan kurang memuaskan perut anda.

    Oleh itu, salah satu cara yang boleh anda lakukan adalah dengan menambahkan kekacang dalam hidangan sarapan pagi anda. Mungkin anda boleh mencuba nasi lemak dengan tambahan kacang yang lebih, roti panggang dengan kacang parang dalam tin atau hidangan yogurt dan oat dengan campuran kacang.

    Selain itu, kekacang juga merupakan menu sarapan pagi yang sihat. Ia dilihat mampu mengurangkan rintangan insulin dan mengurangkan keradangan. Kesemua jenis kekacang juga tinggi dengan kandungan magnesium, kalium dan lemak mono tidak tepu yang baik untuk kesihatan jantung.

    #5. Cuba makan buah pisang semasa sarapan pagi

    menu sarapan pagi yang sihat

    Ini mungkin antara jenis menu sarapan pagi yang sihat, paling mudah, ringkas dan menjimatkan masa. Anda tidak perlu hidangan sampingan lain kerana buah pisang sudah sedia enak walaupun anda memakannya begitu sahaja.

    Pisang amat terkenal dengan kandungan kaliumnya yang tinggi. Jika anda masih tidak mengetahui apakah fungsi kalium untuk tubuh anda, disini kami ingin membuka rahsianya. 

    Kalium adalah nutrien yang penting yang membantu menurunkan tekanan darah secara semula jadi. Jika anda menginginkan menu sarapan pagi yang lengkap dengan pelbagai nutrien, campurkan potongan pisang dalam hidangan bijirin anda atau kisar untuk dijadikan milk shake.

    Kesimpulan

    Mengapa menu sarapan pagi yang sihat amat penting? Kerana sarapan pagi membekalkan tenaga yang mencukupi untuk memulakan hari anda setelah anda tidak memperoleh sebarang sumber tenaga ketika anda tidur pada waktu malam.

    Tambahan lagi, jika anda skip waktu sarapan pagi anda, anda akan lebih cenderung untuk makan lebih banyak atau meningkatkan pengambilan kalori pada waktu makan yang seterusnya.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 09/05/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan