backup og meta

Buah Donut Peach Sedap & Berkhasiat, Tapi Tak Semua Orang Boleh Makan!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 09/10/2023

    Buah Donut Peach Sedap & Berkhasiat, Tapi Tak Semua Orang Boleh Makan!

    Baru-baru ini, viral mengenai sejenis buah iaitu donut peach yang menjadi buruan ramai. Apa yang menarik sangat mengenai buah peach donut ini sehingga tular di pelbagai platform media sosial? Di mana hendak cari donut peach near me?

    Ikuti fakta menarik mengenai buah unik di bawah ini. 

    Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Pemakanan Sihat, anda boleh klik di sini.

    Viral buah peach donut di Malaysia

    Buah pic atau peach yang dikenali sebagai ‘Donut Peach’ atau ‘Flat Peach’ kini menjadi tular.

    Ia hangat dikongsi dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya di platform media sosial seperti TikTok.

    Buah ini menarik perhatian ramai kerana bentuknya yang unik, seakan-akan kuih donut yang berbeza daripada buah pic biasa yang kita kenali.

    Pic donut mempunyai kulit yang berwarna merah dan kuning dengan tekstur kulit berbaldu. Isi bahagian dalamnya pula berwarna putih.

    Bentuknya yang pipih di tengah-tengah menjadikan rupanya kelihatan seperti donut.

    Hal tersebut menjadikan buah ini begitu menarik dan menjadi kegemaran ramai.

    Selain bentuknya yang unik, buah ini juga menjadi rebutan netizen kerana rasanya yang manis dan berjus.

    Ramai yang memuji rasa buah ini dan mengatakan bahawa ia adalah antara jenis buah pic yang terbaik yang pernah mereka rasa.

    Buah pic donut kini boleh didapati di banyak kedai buah dan pasar raya di seluruh Malaysia. Jadi tidak sukar untuk mencari buah donut peach near me, cuma kalau lambat mungkin selalu sold out.

    Harganya juga agak berpatutan, menjadikannya pilihan yang bagus untuk mereka yang ingin mencuba buah baharu atau mencari alternatif kepada buah-buahan biasa.

    Asal usul buah donut peach

    donut peach

    Buah pic ini sebenarnya berasal dari negara China.

    Selain dikenali dengan nama pic donut atau flat peach, ia juga disebut sebagai Saturn peach.

    Nama ‘Saturn’ diberikan kerana bentuk buah ini yang pipih, hampir mirip dengan cincin planet Zuhal atau Saturn.

    Walaupun buah ini mungkin kelihatan asing di Malaysia, namun ia telah lama menjadi sebahagian daripada diet orang ramai di seluruh dunia, terutamanya di Amerika Syarikat dan Eropah.

    Ini kerana ia banyak ditanam di negara-negara tersebut. 

    Fakta nutrisi buah pic donut

    Donut peach bukan sahaja lazat, tetapi juga kaya dengan pelbagai nutrisi.

    Buah ini adalah sumber yang baik bagi anda mendapatkan vitamin A dan C, selain kaya dengan serat pemakanan.

    Selain itu, ia juga mengandungi potasium yang penting untuk kesihatan jantung.

    Ia turut mengandungi niasin dan vitamin E, yang memainkan peranan penting dalam kesihatan kulit dan sistem imun.

    Dengan hanya sekitar 50 kalori bagi setiap biji pic donut, ia adalah pilihan yang sihat untuk dijadikan sebagai snek setiap hari.

    Khasiat apabila anda makan buah ini

    donut peach

    Buah pic ini bukan sahaja lazat, tetapi juga boleh memberikan pelbagai manfaat kesihatan kepada kita.

    Kandungan serat yang tinggi dalam buah ini dapat membantu proses pencernaan.

    Vitamin C yang terkandung di dalamnya pula berfungsi sebagai antioksidan dan membantu dalam pembentukan kolagen untuk kesihatan kulit.

    Selain itu, vitamin A dalam buah ini juga penting untuk kesihatan mata dan peningkatan sistem imun.

    Kesan sampingan jika makan terlalu banyak buah pic donut

    Walaupun pic donut adalah sumber nutrisi yang baik, namun ia masih boleh membawa kepada beberapa masalah kesihatan jika anda mengambilnya secara berlebihan.

    Sebagai contoh, makan terlalu banyak buah yang kaya dengan serat ini boleh menyebabkan sembelit, terutamanya jika anda kurang minum air.

    Selain itu, buah ini juga mengandungi cukup banyak kandungan gula semula jadi.

    Oleh itu, ia mungkin tidak sesuai bagi mereka yang menghidap kencing manis atau diabetes.

    Buah ini juga mungkin boleh menyebabkan reaksi alahan kepada mereka yang alah terhadap buah pic.

    donut peach

    Individu yang alergik kepada buah daripada keluarga Rosaceae seperti epal dan strawberi, mungkin juga mengalami reaksi alergi setelah memakan buah pic ini. 

    Kesimpulan

    Buah pic donut adalah jenis buah yang menarik dan bermanfaat untuk diet harian kita.

    Walaupun buah ini sedang viral di Malaysia, penting untuk kita mengetahui manfaat, nutrisi dan had pemakanannya agar tidak memberikan kesan sampingan lain kepada tubuh.

    Nikmatilah buah ini secara sederhana dan rasailah kebaikan yang luar biasa daripada buah unik ini.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 09/10/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan