Diet eat clean dikaitkan dengan gaya hidup sihat dan tubuh yang cantik seperti sering dilihat dan dipromosikan oleh banyak influencer di dalam laman media sosial.
Walaupun istilah ini banyak digunakan, tidak pernah ada kesepakatan mengenai apa maksud sebenarnya atau kajian menyeluruh yang meneliti kemungkinan manfaat cara diet eat clean secara keseluruhan.
Begitu banyak pemahaman berbeza daripada setiap individu, ada yang berpendapat anda harus menjadi seorang vegetarian, makan diet bebas gula dan sebagainya.
Di sinilah bermula banyak mitos berkaitan cara diet eat clean, teruskan membaca untuk mengetahui dengan lebih lanjut!
Mitos cara diet eat clean
#1 Buah-buahan mengandungi gula tidak baik
Buah-buahan sememangnya mempunyai gula di dalamnya, iaitu disebut sebagai fruktosa.
Dalam dos yang tinggi, fruktosa dikaitkan dengan sindrom metabolik (masalah kesihatan yang meningkatkan risiko mendapat diabetes dan penyakit jantung.)
Tetapi jika berkaitan dengan gula dalam buah-buahan, tidak perlu risau. Penyelidikan menunjukkan bahawa buah-buahan adalah menyihatkan dan mengandungi jumlah fruktosa yang minimum.
Selain fruktosa, buah-buahan juga memiliki serat, nutrien yang akan melambatkan penyerapan gula ke dalam aliran darah anda.
#2 Karbohidrat membuatkan anda gemuk
Kita semua sering dengar bahawa untuk menurunkan berat badan, kita harus berhenti makan makanan berkarbohidrat kerana ia punca masalah gemuk.
Namun apa yang sering disalahertikan ialah, karbohidrat mempunyai pelbagai jenis, yang baik serta tidak.
Makanan berkarbohidrat yang baik terbukti dapat membantu mengurangkan berat badan, lemak badan, dan pertumbuhan otot yang baik.
Selain itu, karbohidrat adalah sumber tenaga utama dan penting untuk fungsi badan yang optimum.
Sayur-sayuran, buah-buahan, dan biji-bijian adalah contoh karbohidrat baik untuk dimasukkan ke dalam cara diet eat clean yang sihat.
Karbohidrat baik juga mengandungi nutrien dan serat penting yang memberikan tenaga yang berkekalan sepanjang hari.
Sebaliknya, karbohidrat buruk yang kekurangan nilai nutrien boleh menyumbang kepada masalah kesihatan dan kenaikan berat badan.
Antara contoh karbohidrat yang harus dielakkan termasuklah minuman bergula, roti putih, makanan yang diproses, dan aiskrim.
#3 Makanan organik membekalkan nutrien yang lebih baik
Pasaran bagi diet pemakanan bersumberkan organik telah berkembang pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Tetapi makanan organik tidak semestinya bermaksud lebih sihat. Terdapat kajian terhad mengenai perkara ini, tetapi tinjauan klinikal menunjukkan diet organik tidak lebih padat nutrien daripada diet konvensional.
Makanan organik boleh menjadi diet pemakanan yang lebih mahal daripada makanan konvensional walaupun tidak ada perbezaan dalam nilai nutrien yang ketara.
#4 Makan selepas pukul 6 petang buat anda gemuk
Makan selepas jam 6 petang, semestinya tidak akan membuat anda gemuk dan ini adalah antara mitos yang dipercayai oleh pengamal diet eat clean.
Sebaliknya, jika anda mendapati diri sering lapar pada tengah malam, kerana kurang makan pada siang hari dan menebusnya pada waktu malam, maka ia mungkin menjadi masalah bagi anda.
Tahukah anda, makan sebelum tidur mungkin mempunyai beberapa manfaat kesihatan? Menurut Institut Kesihatan Nasional, ia membekalkan tubuh dengan nutrien sebelum tidur yang mendorong perubahan fisiologi positif.
Selain itu, hasil tersebut dapat ditingkatkan dengan lebih lagi apabila makan lewat malam digabungkan dengan latihan senaman pada siang hari.
#5 Jus membantu anda detoks
Anda mungkin pernah mendengar bahawa jus adalah cara yang baik untuk menyahtoksin badan daripada ‘kekotoran.’
Tetapi adakah adunan minum jus buah-buahan mahupun sayur-sayuran merupakan idea yang baik dan memberikan impak positif terhadap kesihatan?
Tidak juga, kerana apabila anda memilih jus daripada keseluruhan buah-buahan dan sayuran, anda akan kekurangan serat iaitu nutrien yang membantu tubuh mencerna makanan dengan lebih perlahan.
Dengan meminum jus, anda ‘membuangkan’ banyak gula ke dalam aliran darah tanpa serat, lemak, atau protein untuk melambatkan prosesnya.
Selain itu, masih tidak ada bukti saintifik untuk menyokong manfaat kesihatan jus dengan hanya memasukkan buah-buahan dan sayur-sayuran dalam makanan.
The American Journal of Medicine melaporkan kes kerosakan saraf disebabkan oleh diet pemakanan yang dikenali sebagai puasa jus 6 minggu.
Oksalat, sebatian dalam makanan tumbuhan boleh menjadi toksik jika diambil dalam dos tinggi.
Dalam kes ini, seorang pesakit mengalami kegagalan ginjal akut yang disebabkan oleh pengambilan jus buah-buahan dan sayuran yang kaya dengan oksalat.
Rumusan
Tidak kira sama ada anda seorang pengamal diet eat clean ataupun tidak, jika mahukan kesihatan menyeluruh yang baik, amalkan diet makanan seimbang yang disyorkan dan diiktiraf oleh pakar perubatan.
Jika terdapat sebarang keraguan mengenai pengambilan atau pengamalan makanan tertentu, pastikan anda mendapatkan nasihat daripada golongan yang bertauliah ya!
[embed-health-tool-bmi]