Anda Nak Kekal Kurus? Makan Kacang Je

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 02/07/2020

    Anda Nak Kekal Kurus? Makan Kacang Je

    Kami ingin bertanya kepada anda, berapa jenis kacang yang anda tahu dan kenal? Mungkin yang paling terkenal adalah kacang tanah disebabkan anda memakannya setiap hari daripada nasi lemak anda. Selain itu, anda juga pasti mengenali kacang pistachio, badam, gajus, kacang parang dan pelbagai jenis kacang-kacang lain yang tinggi harganya. Harga kacang turut bergantung kepada variasinya yang tersendiri, bermula semurah kacang tanah sehinggalah yang mahal harganya seperti macadamia yang mungkin tidak dijumpai di kedai-kedai runcit. Bagi peminat kacang, ada khabar baik untuk anda. Apa dia? Baca penulisan kami di bawah untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

    Kacang kekalkan berat badan anda

    Menurut satu kajian yang dilakukan oleh Universiti Harvard, memakan sebilangan kecil atau separuh hidangan kacang setiap hari mampu untuk membantu anda mengekalkan berat badan. Adakah kajian ini benar-benar terbukti? Ya, ini kerana kajian ini telah dilaksanakan dengan cara menjejaki seramai 300,000 individu selama dua dekad. Peserta kajian telah ditanyakan berkenaan jumlah kacang yang mereka ambil selain melakukan analisis berdasarkan berat badan, diet dan aktiviti fizikal mereka. Hasilnya, peserta kajian yang memakan 14 gram kacang setiap hari didapati mempunyai berat badan yang lebih kurang selain kurang cenderung untuk menjadi obes.

    Kadar pengurangan berat badan

    Pengambilan sebarang jenis kacang dikaitkan dengan kurangnya penambahan berat badan dalam tempoh jangka panjang selain mengurangkan risiko menjadi obes. Menurut kajian tersebut, penggantian jenis snek yang tidak sihat kepada hidangan kacang telah didapati mampu mengelakkan peningkatan berat badan sebanyak 0.41 hingga 0.7 kilogram dalam 4 tahun berikutnya. Selain itu, penambahan separuh hidangan kacang dalam pemakanan yang baharu dikaitkan pengurangan berat badan sebanyak 0.74 kilogram. Begitu juga dengan pengambilan separuh hidangan kacang setiap hari, telah dikaitkan dengan penurunan risiko menjadi obes sebanyak 23%.

    Apakah sebenarnya yang terdapat dalam kacang?

    Kandungan serat yang tinggi dalam kacang menjadikan individu yang memakannya kenyang lebih lama. Selain itu, serat kacang turut mengikat dengan baik bersama lemak di dalam usus, menyebabkannya lebih banyak kalori dikeluarkan. Selain serat, kacang juga diketahui kaya dengan kandungan lemak tidak tepu, vitamin dan mineral.

    Untuk makluman pembaca, kajian tersebut telah meneliti hasil kajian daripada pemakanan pelbagai jenis kacang yang tidak terhad kepada satu-satu jenis kacang sahaja. Oleh itu, jika anda tidak meminati kacang tanah tetapi masih bermotivasi untuk mengekalkan berat badan ideal, cubalah mengambil jenis kacang yang lain seperti badam, walnut dan macadamia. Siapa tahu, mungkin selera anda lebih kepada jenis kacang-kacang branded atau high-class.

     

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 02/07/2020

    Iklan
    Iklan
    Iklan
    Iklan