Mini Stroke: Amaran Kepada Strok

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Setiap sel di dalam badan manusia memerlukan bekalan oksigen yang dibawa oleh sel darah merah di dalam darah. Darah yang dipam oleh jantung beredar ke seluruh badan sehingga semua sel mendapat bekalan yang secukupnya. Jika bekalan ini terganggu, sel terbabit akan kebuluran oksigen dan mungkin akan mati. Setiap sel pada organ berbeza menunjukkan simptom tertentu apabila mati.

Otak juga mempunyai sel-sel yang memerlukan oksigen. Sel tersebut disebut sebagai neuron. Jika bekalan oksigen terputus dan neuron terbabit mati, simptom-simptom seperti apa yang dilihat pada pesakit strok akan berlaku.

Awasi mini stroke

Strok berlaku apabila pembuluh darah di bahagian tertentu pada otak tersumbat atau pecah sehingga darah tidak sampai kepada sel tersebut. Ada juga keadaan di mana pembuluh darah tersumbat tetapi hanya untuk beberapa ketika sahaja sebelum darah boleh mengalir semula.

Keadaan ini disebut sebagai transient ischaemic attack (TIA) atau mini stroke. Pesakit yang mengalami serangan ini akan menunjukkan simptom seperti serangan strok (lumpuh kaki dan tangan, mulut senget, susah bercakap) tetapi akan hilang selepas kurang daripada 24 jam. Ini adalah kerana halangan pada aliran darah tersebut berakhir apabila darah beku yang bertanggungjawab mengehentikan aliran darah terusir atau menjadi cair.

Apakah kepentingannya?

Meskipun serangan dan simptom tersebut hanya sementara, ia hakikatnya adalah petanda kepada pembuluh darah yang sudah sempit. Cuma ia tidak terlalu sempit sehingga menyebabkan strok. Namun, anda perlu berhati-hati kerana risiko untuk mengalami serangan strok adalah tinggi.

Jika anda mengalaminya, sila dapatkan nasihat perubatan dengan segera walaupun simptom telah berlalu pergi. Evaluasi ke atas keadaan anda secara keseluruhan harus dijalankan untuk menilai faktor risiko yang ada, seterusnya merancang pelan bagi mencegah strok daripada berlaku.

Badan manusia telah dijadikan dengan sistem yang sangat baik. Sebarang kerosakan yang berlaku akan dizahirkan melalui simptom. Jangan abaikan isyarat daripada badan anda!

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut