backup og meta

Penyakit Jantung Boleh Menjadi Pembunuh Nombor 1 Pesakit Diabetes

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 06/03/2023

    Penyakit Jantung Boleh Menjadi Pembunuh Nombor 1 Pesakit Diabetes

    Dianggarkan hampir 1 daripada 3 pesakit diabetes jenis 2 menghidap penyakit kardiovaskular di seluruh dunia2. Ini membuktikan bahawa pesakit diabetes lebih berisiko menghidap penyakit kronik seperti penyakit kardiovaskular (CVD) yang mempengaruhi jantung dan saluran darah1. Apa yang lebih membimbangkan adalah pesakit tersebut juga dua kali ganda lebih berisiko untuk menghadapi maut disebabkan oleh penyakit jantung atau strok1.

    Namun, masih ada beberapa cara yang boleh diamalkan pesakit diabetes untuk menurunkan risiko tersebut. Sebelum itu, marilah kita fahami dahulu bagaimana diabetes boleh meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular dan apakah kaedah rawatan yang berupaya mencegahnya.

    Bagaimana Diabetes Meningkatkan Risiko Penyakit Jantung?

    Apabila badan tidak dapat mengawal gula dalam darah dengan sebaiknya, keadaan ini mungkin menyebabkan kerosakan pada saluran darah, lalu meningkatkan kepekatan darah yang mengakibatkan tekanan darah tinggi. Keadaan tersebut juga boleh memutuskan bekalan oksigen dan nutrien penting ke jantung3.

    Jika diabetes tidak diurus dengan efektif, pesakit diabetes lebih berisiko menghidap penyakit jantung seperti ateriosklerosis dan strok kerana lebihan kolesterol “jahat” (LDL) di dalam saluran darah boleh menyebabkan keradangan yang membentuk plak.

    Ditambah pula jika paras trigliserida (sejenis lemak dalam darah) meningkat dan kolesterol “baik” (HDL) mengurang. Ia boleh menyebabkan arteri menyempit dan keras, serta mengehadkan bekalan darah ke organ utama. Jika plak pecah, ia boleh menyebabkan trombosis yang membawa ke penyakit jantung dan boleh mengakibatkan maut atau strok3, 4.

    Pesakit diabetes yang mempunyai tabiat merokok, berat badan berlebihan, amalan kurang bersenam, mengamalkan pemakanan yang tidak sihat dan pengambilan alkohol secara berlebihan mungkin juga memiliki risiko penyakit kardiovaskular yang lebih tinggi4.

    Perubahan Gaya Hidup Membantu Pengurusan Diabetes & Menurunkan Risiko Penyakit Jantung

    Pesakit diabetes harus mengamalkan gaya pemakanan yang lebih sihat seperti pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran, daging tanpa lemak, dan bijirin penuh bagi menurunkan risiko penyakit jantung dan menguruskan diabetes dengan lebih efektif.

    Senaman juga dapat mengawal paras gula dalam darah dengan lebih baik, kerana insulin yang dirembes boleh meningkatkan pengambilan glukosa oleh sel badan untuk dijadikan sebagai tenaga. Teknik pengurusan stres seperti meditasi dan latihan pernafasan, serta sokongan daripada keluarga atau penjaga turut membantu pesakit diabetes1.

    Mematuhi pengambilan ubat diabetes seperti yang dipreskripsi doktor juga sama penting seperti perubahan gaya hidup di atas. Berita baiknya, terapi baharu bukan sahaja dapat mengawal kadar indeks glisemik (GI) secara optimum, malah memberi perlindungan terhadap penyakit kardiovaskular, dan membantu penurunan berat badan secara sihat sedang giat dibangunkan.

    Ubat antidiabetik ini dikenali sebagai glucagon-like-peptide-1 receptor agonists (GLP-1 RA), dan tidak berfungsi seperti terapi konvensional yang lain (misalnya, insulin). Suntikan GLP-1 RA boleh diambil sekali sehari atau seminggu sekali. Didatangi dalam bentuk alat suntikan pen, setiap suntikan GLP-1 RA yang diambil berfungsi meniru aktiviti dan fungsi hormon semulajadi GLP-1 di dalam badan.

    GLP-1 RA juga meningkatkan jangka masa kekenyangan dan melambatkan proses pencernaan makanan, dan selanjutnya mencegah risiko pengambilan makanan secara berlebihan yang boleh menyebabkan kenaikan berat badan tidak seimbang. Ia turut dapat mencegah kenaikan paras gula yang mendadak selepas makan5,6.

    GLP-1 RA dapat menurunkan asid lemak selepas makan dan membantu menghalang pembentukan plak dan meningkatkan kestabilan plak7. Ia merupakan ubat antidiabetik yang berpotensi untuk mengawal kadar gula dalam darah, merendahkan risiko hipoglesemia, membantu penurunan berat badan, dan mengurangkan risiko kematian akibat penyakit kardiovaskular.

    Namun begitu, anda disaran untuk mendapatkan konsultasi doktor yang bertauliah sebelum memilih dan merangkumkan terapi GLP-1 RA dalam pelan pengurusan diabetes dan penurunan berat badan.

    Pengesanan awal juga merupakan satu langkah pencegahan utama. Jika anda menghidap diabetes, atau berisiko menghidapnya, jalani saringan dan pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi membantu anda mencapai kualiti hidup yang lebih baik.

    Memang sukar untuk dipercayai bahawa diabetes boleh meningkatkan risiko penyakit jantung. Namun, jika anda kekal berdisiplin dalam menguruskan diabetes dengan efektif, dan mengambil langkah yang betul untuk mengawal risiko, penyakit ini boleh dihindari.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 06/03/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan