Rinitis Alergi Dan Kecelaruan Panik: Apakah Risiko Anda?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Rinitis alergi atau lebih dikenali sebagai allergic rhinitis (AR) dalam bahasa Inggeris, dizahirkan melalui simptom-simptom seperti bersin, hidung tersumbat dan hidung berair, di samping berupaya untuk mengakibatkan bukan sahaja gangguan fizikal, bahkan mental. Stres fizikal dan mental yang dikaitkan dengan Rinitis alergi mampu mengganggu hubungan pesakit dengan keluarga mereka pada kadar yang signifikan. Masalah kesihatan mental yang berkaitan dengan rinitis alergi ini melibatkan komplikasi seperti masalah tidur, prestasi sekolah yang tidak bagus dan hiperaktif. Sebelum ini, terdapat beberapa kajian yang telah dijalankan bagi mengkaji hubungan antara penyakit atopi dan masalah psikatri, khususnya masalah keresahan dan panik (seperti penyakit rinitis alergi dan kecelaruan panik). Walau bagaimanapun, kajian-kajian ini semuanya mempunyai had disebabkan oleh bentuk kajian dan kaedah kajian mereka – reka bentuk kajian keratan-rentas, laporan simptom kendiri, ketiadaan perbandingan terkawal, dan kurangnya pertimbangan terhadap peranan dan pengaruh perkara-perkara lain seperti penggunaan steroid dan juga komorbiditi yang lain.

Melihat kepada permasalahan ini, sekumpulan pengkaji daripada beberapa institusi di Taiwan, memilih untuk mengkaji kaitan longitudinal antara rinitis alergi dan kecelaruan panik dalam bentuk kajian kohort penduduk Taiwan berskala besar. Di Taiwan, prevalens rinitis alergi yang didiagnos oleh doktor dilaporkan berada pada 28.6% dan 19.5% dalam kalangan lelaki dan wanita sekolah menengah, mengikut urutan. Peningkatan prevalens rinitis alergi ini dipengaruhi oleh peningkatan industrialisasi, urbanisasi, suhu bukan musim panas yang tinggi dan juga pencemaran udara berkait dengan trafik dan jalan raya.

Kajian kohort yang melihat kaitan antara rinitis alergi dan kecelaruan panik ini membabitkan sekitar 79,917 kes rinitis alergi yang baru didiagnos dan 79,917 kes kawalan yang telah diselarikan atau disuaikan dan diperoleh oleh Pangkalan Data Insurans Kesihatan dan Kajian Taiwan (NHIRD), yang meliputi tempoh waktu daripada tahun 1998 hingga 2012. Kedua-dua kumpulan telah diikuti perkembangan mereka sehingga tahun 2013 bagi melihat insiden kecelaruan panik yang baru. Pemadanan antara kedua-dua kumpulan dilakukan per kes, mengikut faktor usia, tempat tinggal, kependudukan dan premium insurans.

Pada penghujung kajian, analisis regresif Cox telah dilakukan, disuaikan mengikut jantina, umur, tahap kependudukan, premium insurans, pengunaan steroid sistemik, asma, dermatitis atopi, konjunktivitis alergi, ADHD dan kemurungan, dan keputusan kajian ini menunjukkan bahawa penghidap rinitis alergi dikaitkan dengan risiko dua kali ganda lebih tinggi untuk menghidap kecelaruan panik. Tambahan lagi, terdapat beberapa faktor risiko tidak bersandar yang dikaitkan dengan kecelaruan panik seperti wanita, kumpulan umur yang lebih tua, dan juga kemurungan.

Kajian kohort menyeluruh ini adalah kajian pertama yang menunjukkan bahawa rinitis alergi yang baru didiagnos, yang berlaku dalam hidup seseorang itu, dikaitkan dengan peningkatan risiko kecelaruan panik sebanyak dua kali ganda (setelah disuaikan mengikut pemboleh ubah yang disebut sebelum ini). Justeru, pasukan pengkaji mencadangkan agar saringan, penilaian dan intervensi terhadap rinitis alergi terdahulu dalam kalangan pesakit kecelaruan panik adalah penting. Walaupun reka bentuk kajian kali ini adalah lebih baik dan holistik berbanding kajian terdahulu, pasukan pengkaji tetap mengiktiraf terdapat beberapa perkara yang masih boleh ditambahbaik seperti menilai kaitan rinitis alergi dan kecelaruan panik menggunakan sampel populasi yang lebih besar dan tempoh susulan yang lebih lama.

Hello Health Group tidak memberi nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

enEnglish

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut