Kenali Tanda-Tanda Kanser Paru-Paru

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Kebanyakan pesakit kanser paru-paru tidak menunjukkan apa-apa tanda atau simptom sehingga telah merebak. Sebab itu, 90 peratus daripada diagnosis adalah semasa kanser sudah berada di tahap 3 dan 4.

Namun, bagi sebahagian pesakit yang bernasib baik menunjukkan simptom sebelum kanser berada di tahap lanjut. Semakin awal seseorang mendapatkan pemeriksaan, semakin awal diagnosis boleh dibuat dan semakin banyak pilihan rawatan serta peluang untuk hidup lebih lama.

Apakah tanda-tanda kanser paru-paru?

1. Batuk berterusan atau semakin teruk

Disebabkan lebih 80 peratus daripada pesakit kanser paru-paru adalah perokok, simptom ini sering diabaikan oleh mereka. Ramai yang menyangka bahawa ia adalah batuk biasa bagi perokok, sedangkan itu mungkin petanda kepada kanser paru-paru.

Sekiranya batuk yang biasa dialami berkekalan lebih lama atau menjadi semakin teruk, sila dapatkan pemeriksaan doktor segera.

2. Batuk berdarah

Simptom ini mungkin sudah cukup untuk membuatkan seseorang risau dan pergi ke hospital bagi mendapatkan pemeriksaan. Meskipun batuk berdarah bukanlah satu kemestian bagi kanser paru-paru, ia adalah lampu merah.

3. Sakit dada yang menjadi semakin teruk semasa bernafas, batuk atau gelak ketawa

Jika bahagian paru-paru anda yang sensitif diserang oleh sel kanser, ia boleh menyebabkan sakit dada.

4. Hilang berat badan, kurang selera makan dan mudah letih

Simptom-simptom ini adalah tidak spesifik kepada kanser paru-paru, tetapi mungkin berlaku untuk semua jenis kanser atau penyakit kronik tertentu.

5. Jangkitan paru-paru yang berulang

Pesakit kanser secara amnya mempunyai sistem ketahanan (imun) badan yang rendah. Ditambah pula dengan keadaan paru-paru yang rosak, pesakit lebih cenderung untuk mengalami jangkitan paru-paru.

6. Simptom-simptom kanser merebak

Ia biasanya merebak ke hati, tulang dan otak menyebabkan sakit abdomen, jaundis, sakit dan patah tulang, serangan sawan atau tidak sedarkan diri.

Selain simptom-simptom di atas, kanser ini kadangkala menyebabkan beberapa sindrom:

1. Sindrom Horner

Sindrom ini berlaku apabila kanser menyerang saraf simpatetik yang terletak di bahagian atas paru-paru. Ia dicirikan dengan:

  • Kelopak mata atas jatuh.
  • Anak mata (pupil) menjadi kecil.
  • Kulit muka pada bahagian terbabit menjadi kering.
  • Kadangkala menyebabkan sakit bahu.

2. Sindrom superior vena cava

Superior vena cava adalah vena besar yang membawa darah daripada muka dan lengan kepada jantung. Tumor mungkin menekan vena ini menyebabkan darah gagal dibawa ke jantung. Keadaan ini menyebabkan bengkak pada muka, leher, lengan dan bahagian atas dada.

Ia juga mungkin menyebabkan sakit kepala, pening lalat dan hilang kewarasan jika melibatkan otak.

3. Sindrom paraneoplastik

Sesetengah kanser boleh menghasilkan bahan seperti hormon yang masuk ke dalam darah dan menyebabkan masalah dan simptom pada organ-organ tertentu walaupun kanser tersebut tidak merebak. Masalah dan simptom ini dinamakan sebagai sindrom paraneoplastik.

Kanser paru-paru boleh menyebabkan beberapa sindrom paraneoplastik termasuk:

  • Sindrom Cushing. Sel kanser menghasilkan hormon ACTH yang merangsang kelenjar adrenal untuk merembeskan kortisol. Kesannya, pesakit akan menjadi bertambah berat, kulit mudah lebam, lemah mengantuk atau bahkan tekanan darah tinggi dan diabetes.
  • SIADH (syndrome of inappropriate anti-diuretic hormone). Dalam sindrom ini, hormon ADH (anti-diuretic hormone) dihasilkan sehingga menyebabkan buah pinggang mengekalkan air di dalam badan dan merendahkan kepekatan garam di dalam darah. Simtompnya termasuk mudah penat, hilang selera dan lemah otot.
  • Hiperglisemia. Kadar kalsium yang tinggi di dalam darah menyebabkan kerap buang air kecil, haus, sembelit, mual, muntah, penat dan beberapa masalah saraf yang lain.

Jangan tunggu simptom datang

Memandangkan kebanyakan kanser paru-paru tidak menunjukkan simptom di tahap awal, jangan tunggu sehingga ia datang. Jika anda berisiko mendapat kanser paru-paru, khususnya jika anda merokok dengan banyak, dapatkan pemeriksaan imbasan CT untuk mengesan kanser paru-paru lebih awal.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut