Untuk mendapatkan info tentang Kesihatan Jantung, sila dapatkannya di sini.
Sistem bacaan bagi tekanan darah, nilai sistolik dan diastolik
Apa maksud systolic dan diastolic ya?
Tekanan darah manusia diukur dalam bacaan yang melibatkan dua nilai penting.
Jika anda pernah melakukan pemeriksaan kesihatan di klinik, hospital atau rumah menggunakan alat digital, pasti anda sedar akan hal ini.
Sebagai contoh, tekanan darah normal anda adalah 120/80 mmHg.
Nilai pertama (120) merupakan ukuran bagi tekanan darah sistolik di dalam salur darah.
Nilai tersebut diukur ketika otot jantung mengepam darah.
Nilai kedua pula (80) merupakan ukuran bagi tekanan darah diastolik.
Ia boleh diukur semasa otot jantung berehat di antara dua degupan.
Setiap satu daripadanya (sistolik dan diastolik) mempunyai had nilai normalnya. Jika ia melebihi nilai yang ditetapkan tanpa sebarang sebab, anda berisiko untuk didiagnosis dengan masalah hipertensi.
Mengapa penulis menggunakan perkataan berisiko? Bacaan pertama yang tidak normal boleh dipengaruhi oleh pelbagai faktor.
Antara yang paling diketahui umum adalah resah apabila berjumpa dengan kakitangan kesihatan.
Oleh sebab itulah diagnosis bagi masalah hipertensi tidak boleh dibuat hanya berdasarkan kepada bacaan semata-mata.
Sejarah kesihatan dan pemeriksaan fizikal perlu dilakukan dengan terperinci.
Klasifikasi hipertensi, berapa nilai tekanan darah normal?
Oleh yang demikian, klasifikasi hipertensi penting bagi membolehkan doktor untuk menyusun prioriti rawatan berdasarkan kepada keadaan klinikal semasa anda.
Secara amnya, interpretasi bagi kawalan tekanan darah boleh dibahagikan kepada 3:
Kawalan optimum: Bacaan sistolik lebih rendah daripada 120 mmHg dan diastolik lebih rendah daripada 80 mmHg.
Kawalan tekanan darah normal: Bacaan sistolik di antara nilai 120-129 mmHg dan/atau diastolik di antara 80-84 mmHg.
Berisiko untuk dapat hipertensi (pra-hipertensi): Bacaan sistolik di antara nilai 130-139 mmHg dan/atau diastolik di antara 85-89 mmHg.
Berapa tekanan darah yang termasuk hipertensi?
Apabila seseorang itu didiagnosis dengan masalah tekanan darah tinggi, klasifikasi hipertensi adalah seperti berikut:
Hipertensi grade 1 (Ringan): Bacaan sistolik di antara nilai 140-159 mmHg dan/atau diastolik di antara 90-99 mmHg.
Klasifikasi hipertensi tahap 2 (Sederhana): Bacaan sistolik di antara nilai 160-179 mmHg dan/atau diastolik di antara 100-109 mmHg.
Tahap 3 (Teruk): Bacaan sistolik bersamaan atau lebih daripada nilai 180 mmHg dan/atau diastolik bersamaan atau lebih daripada nilai 110 mmHg.
Masalah hipertensi sistolik terpencil (isolated systolic hypertension): Bacaan sistolik bersamaan atau lebih daripada nilai 140 mmHg namun diastolik bersamaan atau kurang daripada nilai 90 mmHg.
Setiap bacaan perlu diambil dua kali pada dua masa berbeza.
Jika nilai yang diukur lebih daripada apa yang dinyatakan sebagai normal, seseorang itu berisiko didiagnosis dengan masalah hipertensi.
Guna alat sphygmomanometer untuk kesan masalah hipertensi awal
Alatan yang boleh mengukur tekanan darah dengan tepat adalah sphygmomanometer merkuri yang sering digunakan di klinik.
Anda pasti pernah nampak, kan? Doktor membalut tangan anda dengan cuff alat tersebut, kemudian mengepam bagi menyekat aliran darah ke tangan secara manual.
Namun, alat tersebut memerlukan kecekapan dan familiariti dengan bunyi degupan bagi menentukan nilai sistolik dan diastolik.
Bagi orang awam, cukuplah untuk anda menggunakan alatan elektronik.
Ia boleh mengukur tekanan darah secara automatik dan anda hanya perlu menekan butang ‘mula’ sahaja.
Perkara yang perlu anda beri perhatian adalah saiz cuff (balutan yang disarungkan di tangan) yang digunakan.
Sebelum guna alat tekanan darah, pastikan:
Secara amnya:
Panjang cuff tersebut perlulah meliputi 80% ukur lilit lengan.
Lebar cuff mesti sekurang-kurangnya 40% ukur lilit lengan.
Anda perlu merehatkan diri sekurang-kurangnya 1 minit sebelum mengambil tekanan darah.
Setelah nilai tekanan darah berjaya diperolehi, ambil bacaan kali kedua selepas berehat di antara 1 hingga 2 minit.
Jika beza di antara bacaan pertama dan kedua lebih 10 mmHg, pastikan anda mengulang buat kali ketiga.
Nilai bagi bacaan kedua dan ketiga kemudiannya perlu dipuratakan.
Konklusi
Prosedur ambil tekanan darah tidak rumit. Walau bagaimanapun, interpretasi terhadap nilai tekanan darah tersebut tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya. Jika anda memeriksa tekanan darah di rumah dan didapati ia tinggi, rujuk doktor anda untuk khidmat nasihat kesihatan.
Penafian
Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen