Apa itu Pneumonia?

Oleh

enEnglish

Definisi

Apa itu Pneumonia?

Pneumonia adalah jangkitan akut pada salah satu lobus dari paru-paru kanan atau kiri, atau keseluruhan paru-paru. Ada banyak jenis kuman yang boleh mengakibatkan pneumonia. Paru-paru yang terjangkit akan melelehkan cecair serta menanggalkan sel-sel kulit mati. Ini akan menyumbat pundi udara dan menjadikan ianya sukar bagi paru-paru untuk mendapatkan oksigen ke dalam darah. Tanpa oksigen mencukupi, badan anda tidak mampu berfungsi sebaiknya.

Apakah kebarangkalian Pneumonia?

Sesiapa sahaja boleh menghidapi pneumonia. Orang dewasa, kanak-kanak dan mereka yang mengalami penyakit kronik seperti COPD dan asma, adalah berisiko tinggi untuk menghidapi pneumonia. Anda boleh mengurangkan menghidap penyakit ini dengan mengurangkan faktor risiko. Sila berjumpa dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Pneumonia?

Simptom biasa bagi pneumonia ialah;

  • Batuk yang kuat;
  • Demam panas;
  • Menggigil;
  • Pendek nafas;
  • Sakit dada yang mencucuk dan bertambah buruk ketika anda bernafas secara dalam atau batuk;
  • Sakit kepala;
  • Hilang selera makan;
  • Rasa penat yang melampau;
  • Loya dan muntah.

Mungkin terdapat beberapa tanda atau simptom yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kebimbangan tentang simptom-simptom tersebut, sila berjumpa dengan doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Anda perlu berjumpa doktor sekiranya menghadapi mana-mana dari yang di bawah:

  • Demam panas berlanjutan bersama menggigil;
  • Sakit dada dan kesukaran bernafas;
  • Pesakit di usia yang sangat muda (5 tahun) atau terlalu tua (65 tahun);
  • Batuk diiringi darah dan mukus dari paru-paru;
  • Menghadapai kesukaran bernafas, nafas pendek, nafas laju bersama sesak nafas.

Sekiranya anda mengalami mana-mana punca atau simptom disenaraikan di atas atau mempunyai persoalan, ajukan pada doktor anda. Setiap badan mempunyai tindak balas berbeza. Ianya sentiasa baik untuk anda berbincang dengan doktor tentang apa yang terbaik bagi situasi anda.

Punca

Apakah Punca Pneumonia?

Dibahagikan mengikut punca, pneumonia ada 3 jenis utama:

  • Pneumonia bakteria: disebabkan oleh bakteria, terjadi dengan sendiri atau selepas selsema yang teruk atau flu.
  • Pneumonia virus: tidak berapa teruk dan biasanya terjadi buat masa yang singkat. Bagaimanapun, virus flu boleh mengakibatkan virus pneumonia menjadi teruk dan membawa maut. Perempuan mengandung atau mereka yang mempunyai penyakit jantung dan paru-paru perlu berhati-hati dengan penyakit ini.
  • Pneumonia mikoplasma: mempunyai sifat yang sama dengan pneumonia virus dan bakteria, menyebabkan kes pneumonia yang sederhana.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Pneumonia?

Ada beberapa faktor risiko bagi pneumonia, contohnya:

  • Merokok;
  • Jangkitan pernafasan – selesema, laringitis, influenza;
  • Penyakit paru-paru kronik;
  • Penyakit serius yang lain seperti penyakit jantung, sirosis hati, atau diabetes;
  • Asma;
  • Mempunyai sistem imun yang lemah;
  • Mempunyai penyakit HIV atau kanser;
  • Orang yang terlalu muda atau terlalu tua.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Pneumonia didiagnosis?

Pneumonia biasanya disalah anggap sebagai selsema atau flu. Bagaimanapun, anda perlu beri perhatian yang lebih kerana pneumonia biasanya bertahan lebih lama dan simptom-simptomnya lebih teruk berbanding penyakit lain.

Untuk menentukan sama ada anda mengalami pneumonia ataupun tidak, doktor akan menanyakan anda beberapa soalan untuk mengetahui lebih tentang keadaan anda, contohnya:

  • Apakah simptom anda dan berapa kerap ianya berlaku?
  • Adakah anda merokok?
  • Apakah sejarah perubatan anda?
  • Adakah anda sedang mengambil ubatan?

Sekiranya perlu, doktor anda  akan menjalankan beberapa ujian biasa sebelum membuat sebarang diagnosis:

  • Ujian fizikal;
  • X-ray bahagian dada;
  • Saringan CT (CT-scan);
  • Ujian kahak, yang akan menguji kahak (mucus yang keluar dari batuk anda);
  • Bronkoskopi, yang digunakan bagi melihat salur udara di dalam paru-paru.

Bagaimana pesakit Pneumonia dirawat?

Rawatan bagi pneumonia biasanya bergantung dengan jenis dan tahapan penyakit tersebut. Bagi sesetengah kes, pneumonia boleh dirawat sendiri di rumah.

  • Merawat pneumonia bakteria: Antibiotik diambil kira sebagai pilihan terbaik bagi merawat penyakit ini.
  • Merawat pneumonia virus: beberapa jenis ubatan antivirus boleh membantu merawat kondisi ini.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Pneumonia?

Gaya hidup dan kaedah pengubatan sampingan berikut mungkin membantu anda mengatasi pneumonia:

  • Dapatkan rehat secukupnya.
  • Minum air secukupnya bagi mengelak dehidrasi.
  • Biarkan diri anda batuk kerana ia adalah cara terbaik bagi badan anda menyingkirkan jangkitan. Sekiranya batuk membuat anda sukar tidur pada waktu malam, sukar bernafas, atau menyebabkan muntah, anda perlu mengambil ubatan untuk menghentikan batuk.
  • Ambil acetaminophen (Tylenol) atau aspirin, ianya membantu merendahkan demam panas anda dan menjadikan anda lebih selesa.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor bagi memahami rawatan terbaik untuk anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan

Tarikh Reviu: Jun 6, 2018 | Kali terakhir kemaskini: Jun 6, 2018

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut