Sindrom Ovari Polisistik (PCOS): Punca Haid Tidak Teratur dan Kegagalan Untuk Hamil

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Jika anda mengalami haid tidak teratur dan telah lama cuba untuk hamil tetapi masih gagal, ia mungkin disebabkan oleh satu keadaan yang disebut sebagai sindrom ovari polisistik (PCOS).

PCOS ialah sejenis gangguan pada hormon wanita. Hormon androgen yang secara normal adalah rendah dalam badan wanita dihasilkan pada kadar yang tinggi oleh ovari wanita dalam kalangan penghidap PCOS. Progesteron pula pada kadar yang rendah dari biasa dan insulin dihasilkan dengan banyak.

Semua ketidakstabilan pada kadar hormon ini menyebabkan:

  • Kitaran haid menjadi tidak teratur dan sukar dijangka. Contohnya, anda mungkin mengalami kurang 9 haid dalam setahun, jarak antara 2 kitaran lebih dari 35 hari, dan darah yang keluar adalah lebih banyak.
  • Pertambahan bulu pada muka dan badan (hisurtism), jerawat banyak keluar, dan rambut gugur mengikut pola lelaki. Semua ini disebabkan peningkatan kadar androgen (digelar hormon lelaki).
  • Sukar untuk hamil. Kitaran haid yang tidak teratur menyebabkan proses ovulasi (penghasilan telur) sukar dijangka, seterusnya mengurangkan kebarangkalian berlaku persenyawaan.
  • Ovari polisistik. Ovari (kilang telur) membesar dan dikelilingi oleh sista (kantung berisi air) menyebabkan fungsinya terganggu.

Dapatkan pemeriksaan doktor segera jika haid tidak teratur

Setiap wanita harus mencatat kitaran haid mereka terutamanya bagi mereka yang mengalami kitaran tidak teratur. Banyak aplikasi di telefon pintar boleh digunakan untuk tujuan ini. Secara normal, haid berlaku selama 2 hingga 7 hari bagi setiap 21 hingga 35 hari dan hampir sama setiap bulan.

PCOS kebiasaannya bermula sekitar kitaran haid pertama atau mungkin lebih lewat. Sebelum keadaan bertambah buruk, dapatkan nasihat dan pemeriksaan doktor.

Menurunkan berat badan ialah rawatan PCOS paling berkesan

Tiada ujian khas untuk mendiagnosis penyakit ini. Pemeriksaan pelvis, ultrasound, dan ujian darah untuk melihat kadar hormon ialah antara yang dilakukan oleh doktor untuk membantu diagnosis.

Selepas diagnosis dibuat, perkara paling penting harus dilakukan ialah untuk mengubah gaya hidup dan menurunkan berat badan. Penghidap PCOS kebiasaannya mempunyai berat badan yang tinggi disebabkan gangguan hormon. Penurunan berat badan walaupun hanya sebanyak 5% boleh memberikan kesan terhadap keadaan sedia ada. Ia juga boleh meningkatkan keberkesanan ubat-ubatan lain.

Antara ubat yang mungkin dipreskrip oleh doktor ialah:

  • Ubat pencegah kehamilan mengandungi estrogen dan progestin untuk mengurangkan hormon androgen atau terapi progestin untuk mengembalikan kitaran yang normal.
  • Ubat membantu ovulasi seperti clomiphene, letrozole, metformin, gonadotropins.
  • Ubat mengurangkan pertumbuhan bulu seperti pil pencegah kehamilan, spironolactone, eflornithine, atau membuang bulu menggunakan arus eletrik (electrolysis).

Dengan perubahan gaya hidup dan rawatan yang betul, penghidap PCOS boleh menghadapi kehidupan normal dan mendapatkan cahaya mata. Teruskan berusaha dan jangan putus asa.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut