backup og meta

Jangan Biar Sakit Lutut Kronik Terlalu Lama, Ini Puncanya & Cara Untuk Merawat

Jangan Biar Sakit Lutut Kronik Terlalu Lama, Ini Puncanya & Cara Untuk Merawat

Sakit lutut sering mengganggu aktiviti harian. Jika anda pernah mengalaminya, anda akan tahu betapa pentingnya kesihatan sendi lutut dalam menjalani hari-hari anda. Sendi ini adalah antara sendi utama pada tubuh manusia.

Sakit lutut kronik adalah keadaan di mana lutut menjadi sensitif, bengkak atau sakit dalam tempoh yang lama, sama ada melibatkan satu atau kedua-dua lutut.

Apakah punca sakit lutut kronik?

Berbeza dengan sakit lutut akut yang berlaku dalam tempoh yang singat, sakit lutut kronik berkekalan sehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun. Sakit lutut akut biasanya disebabkan oleh trauma atau kemalangan pada lutut, manakala sakit lutut kronik tidak semestinya disebabkan oleh kemalangan dan mungkin disebabkan oleh lebih daripada satu punca.

Antara punca sakit lutut kronik ialah:

  • Osteoartritis. Radang pada sendi menyebabkan rasa sakit serta kehancuran sendi disebabakan oleh degenerasi dan pengurangan pada fungsi sendi.
  • Tendinitis. Sakit di bahagian hadapan lutut disebabkan radang tendon. Sakit akan bertambah teruk semasa memanjat, menaiki tangga atau melalui jalan yang curam.
  • Bursitis. Radang bursa, iaitu sejenis kancung berisi cecair terletak pada sendi untuk membantu pergerakan sendi. Ia disebabkan oleh penggunaan sendi secara berlebihan.
  • Gout. Kebiasaannya berlaku pada sendi ibu jari kaki, tetapi dalam sesetengah kes, ia boleh melibatkan lutut.
  • Artritis reumatoid. Penyakit autoimun yang menyerang pelbagai sendi pada tubuh serta bahagian lain termasuk mata dan paru-paru.
  • Sista Baker. Pengumpulan cecair sendi di bahagian belakang lutut.
  • Ligamen koyak. Lutut dikelilingi oleh beberapa ligamen. Jika ligamen ini koyak, ia boleh menyebabkan rasa sakit. Anterior Cruciate Ligament (ACL) adalah yang paling kerap mengalami kecederaan.
  • Meniscus koyak. Meniscus ialah struktur yang terletak di antara tulang di dalam sendi.
  • Ketumbuhan tulang. Osteosarkoma adalah yang paling kerap berlaku.

Siapakah yang berisiko mengalami sakit lutut kronik?

Biomekanik: Sendi lutut adalah kompleks dari sudut operasi dan digunakan sepanjang hari. Sebarang perubahan pada penjajarannya atau perubahan pada postur dan cara berjalan boleh menyebabkan perubahan sehingga menyebabkan kecederaan dan sakit.

Berat badan berlebihan: Berat badan yang berlebihan memberikan tekanan yang besar ke atas sendi lutut. Obesiti juga meningkatkan risiko menghidap osteoartritis kerana tulang rawan rosak dengan lebih cepat.

Penggunaan yang berlebihan dan pergerakan yang berulang-ulang: Sesetengah senaman (seperti joging) atau pekerjaan (yang memerlukan seseorang untuk melutut dalam tempoh yang lama) mungkin menyebabkan kerosakan pada tulang rawan sehingga melahirkan rasa sakit.

5-tips-for-running-with-arthritis
Joging terlalu kerap boleh menyebabkan sakit lutut

Apa yang anda boleh lakukan?

Untuk mengurangkan kesakitan pada sendi anda, cuba langkah-langkah berikut:

  • Rehatkan sendi anda. Rasa sakit tersebut adalah petanda sendi anda memerlukan rehat untuk memulihkan kecederaan yang dialaminya. Berhenti dari melakukan aktiviti yang banyak melibatkan sendi lutut.
  • Letakkan ais. Radang dan sakit boleh dikurangkan dengan ais. Kalau anda perasan, pemain bola sepak yang mengalami kecederaan biasanya diletakkan ais pada sendinya.
  • Pembalut. Ini boleh membantu lutut anda dari banyak bergerak serta mengurangkan bengkak.
  • Angkat lutut anda untuk mengurangkan sakit dan bengkak.

Bila anda harus berjumpa doktor?

Jika sakit tidak hilang selepas rehat selama beberapa hari, sila dapatkan bantuan daripada profesional. Selain rasa sakit, doktor mungkin perlu melihat kepada perkara berikut:

  • Bengkak.
  • Gagal menggerakkan lutut.
  • Kecacatan.
  • Tidak boleh berjalan atau sakit semasa berjalan.
  • Sakit yang teruk.

Bolehkah sakit lutut dielakkan?

Berat badan adalah faktor penting dalam sakit lutut kronik

Tidak semua keadaan boleh dielakkan, anda masih boleh cuba tip berikut untuk mengurangkan kecederaan dan kerosakan pada sendi:

  • Turunkan berat badan. Jika anda obes atau terlebih berat badan, mengurangkan beban ke atas lutut anda adalah sangat penting, terutamanya untuk mencegah osteoartritis.
  • Bersenam dengan cara yang betul. Pastikan teknik dan pergerakan anda adalah betul. Dapatkan maklumat daripada profesional.
  • Gantikan kasut anda jika sudah rosak. Ini penting untuk memastikan kasut tersebut mampu menyokong menyerap tekanan pada lutut.
  • Panaskan badan sebelum mula bersenam.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Kimberly Holland (14 April 2017). Chronic Knee Pain. Dimuat turun daripada https://www.healthline.com/health/chronic-knee-pain#causes.

Staf Mayo Clinic (15 Ogos 2017). Knee Pain. Dimuat turun daripada https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/knee-pain/symptoms-causes/syc-20350849.

Jerry R. Balentine (20 Jun 2017). Knee Pain. Dimuat turun daripada https://www.medicinenet.com/knee_pain_facts/article.htm#what_are_knee_pain_symptoms_and_signs.

Versi Terbaru

28/08/2020

Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Diperbaharui oleh: Nurul Halifah


Artikel Berkaitan

Warga Emas Mudah Dapat Penyakit Sarcopenia, Sebab Itu Sering Terjatuh Tiba-Tiba!

Ini 14 Cara Berkesan Untuk Orang Perempuan Hilangkan Sakit Pinggang


Disemak secara perubatan oleh

Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Muhamad Firdaus Rahim · Disemak pada 28/08/2020

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan