Reye Syndrome: Hati-Hati Berikan Anak Anda Aspirin

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Jika anak anda mengalami demam, jangan terlalu cepat memberikan mereka ubat, khususnya aspirin. Ia berisiko menyebabkan satu keadaan kesihatan yang disebut sebagai Reye syndrome.

Apa itu Reye syndrome?

Keadaan ini jarang berlaku tetapi serius. Ia membuatkan hati dan otak menjadi bengkak. Semua peringkat umur boleh terkesan tetapi paling kerap berlaku dalam kalangan bayi dan kanak-kanak yang dijangkiti virus seperti influenza dan cacar air.

Bagi bayi berumur bawah 2 tahun, simptom awal yang berlaku termasuk cirit-birit dan bernafas laju. Bagi kanak-kanak lebih dewasa, simptom awal ialah muntah dan kerap mengantuk. Apabila keadaan semakin teruk, simptom yang mungkin berlaku termasuk:

  • Perubahan personaliti – mudah marah atau agresif.
  • Halusinasi.
  • Lengan dan kaki lemah atau tidak boleh digerakkan.
  • Serangan sawan.
  • Penat yang melampau.
  • Hilang kewarasan.

Reye syndrome adalah keadaan kecemasan. Sila ke hospital atau hubungi 999 dengan segera jika berlaku simptom di atas.

Aspirin merupakan faktor risiko utama

Kajian menemui bahawa faktor risiko utama bagi Reye syndrome adalah pengambilan aspirin atau ubat-ubatan lain yang mengandungi bahan salicylates. Oleh sebab itu, aspirin harus dielakkan bagi kanak-kanak yang mengalami jangkitan virus.

Aspirin merupakan sejenis ubat anti radang bukan steroid (NSAID). Ia boleh didapati di farmasi tanpa memerlukan apa-apa preskripsi. Seperti NSAID yang lain, ia membantu mengurangkan radang, rasa sakit, bengkak dan demam.

Walau bagaimanapun, penggunaannya tanpa kawalan boleh membawa kepada kesan buruk, antaranya adalah Reye syndrome. Selain itu, pengambilannya secara berlebihan juga boleh menyebabkan pendarahan dan ulser perut.

Panadol atau acetaminophen adalah lebih selamat

Acetaminophen atau panadol adalah pilihan lebih selamat berbanding aspirin untuk mengurangkan suhu badan anak anda. Anda boleh menambah dengan rawatan di rumah seperti tuam dengan kain basah serta banyakkan mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran.

Selain penyalahgunaan aspirin, antibiotik juga kerap diberikan tanpa tujuan yang betul. Tidak semua demam disebabkan oleh bakteria dan antibiotik hanya diperlukan jika ia disebabkan oleh bakteria.

Sebelum memberikan anak anda sebarang ubat, sila pastikan ia adalah selamat dan benar-benar diperlukan oleh anak anda. Jika tidak pasti, sila bertanya kepada doktor atau ahli farmasi.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut