Nila Merawat Beguk: Adakah ia Berkesan?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Masyarakat Malaysia kaya dengan amalan turun temurun dan rawatan tradisional yang diwarisi daripada nenek moyang. Tidak terkecuali juga pelbagai jenis pantang larang yang ada. Semua petua dan pantang larang ini terhasil daripada pengalaman mereka dalam menghadapi keadaan-keadaan tertentu, nila adalah salah satu antara petuanya.

Sebahagian daripadanya adalah bagus dan berkesan, sebahagian yang lain pula kadangkala bertentangan dengan ilmu moden dan mungkin boleh mendatangkan bahaya. Namun, semuanya bertujuan baik untuk melindungi anak-anak mereka daripada perkara yang tidak diingini, meskipun tidak semuanya adalah tepat.

“Sapu nila kalau nak cepat baik”

Jika dahulu, asalkan dapat beguk, tentu mak, ayah atau nenek akan sapukan nila. Katanya, itu akan mempercepatkan proses sembuh. Tidak pasti daripada mana datang petua ini, tetapi tiada kaitan yang dapat dihubungkan antara nila dan beguk.

Ada yang mendakwa bahawa beguk disebabkan oleh kekurangan iodin. Maka, nila akan membantu menyelesaikan masalah itu. Sudah lah nila itu tidak mengandungi iodin, beguk sendiri pun tidak ada kaitan dengan kandungan iodin di dalam badan.

Memahami apa itu beguk

Beguk disebabkan oleh jangkitan virus beguk atau mumps virus yang menjejaskan kelenjar parotid, iaitu sejenis kelenjar terletak di bahagian pipi di bawah dan hadapan kedua-dua belah telinga. Jangkitan virus ini menyebabkan kelenjar parotid bengkak, sama ada melibatkan satu atau kedua-dua kelenjar.

Secara amnya, ia adalah sejenis jangkitan, bukannya kekurangan zat atau mana-mana nutrisi di dalam badan.

Bagaimana seharusnya merawat beguk?

Tiada ubat atau rawatan khusus bagi beguk. Hanya vaksin sahaja cara terbaik untuk menguruskan penyakit ini. Selain itu, apa yang boleh dilakukan adalah mengurangkan simptom yang dialami oleh pesakit. Ini termasuk:

  • Rehat di rumah. Selain menyimpan tenaga, ia juga penting untuk mengelakkan penyakit berjangkit kepada orang lain.
  • Ambil ubat seperti Panadol atau ibuprofen untuk mengurangkan demam dan sakit.
  • Tuam bengkak pada kelenjar parotid dengan air sejuk atau ais.
  • Banyakkan minum air.
  • Makan makanan yang lembut kerana kebiasaannya akan ada masalah untuk menelan.
  • Elakkan makanan pedas dan masam untuk mengurangkan kelenjar parotid daripada bekerja menghasilkan air liur.

Perlu diingat bahawa antibiotik bukanlah sebahagian daripada rawatan bagi jangkitan virus. Oleh itu, jangan ambil sebarang jenis antibiotik untuk penyakit virus termasuk beguk. Sudah lah tidak berkesan, ada kemungkinan mendapat kesan sampingan pula. Lebih baik sapu nila sahaja!

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

Rujukan