Endometriosis: Apa yang Perlu Anda Tahu

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Endometriosis adalah keadaan kesihatan di mana terdapat tisu rahim di luar lapisan dalam rahim. Dalam kebanyakan kes, tisu ini terdapat di dalam ovari, tiub fallopian, dan bahagian lain di dalam pinggul (pelvis). Sangat jarang, ia mungkin berlaku di luar pelvis.

Meskipun tisu tersebut berada di luar lapisan dalam rahim, ia masih bertindak balas terhadap perubahan hormon seperti tisu rahim yang biasa. Ia akan menebal dan berdarah mengikut kitaran haid biasa. Namun, disebabkan darah haid daripada tisu ini tiada jalan untuk keluar, ia akan terperangkap. Tisu di sekelilingnya mungkin terengsa dan berkemungkinan menghasilkan parut serta adhesi – tisu melekat antara satu sama lain.

Apakah simptom endometriosis?

Simptom utamanya adalah sakit pinggul (kejang) semasa haid atau disebut sebagai dysmenorrhea. Kadangkala, sakit yang dialami adalah sangat teruk. Ia juga mungkin semakin teruk dari satu kitaran haid ke kitaran seterusnya. Namun, tahap kesakitan itu tidak semestinya selari dengan keadaan kesihatan anda. Ada mereka yang tidak mengalami rasa sakit lagsung sedangkan endometriosis yang dialami agak teruk.

Selain itu, simptom lain yang mungkin dialami adalah:

  • Sakit semasa atau selepas hubungan kelamin.
  • Sakit semasa membuang air besar atau kecil.
  • Darah haid berlebihan.
  • Gagal mendapatkan anak.
  • Lain-lain – letih, cirit-birit, sembelit, perut kembung atau mual terutamanya semasa haid.

Apakah komplikasi keadaan ini?

Antara komplikasinya adalah kegagalan mendapat anak. Ia mungkin berlaku kerana tisu tersebut menghalang pergerakan telur di dalam ovari atau tiub fallopian. 1 per 3 hingga separuh daripada wanita dengan endometriosis menghadapi masalah mendapatkan anak. Namun, masih ada yang berjaya mengandung bagi kes ringan.

Selain itu, kanser ovari juga didapati lebih tinggi dalam kalangan penghidap endometriosis meskipun secara relatifnya, risiko tersebut adalah rendah.

Diagnosis dan rawatan

Antara ujian yang mungkin dilakukan oleh doktor adalah pemeriksaan fizikal, ultrasound, MRI dan laparoskopi – menggunakan kamera untuk melihat bahagian dalam pelvis anda. Laparoskopi adalah satu-satunya cara untuk mengesahkan penyakit ini dengan melihat serta mengambil sampel tisu terbabit untuk diperiksa di bawah mikroskop.

Rawatan yang diberikan termasuk:

  • Ubat tahan sakit.
  • Terapi hormon – mengawal naik dan turun hormon untuk mengurangkan simptom. Kaedah ini tidak merawat secara kekal.
  • Pembedahan – membuang tisu terbabit. Ia membantu menghilangkan simptom serta membantu dalam kesuburan.
  • Rawatan kesuburan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut