Carcinoid Tumor: Ketumbuhan yang Melepaskan Hormon Serotonin

Oleh

Carcinoid tumor ialah sejenis ketumbuhan di dalam tubuh yang melepaskan hormon serotonin dan beberapa bahan aktif lain. Ia boleh berlaku di mana-mana sepanjang usus primitif. Semasa perkembangan janin di dalam rahim, struktur yang dinamakan sebagai usus primitif akan membentuk saluran usus, organ-organ di dalam abdomen (hati, pankreas, hempedu, pundi kencing), dan sebahagian saluran pernafasan.

Usus primitif ini mengandungi kumpulan sel endokrin dinamakan sel APUD di mana carcinoid tumor berkembang darinya. Tumor ini juga disebut sebagai carcinoid apudoma.

Ia sangat jarang berlaku. Di Amerika Syarikat (AS), hanya 27 kes dilaporkan dalam 1 juta populasi setiap tahun.

Simptom carcinoid tumor berbeza mengikut lokasi tumor

Walaupun boleh berlaku di sepanjang usus primitif, tumor ini paling kerap ditemui di usus kecil dan apendiks. Kadangkala, ia berlalu tanpa menyebabkan sebarang simptom. Simptom yang boleh berlaku terbahagi kepada 2 iaitu berkaitan dengan hormon dan tidak berkaitan dengan hormon.

Bagi yang tidak berkaitan dengan hormon, ia berlaku disebabkan saiz fizikal tumor tersebut. Antara simptom yang ada termasuk sakit perut, anemia (kurang sel darah merah kerana pendarahan usus), pneumonia (jangkitan paru-paru), dan batuk (biasa atau berdarah).

Simptom disebabkan hormon selalunya berlaku apabila tumor merebak ke hati. Keadaan ini disebut sebagai carcinoid syndrome. Kebiasaannya, serotonin yang dilepaskan akan diurai kepada bahan tidak aktif tetapi apabila tumor merebak ke hati, serotonin tersebut akan terkumpul sehingga menyebabkan carcinoid syndrome.

Keadaan ini jarang berlaku iaitu sekitar 10% dari keseluruhan kes carcinoid tumor. Simptom yang dialami adalah hasil dari tahap serotonin yang tinggi, antaranya:

  • Bahagian dada atas, leher, dan muka menjadi panas dan merah-merah.
  • Cirit-birit.
  • Tekanan darah rendah.
  • Nafas berbunyi seperti asma.
  • Perubahan berat badan.
  • Dehidrasi, badan lemah, serta sakit otot dan sendi.
  • Ulser perut.

Punca masih belum dapat dikenal pasti

Sehingga kini, pakar masih belum berjaya mengesahkan punca kepada tumor ini. Terdapat beberapa kajian yang mendakwa merokok dan diet sebagai faktor risiko tetapi masih memerlukan lebih banyak kajian untuk pengesahan.

Rawatan bagi carcinoid tumor melibatkan pembedahan membuang tumor serta kemoterapi dan ubat-ubatan. Selain itu, rawatan simptom seperti mengurangkan cirit-birit dan pembekalan nutrien juga diperlukan dalam sesetengah kes.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnsosi atau rawatan.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut