Benign Prostatic Hyperplasia: Prostat Bengkak Bukan Kerana Kanser

Oleh

Benign prostatic hyperplasia (BPH) ialah satu keadaan yang berlaku kepada lelaki apabila kelenjar prostat membesar. Keadaan ini sangat kerap berlaku apabila semakin meningkat dewasa.

Kedudukan prostat

Prostat mengelilingi saluran urethra (yang menjadi laluan air kencing dan air mani) dan terletak di bawah pundi kencing. Apabila saiznya bertambah besar, urethra menjadi sempit dan menyukarkan laluan air kencing dan air mani. Kesannya, anda akan menghadapi masalah dalam membuang air kencing termasuk:

  • Susah memulakan proses membuang air kencing.
  • Aliran air kencing perlahan dan kerap terhenti.
  • Air kencing menitik selepas selesai membuang.
  • Rasa ingin membuang air kecil kerap datang termasuk waktu malam.
  • Gagal menyempurnakan proses membuang air kecil.

Selain itu, benign prostatic hyperplasia juga boleh memberikan simptom yang lebih teruk seperti tidak boleh membuang air kencing langsung, darah di dalam air kencing, dan jangkitan saluran air kencing.

Simptom yang berlaku walau bagaimanapun tidak bergantung kepada saiz prostat. Sesetengah lelaki yang mengalami hanya sedikit pembesaran prostat menghadapi simptom yang signifikan manakala lelaki lain yang mempunyai prostat yang sangat besar mungkin hanya mengalami simptom ringan.

Benign prostatic hyperplasia bukan kanser prostat

Perkara penting yang anda perlu maklum ialah BPH bukan kanser prostat dan ia tidak meningkatkan risiko kanser. Kedua-duanya ialah keadaan berbeza walaupun banyak simptom yang ditunjukkan adalah sama.

Namun, doktor masih tidak dapat mengenal pasti dengan jelas apakah punca keadaan ini. Sesetengah doktor mendakwa bahawa perubahan hormon apabila meningkat dewasa menyebabkan BPH. Bagi kebanyakan lelaki, saiz prostat mereka bertambah sepanjang hidup dan sebahagian dari mereka mengalami BPH.

Bagaimana BPH dirawat?

Jika prostat bengkak tersebut tidak menjejaskan hidup anda, tiada rawatan diperlukan (memandangkan risiko kanser juga tidak meningkat). Sedikit perubahan gaya hidup boleh mengurangkan ketidakselesaan seperti mengurangkan pengambilan air sebelum tidur, kurangkan kafein dan alkohol serta amalkan senaman untuk menguatkan otot pelvis.

Beberapa pilihan rawatan boleh diambil jika ia mula mengganggu kualiti hidup. Ini termasuk:

  • Ubat-ubatan untuk mengurangkan saiz prostat atau mengendurkan otot prostat dan pundi kencing.
  • Pembedahan membuang sebahagian atau keseluruhan prostat.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut