Apakah Komplikasi Beguk?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Komplikasi adalah perkara yang paling ingin dielakkan oleh semua orang apabila menghidap sesuatu penyakit. Namun, dalam sesetengah keadaan, kita tidak dapat lari daripadanya. Penyakit beguk juga tidak terkecuali daripada berlaku komplikasi.

Mari lihat apakah komplikasi beguk yang mungkin berlaku.

1. Radang testis (orchitis)

Ini adalah komplikasi paling kerap berlaku dalam kalangan lelaki berumur selepas akil baligh (12-15 tahun). Radang yang berlaku pada testis menyebabkan organ tersebut bengkak dan sakit. Apa yang lebih merisaukan adalah terdapat risiko saiz testis mengecut dan kemandulan.

Biasanya, ia berlaku 4-6 hari selepas kelenjar parotid bengkak.

Ubat tahan sakit seperti panadol dan ibuprofen boleh diambil untuk mengurangkan rasa sakit. Tuam testis dengan air sejuk juga boleh membantu mengawal simptom.

2. Radang ovari (oophoritis)

Wanita yang sudah mengalami haid berisiko mendapat komplikasi ini. Radang ovari menyebabkan beberapa simptom termasuk:

  • Sakit abdomen bahagian bawah.
  • Suhu badan tinggi.
  • Tidak sedap badan.

Simptom-simptom ini kebiasaannya akan hilang selepas virus dihapuskan oleh badan.

3. Radang selaput otak (meningitis)

Meningitis berlaku apabila virus beguk merebak ke selaput otak sehingga menyebabkan keradangan. Disebabkan ia adalah virus, simptomnya tidak teruk seperti disebabkan oleh bakteria, yang boleh membawa maut.

Pesakit akan mengalami demam, sensitif terhadap cahaya, leher kejang dan sakit kepala. Risiko untuk berlaku keadaan yang serius seperti hilang kewarasan dan sawan juga adalah rendah.

4. Radang pankreas (pankreatitis)

Pankreas adalah salah satu organ di dalam abdomen yang berfungsi merembeskan beberapa hormon penting. Antaranya adalah insulin dan glukagon. Apabila berlaku keradangan, bahagian tengah abdomen akan rasa sakit.

Simptom lain pula adalah:

  • Cirit-birit.
  • Hilang selera makan.
  • Suhu badan panas.
  • Tidak sedap badan.
  • Jaundis (kulit dan mata menjadi kuning).

5. Radang otak (ensefalitis)

Jika meningitis adalah radang selaput otak, ensefalitis pula adalah radang yang berlaku pada tisu otak itu sendiri. Ini adalah keadaan yang serius dan memerlukan rawatan kecemasan. Pesakit perlu ditempat di dalam Unit Rawatan Rapi (ICU). Walau bagaimanapun, komplikasi ini sangat jarang berlaku dalam kes beguk.

6. Keguguran

Wanita mengandung ada kemungkinan untuk mengalami keguguran jika dijangkiti virus beguk. Namun, bukti saintifik yang ada masih tidak terlalu banyak. Sungguhpun begitu, wanita mengandung yang tidak pernah dijangkiti atau menerima vaksin beguk dinasihatkan untuk tidak mendekati pesakit beguk.

Jika terkena semasa mengandung, tiada ubat khusus yang boleh diberikan. Hanya rawatan sokongan untuk mengurangkan simptom sahaja.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut