7 Fakta Tentang Kanser Hati

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

1. Kanser hati berada di angka ke-8

Menurut Laporan Daftar Kanser Kebangsaan 2007-2011, kanser hati terletak pada angka ke-8 dalam senarai kanser-kanser di Malaysia.

Ia merangkumi 4.2 peratus daripada keseluruhan kes kanser yang dilaporkan. Dalam angka tersebut, lelaki mencatatkan kes dua kali ganda lebih ramai berbanding wanita, meskipun secara amnya wanita lebih kerap mendapat kanser berbanding lelaki.

Statistik kanser di Malaysia. Gambar ihsan daripada Laporan Daftar Kanser Kebangsaan

2. Hepatitis B dan C adalah faktor risiko utama

Hepatitis B dan C adalah sejenis radang hati yang disebabkan oleh jangkitan virus B dan C. Jangkitan ini majoritinya adalah bersifat kronik selama bertahun-tahun.

Ia merosakkan struktur dan fungsi hati. Radang yang berterusan ini memberikan iritasi ke atas hati dan meningkatkan risiko kanser hati. Berbeza dengan Malaysia, alkohol adalah faktor risiko yang penting di negara-negara Barat. Kes-kes disebabkan alkohol adalah kurang di Malaysia.

3. Kanser hati yang datang daripada tisu lain adalah lebih kerap

Hati adalah antara kawasan yang paling kerap menjadi tempat persinggahan kanser-kanser yang merebak ke dalam darah. Kanser-kanser ini termasuk kanser payudara, kolorektal, perut (gastrik) dan paru-paru.

Bilangan kanser yang berasal daripada tisu hati (primer) adalah jauh lebih rendah berbanding yang berasal daripada tisu lain (sekunder). Selain hati, kawasan lain yang kerap kanser merebak adalah tulang, otak dan paru-paru.

4. Kanser hati sekunder adalah petanda buruk

Jika seseorang itu dikesan mengalami kanser hati yang berasal daripada tisu lain (sekunder), ia adalah petanda bahawa kanser asal tersebut sudah berada di tahap akhir kerana sudah merebak ke kawasan lain atau disebut sebagai metastasis.

Kecuali untuk peratusan kecil dalam kanser kolorektal, kebanyakan kes tidak dapat dirawat melainkan dengan rawatan sokongan (paliatif) sahaja.

5. Kanser hati tidak memberikan simptom di peringkat awal

Seperti kebanyakan kanser, ia tidak menunjukkan simptom atau tanda di peringkat awal penyakit, khususnya bagi kanser hati primer. Bagi kanser sekunder, kebiasaannya pesakit sudah dalam keadaan yang parah.

Simptom-simptom mungkin dapat dilihat adalah:

  • Kehilangan berat badan yang tidak dapat dijelaskan.
  • Hilang selera makan.
  • Mual dan muntah.
  • Sakit abdomen.
  • Abdomen membesar dan kembung.
  • Kulit dan putih mata menjadi kuning (jaundis).
  • Najis berwarna pudar.

6. Vaksin hepatitis B dan ujian saringan hepatitis C adalah langkah pencegahan

Memandangkan dua keadaan kesihatan ini adalah faktor risiko utama bagi kanser hati, pencegahannya adalah langkah yang baik dan efisyen untuk mengurangkan risiko.

Vaksin bagi hepatitis B adalah sebahagian daripada Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia (NIP) yang diberikan secara percuma kepada semua bayi di Malaysia. Ia telah menurunkan jumlah kes hepatitis B serta kanser hati.

Namun, masih tiada vaksin untuk hepatitis C. Apa yang boleh dilakukan adalah untuk mendapatkan ujian saringan bagi mereka yang berisiko. Kini, rawatan hepatitis C sudah tersedia secara percuma di 18 buah hospital terpilih di Malaysia.

7. Pilihan rawatan bagi kanser hati

Bergantung kepada tahap dan keadaan pesakit, terdapat beberapa pilihan rawatan termasuk:

  • Pembedahan.
  • Pemindahan hati.
  • Radiofrequency ablation.
  • Suntikan ethanol.
  • Kemoterapi.

Namun, bagi kes kanser hati sekunder, tidak banyak yang dapat dilakukan selain rawatan paliatif kerana kanser sudah berada di tahap akhir.

Bagi kanser primer tahap awal, sebanyak 31 peratus berjaya hidup melebihi 5 tahun daripada tempoh diagnosis.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut