Masalah Sosial Dalam Kalangan Remaja: Apa Penyelesaiannya?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Mutakhir ini, masalah sosial dalam kalangan remaja berada pada tahap yang amat membimbangkan. Setiap hari pasti akan ada sahaja berita mengenai salah laku remaja yang seakan tidak mempunyai penghujung. Buka sahaja radio atau televisyen, masalah sosial dalam kalangan remaja seperti lumba motor haram, seks bebas, pembuangan bayi, penyalahgunaan dadah, pergaduhan geng dan seumpamanya mesti akan disajikan buat kita.

Remaja masa kini seolah-olah suka melakukan masalah sosial yang akan mendatangkan pelbagai kemudaratan kepada diri sendiri dan juga individu lain. Lebih membimbangkan lagi, mereka sanggup untuk merekod dan merakam diri mereka sendiri kemudian memuatnaik video tersebut ke dalam media sosial semata-mata untuk mendapatkan perhatian daripada netizen. Pun begitu, apa yang mereka akan dapat hanyalah kecaman semata-mata.

Sebagai contoh, baru-baru ini sekumpulan remaja telah memuatnaik sebuah video mereka sengaja merosakkan produk yang dijual di sebuah kedai serbaneka terkemuka di negara kita. Video itu kemudiannya tular dan sohor kini di hampir setiap platform media sosial namun menimbulkan kemarahan ribuan netizen. Akibatnya, ada netizen yang melaporkan video itu kepada pihak polis dan sekumpulan remaja terbabit telah diberkas.

Persoalannya, adakah perbuatan ini akan mendatangkan faedah? Jawapannya, tidak. Masalah sosial dalam kalangan remaja sebenarnya hanya akan mengakibatkan mudarat kepada anda. Ingin tahu lebih lanjut mengenai masalah sosial dalam kalangan remaja dan apa penyelesaiannya? Sila ikuti artikel ini.

Remaja

Pada umumnya, remaja merujuk kepada individu yang berusia 10 hingga 18 tahun. Usia ini merupakan pertengahan ataupun peralihan seorang kanak-kanak yang beransur berubah menjadi individu dewasa. Ketika ini, aspek fizikal, mental dan sosial mereka akan mula berkembang dan matang.

Disebabkan itu, remaja akan sentiasa mempunyai perasaan ingin mencuba atau meneroka sesuatu yang baharu. Jika perasaan ini digunakan untuk tujuan hidup yang baik seperti menyambung pelajaran atau membantu ibu bapa, tiada masalah. Namun begitu, jika perasaan ini menjadi punca masalah sosial dalam kalangan remaja, itu akan menjadi masalah besar.

Remaja modal insan negara

Masalah sosial dalam kalangan remaja perlu dipandang serius kerana mereka merupakan tonggak negara untuk menerajui kepimpinan pada masa hadapan. Ini sangat sesuai dengan slogan kita iaitu, “pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”.

Hakikatnya, modal insan sesebuah negara itu adalah remaja. Mereka adalah generasi baharu yang akan mencorakkan negara dan tanpa mereka, masa depan sesuatu negara itu pasti kelihatan agak kelam. Pun begitu, bagaimana jika remaja kita rosak akibat kesan keseronokan sementara yang berpunca daripada masalah sosial?

Ini pasti akan mendatangkan kebimbangan kepada setiap golongan masyarakat. Sebelum keadaan menjadi lebih teruk, satu pelan menyeluruh berkaitan perancangan program masalah sosial remaja perlu dirangka oleh pihak berwajib terutamanya kementerian bagi memastikan remaja sedar dan tahu akan pelbagai akibat masalah sosial yang dilakukan mereka.

teen runaway

Punca remaja melakukan masalah sosial

Sudah pasti anda akan tertanya-tanya apakah punca sebenar seseorang remaja itu melakukan masalah sosial, bukan? Walaupun ia mungkin lebih kepada masalah dalaman diri sendiri, ia juga mungkin disebabkan oleh pelbagai lagi faktor luaran yang lain, antaranya:

#1. Kendiri

Remaja hari ini sebenarnya kurang mampu untuk menyesuaikan diri dengan keadaan dan persekitaran mereka. Ini ekoran daripada ketidakupayaan mereka untuk mengawal atau mempertahankan diri mereka sendiri. Ini seterusnya akan menyebabkan mereka gagal mengendalikan emosi semasa menghadapi masalah hidup lalu mengakibatkan mereka terjerumus ke dalam kancah masalah sosial.

#2. Rakan-rakan

Remaja adalah usia di mana individu mempunyai ramai rakan sebaya. Rakan-rakan juga sebenarnya adalah punca utama remaja lebih gemar melepak dan mengikut gaya hidup rakan mereka. Sekiranya rakan-rakan mereka itu aktif melakukan masalah sosial, maka malang bagi seseorang remaja itu kerana mereka yang lemah jati diri akan mudah terpengaruh dengan rakan sebaya mereka.

#3. Keluarga

Remaja sangat bergantung kepada keluarga terutamanya ibu bapa mereka. Jika ibu bapa terlalu sibuk menumpukan perhatian terhadap pekerjaan, ini akan menyebabkan mereka kurang memberi perhatian terhadap anak remaja mereka. Ini seterusnya akan memberi kesan kepada jiwa anak-anak yang akan rasa kurang kasih sayang lalu mudah terdedah dengan pelbagai pengaruh negatif masalah sosial di luar rumah.

#4. Masyarakat

Remaja sebenarnya sangat memerlukan masyarakat yang saling hormat-menghormati sesama individu. Pun begitu, kebanyakan masyarakat hari ini hanya mementingkan diri sendiri dan hanya akan ambil peduli hal individu lain jika berlakunya perkara yang menarik untuk ditularkan. Disebabkan ini, remaja kian kurang melakukan aktiviti komuniti dan sosial lalu menyebabkan mereka kurang mengenali antara satu sama lain dan hanya mempedulikan hal diri sendiri.

#5. Kewangan

Remaja dan masalah kewangan sangat sukar untuk dipisahkan. Disebabkan kesempitan wang, mereka cenderung untuk melakukan masalah sosial yang akhirnya akan menyebabkan perlakuan jenayah semata-mata kerana wang. Ini terutamanya akan berlaku kepada remaja yang lahir dalam keluarga yang miskin. Bukan semua, tetapi kebanyakan mereka akan mencari wang dengan melakukan masalah sosial seperti mencuri, merempit, melacur dan lain-lain.

#6. Keagamaan

Remaja adalah waktu individu sedang belajar apa yang baik dan apa yang buruk. Ini semua sebenarnya boleh diukur melalui agama. Tiada agama yang akan menggalakkan perbuatan buruk. Oleh itu, masalah sosial dalam kalangan remaja sebenarnya boleh dielakkan sekiranya remaja mempunyai pegangan agama yang lebih kuat. Dalam hal ini, ibu bapa perlu memainkan peranan yang besar dalam menanam semangat kerohanian dalam diri remaja.

Berdasarkan punca-punca di atas dan mungkin beberapa punca lain yang mengakibatkan masalah sosial dalam kalangan remaja, ibu bapa dan semua pihak perlu mengambil iktibar dan lebih peka terhadap anak remaja. Ini bertujuan mengelakkan mereka daripada lebih teruk terjerumus ke dalam masalah sosial. Persoalannya, apakah contoh masalah sosial yang dilakukan oleh remaja?

Masalah sosial

Masalah sosial merupakan gejala-gejala sosial yang dilakukan oleh individu terutamanya remaja. Kini, anda tidak lagi akan berasa hairan dengan perlakuan remaja kini yang tular dan sohor kini di media sosial kerana kebanyakan individu sudah beranggapan bahawa masalah sosial itu sendiri sudah menjadi norma hidup zaman sekarang.

Contoh masalah sosial dilakukan remaja

Jika hendak disenaraikan, terlalu banyak salah laku remaja yang boleh dianggap sebagai masalah sosial. Berikut merupakan beberapa contoh masalah sosial dilakukan remaja:

Buli

Menurut kajian yang dilakukan oleh Family First Aid di Amerika, 30 peratus daripada remaja pernah terlibat di dalam gejala buli sama ada sebagai pembuli atau mangsa buli. Di Malaysia juga, gejala buli ini berada pada tahap yang membimbangkan.

Tidak kira di sekolah, rumah atau di mana-mana sekalipun, gejala buli di kalangan remaja dan kanak-kanak kini berada pada tahap yang sangat membimbangkan. Kini, gejala buli bukan sahaja bersifat fizikal dan mental semata-mata, bahkan ia juga boleh berlaku dalam bentuk siber. Buli siber juga adalah buli dan individu yang melakukannya boleh dihukum oleh undang-undang jika disabit bersalah.

Sama seperti buli fizikal dan mental, buli siber juga akan menyebabkan pelbagai kemudaratan buat individu yang dibuli. Selain kekurangan keyakinan diri dan pelbagai lagi masalah emosi yang lain, mangsa buli mungkin akan hilang pertimbangan dan memutuskan untuk membunuh diri. Oleh itu, tegah perbuatan buli ini dengan kadar segera.

Merokok

Jika dilihat kepada peraturan di negara kita, usia individu untuk merokok yang dibenarkan adalah 18 tahun. Pun begitu, kini remaja dan kanak-kanak yang masih lagi bersekolah sudah mula berani berjinak-jinak dengan rokok. Tambahan itu, mereka juga tidak segan silu untuk mempamerkan perbuatan mereka yang kononnya tampak hebat itu.

Lebih membimbangkan lagi, kanak-kanak dan remaja perempuan juga sudah mula menggangap merokok itu sebagai sesuatu yang normal. Malahan itu, yang bertudung juga seakan sudah tiada nilainya. Mungkin ada yang mengatakan merokok adalah hak individu, akan tetapi ia tetap membahayakan kesihatan dan haram di sisi agama Islam.

Kini, terdapat banyak alternatif buat perokok seperti rokok elektronik yang kononnya dicipta untuk menghilangkan ketagihan seseorang terhadap rokok. Sebenarnya, ia hanyalah sebuah cara merokok yang lain dan ia tetap mempunyai kemudaratannya. Jadi, apa yang remaja dapat dengan merokok? Fikirkannya semula.

Penyalahgunaan dadah

Pada tahun 2017, sebuah kajian di Amerika telah mendedahkan bahawa 6 peratus daripada murid sekolah pernah mengambil ganja. Lebih membimbangkan, pengambilan ganja ini melebihi penggunaan rokok dalam kalangan remaja. Meskipun ramai yang beranggapan bahawa ganja adalah tidak bermudarat, ia tetap sejenis dadah dan terikat kepada undang-undang.

Selain ganja, pelbagai lagi jenis dadah yang lain seperti batu, syabu dan pil kuda juga adalah dadah yang selalu diambil oleh remaja kita. Disebabkan oleh pengaruh rakan sebaya, remaja sukar untuk menolak ajakan dan pujukan rakan-rakan mereka. Ia sama sekali perbuatan yang salah di sisi undang-undang dan agama. Jika dilihat dari segi kesihatan juga, penyalahgunaan dadah adalah perbuatan yang sangat sia-sia.  

Ketagihan alkohol

Selain dadah, remaja kini juga mempunyai masalah ketagihan alkohol. Menurut kajian yang sama di Amerika pada tahun 2017, 33.2 peratus murid sekolah didapati pernah mengambil alkohol. Di negara kita, remaja di bawah usia 18 tahun ke bawah dan beragama Islam tidak dibenarkan mengambil alkohol. Pun begitu, undang-undang ini hanyalah sekadar peraturan yang diendahkan oleh kebanyakan remaja.

Pergi sahaja di pusat-pusat hiburan, pasti anda akan melihat ramai remaja berusia bawah 18 tahun ke bawah dan beragama Islam sedang rancak meneguk alkohol yang memabukkan dan merosakkan ini. Ia tidak sepatutnya berlaku kerana remaja kita adalah imej negara pada masa hadapan kelak. Anda sebagai ibu bapa seharusnya memainkan peranan dalam memastikan anak anda terselamat daripada minuman yang membahayakan ini.

Lumba haram

Gejala lumba haram yang digelar “rempit” ini adalah sama sekali masalah sosial yang terkenal di negara kita. Golongan ini selalunya disertai oleh remaja bermotosikal secara berkumpulan dan juga dikenali dengan nama samseng jalanan. Mereka ini akan mengganggu ketenteraman jalan raya dengan kelajuan dan aksi lagak ngeri mereka yang sia-sia. Terutamanya pada waktu malam di hujung minggu, anda boleh lihat golongan remaja berpeleseran sehingga ke larut malam tanpa mempedulikan persekitaran.

Gejala sosial seperti merokok, penyalahgunaan dadah, ketagihan alkohol, seks bebas dan lumba haram adalah masalah sosial yang biasa dilakukan oleh golongan “rempit” ini. Disebabkan ia adalah perbuatan sia-sia yang sudah pasti salah di sisi undang-undang dan agama, ibu bapa perlu memainkan peranan dalam menghentikan perbuatan ini daripada terus dilakukan oleh anak remaja mereka. Jika perlu, sekat mereka daripada keluar pada waktu malam dan jangan sewenang-wenang membenarkan mereka menggunakan kenderaan anda.

Seks bebas

Berdasarkan data Youth Risk Behavior Surveillance pada tahun 2015, 41 peratus murid sekolah di Amerika dilaporkan pernah melakukan aktiviti seksual secara bebas. Ini seterusnya akan membawa kepada masalah kehamilan luar nikah pada usia remaja. Pada tahun yang sama, 5.3 peratus daripada kelahiran bayi di Amerika adalah anak luar nikah.

Ini sangat membimbangkan kerana ia adalah sama sekali bertentangan dengan tuntutan agama Islam dan undang-undang di Malaysia. Seks bebas dalam kalangan remaja akan mengakibatkan pelbagai kemudaratan seperti penyebaran penyakit berjangkit akibat STD, kelahiran anak luar nikah, pembuangan bayi dan lain-lain.

Oleh itu, ibu bapa dan guru disarankan untuk sentiasa memantau gerak geri anak remaja anda. Pastikan mereka tidak mudah bercampur dan berpeleseran bersama individu berlainan jantina. Pendidikan seks di sekolah pada awal usia kanak-kanak merupakan antara jalan yang terbaik untuk mengelakkan seks bebas dalam kalangan remaja.

Selain daripada masalah sosial yang dinyatakan, terdapat banyak lagi gejala-gejala dilakukan oleh remaja yang juga mernyumbang kepada masalah sosial. Gejala-gejala ini juga sebenarnya saling berkait antara satu sama lain. Persoalannya, apakah yang boleh dilakukan untuk menyelesaikan masalah sosial dalam kalangan remaja ini?

Apa penyelesaiannya?

Remaja kini hidup dalam zaman yang sangat sukar dan mencabar. Ini kerana zaman sekarang adalah zaman teknologi dan media sosial adalah kunci untuk kehidupan seorang remaja. Dari situ sahaja, mereka sudah boleh mempelajari tentang kehidupan di luar sana. Disebabkan itu, para remaja sendiri sebenarnya perlu membantu diri mereka agar mereka tidak terkeliru dengan pemilihan gaya hidup mereka kelak.

Apa ibu bapa boleh buat untuk membantu anak remaja?

Ibu bapa sebenarnya perlu menjadi contoh tauladan atau “role model” yang baik untuk anak remaja. Oleh itu, perbetul dan perbaiki diri anda terlebih dahulu supaya anda boleh menjadi anjakan paradigma anak remaja untuk mengubah diri menjadi modal insan yang lebih baik.

Dalam pada itu, terdapat beberapa lagi perkara yang ibu bapa perlu ambil berat, iaitu:

  • Ibu bapa perlu menajamkan lagi skil keibubapaan anda. Ia boleh dicapai dengan mengambil tanggungjawab sepenuhnya, berhenti merungut dan sentiasa mencari cara untuk membantu anak remaja anda.
  • Ibu bapa tidak boleh mengabaikan tanggungjawab anda. Anak remaja anda masih memerlukan perhatian anda walaupun sedikit. Percayalah bahawa sebarang gadjet yang dimilki mereka adalah tidak akan sama nilainya dengan perhatian dan kasih sayang anda.
  • Ibu bapa perlu menyediakan hidangan yang berzat dan berkhasiat buat anak remaja. Beri mereka anda makan makanan yang sedap dan bernutrisi bagi memastikan kesihatan mereka terjamin.
  • Ibu bapa perlu memastikan komunikasi yang baik dengan anak remaja. Ini bertujuan memastikan anak remaja anda menganggap anda sebagai kawan, bukannya lawan.
  • Ibu bapa perlu berbincang setiap masalah yang anak remaja hadapi bersama mereka. Ketahui masalah mereka di rumah dan sekolah seperti masalah kewangan, percintaan dan lain-lain.
  • Ibu bapa perlu memastikan anak remaja tahu bahawa anda selalu ada. Jika mereka memerlukan pendapat atau penyelesaian, tawarkan bantuan anda.
  • Ibu bapa perlu sentiasa menghargai anak remaja. Jangan segan silu untuk berterima kasih dan menunjukkan perasaan anda terhadap mereka.
  • Ibu bapa tidak perlu menghukum anak remaja secara keterlaluan. Pun begitu, disiplinkan mereka dengan peraturan dan polisi di rumah yang tidak terlalu ketat tetapi tegas.
  • Ibu bapa perlu sentiasa bersedia untuk mendengar. Jangan sesekali anda menjatuhkan atau merendahkan diri mereka.
  • Ibu bapa perlu sentiasa menyokong anak remaja. Meskipun mereka pernah gagal, bantu mereka untuk membina kembali keyakinan diri mereka.
  • Ibu bapa perlu sentiasa peka dengan tahap kesihatan anak remaja. Sekiranya mereka mula menunjukkan sebarang tanda kondisi kesihatan yang tidak baik, segera bawa mereka berjumpa doktor.
  • Paling penting, ibu bapa perlu memastikan bahawa anak remaja anda tahu bahawa anda peduli terhadapnya.

Konklusinya, ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting untuk mendidik seorang remaja. Dengan didikan ibu bapa yang betul dan tertib, kemungkinan anak remaja untuk terjebak ke dalam kancah masalah sosial mungkin akan berkurangan. Pihak Hello Doktor amat berharap artikel ini dapat membantu menyelesaikan masalah sosial dalam kalangan remaja.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Baca juga:

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut