
Berbual kosong dengan anak sahaja adalah tidak memadai. Cuba untuk mencari idea yang boleh membantu anda untuk dapat meluangkan masa dengan lebih berkualiti bersama anak anda. Sebolehnya, pastikan anda bersedia untuk mendengar apa juga yang ingin dikongsikan oleh anak anda atau sentiasa ada jika anak anda memerlukan sebarang bantuan. Hubungan ibu bapa dan anak-anak yang baik dan harmoni akan wujud apabila terdapat komunikasi antara kedua-dua belah pihak dalam apa juga perkara. Cuba untuk berbincang dan mencari penyelesaian terbaik apabila berdepan dengan sebarang konflik atau tekanan. Ia bukan sahaja dapat membantu menyelesaikan masalah, malah dalam masa yang sama mengeratkan hubungan ibu bapa dan anak.
Tidak salah untuk anda sebagai ibu bapa memberikan kebebasan kepada anak-anak anda. Namun apa yang anda perlu pastikan adalah kebebasan yang diberikan itu tidak melampaui batas. Ini bermakna, dalam anak anda bebas melakukan apa sahaja, masih terdapat keterbatasaan dan kawalan yang perlu diwujudkan. Ia adalah amat penting untuk menghindari sebarang masalah atau perkara negatif yang boleh mempengaruhi mereka. Sebagai contoh, anak anda boleh keluar bersama rakan-rakannya, tetapi dia perlu mengikut beberapa syarat yang anda tetapkan, seperti harus menjaga tingkah laku dan perlu pulang ke rumah pada masa yang telah ditetapkan dan dipersetujui bersama.
Seperti individu lain, seseorang individu remaja memerlukan masa untuk bersendirian dan ruang mereka sendiri. Anda tidak harus mengganggu privasi mereka kecuali jika anda mengesyaki berlaku sesuatu yang tidak kena. Sentiasa awasi gerak-geri mereka dan mengambil tahu ke mana mereka pergi, bila mereka akan pulang dan lain-lain lagi. Satu cara lagi adalah dengan memberi kepercayaan kepada mereka untuk melakukan perkara yang betul. Ingatkan mereka bahawa menyalahgunakan kepercayaan ini akan memberi kesan serius dan akan mempengaruhi kebebasan sedia ada yang diberikan.
Sebagai ibu bapa, anda harus memastikan anda bersikap realisik terhadap kemampuan anak anda seiring dengan perkembangan usianya. Ini adalah penting agar anda tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi atau tidak realistik kepada anak-anak anda. Terdapat sesetengah ibu bapa yang meletakkan harapan agar anak mereka cemerlang dalam bidang atau perkara tertentu mengikut kemahuan mereka tanpa mengambil kira kemahuan, keinginan serta kemampuan anak mereka sendiri. Harapan yang tidak realistik cenderung menyebabkan tekanan kepada anak anda. Sebagai ibu bapa, anda perlu dapat mengenal pasti kebolehan dan kemampuan serta kecenderungan anak-anak anda. Berikan galakan, sokongan dan dorongan dalam apa jua bidang yang anak anda minati. Ini dapat membantu menjaga keperluan emosi anak-anak dan meningkatkan harga diri mereka.
Cuba untuk memberikan anak anda peluang untuk membuat pilihan dan keputusan sendiri. Apabila anak anda semakin meningkat usia, malah ketika masih kanak-kanak, pastinya mereka sudah mula mempunyai keinginan untuk berdikari dan membuat keputusan sendiri. Berikan mereka ruang dan peluang itu. Ia bukan sahaja dapat membantu memberikan keyakinan diri kepada mereka, malahan ia membantu mendewasa dan mematangkan fikiran serta menjadikan mereka lebih berani dalam mengambil risiko. Namun, sebagai ibu bapa, anda tetap harus memastikan setiap keputusan dan pilihan yang dibuat tidak mendatangkan mudarat kepada mereka.
Cara yang salah dalam mengendalikan dan menguruskan aspek disiplin anak-anak boleh membawa implikasi dari segi kognitif, emosi dan tingkah laku. Disiplin melibatkan pencegahan dan pemulihan. Bagi mencegah sesuatu perkara ia melibatkan pengajaran dan latihan yang dapat membina sempadan kepada sesuatu tingkah laku. Manakala pemulihan adalah bertujuan untuk membetulkan salah laku remaja dan membendung agar tidak mengulangi kesalahan yang sama. Disiplin yang efektif melibatkan pengajaran tentang apa yang perlu dan apa yang tidak boleh dilakukan.
Jika anda ingin mewujudkan peraturan dalam rumah anda untuk anak-anak, ia perlu diwujudkan pada peringkat awal, iaitu ketika anak anda masih kecil. Mulakan dengan peraturan yang mudah seperti anak anda perlu memastikan pakaian kotor dimasukkan ke dalam bakul, atau setiap kali lepas makan, pinggan yang kotor harus diletakkan di sinki dan dibasuh. Dan peraturan ini akan berubah selaras dengan kesesuaian usia mereka.
Setiap peraturan yang diwujudkan harus dipatuhi oleh setiap anak-anak dan ibu bapa perlu melaksanakan peraturan tersebut secara konsisten kepada setiap anak-anak serta tidak bersikap berat sebelah tanpa sebarang pengecualian.
Ibu bapa perlu prihatin atau peka dengan perkembangan biologi anak remaja mereka. Ini kerana adalah normal untuk seseorang individu remaja mempunyai perasaan dan naluri untuk mengetahui mengenai seks. Sebagai ibu bapa menjadi tanggungjawab dan peranan anda untuk memberitahu dan berkongsi dengan anak remaja anda maklumat dan info yang perlu diketahui oleh anak anda. Ia adalah lebih baik berbanding jika anak anda memperolehi sendiri maklumat tersebut daripada sumber-sumber yang kurang tepat. Berasa malu atau berpegang kepada kepercayaan bahawa isu mengenai seks adalah tidak sesuai untuk dibicarakan secara terbuka dengan anak-anak anda adalah sesuatu yang sudah lapuk.
Wujudkan persekitaran yang sesuai untuk berbicara mengenainya. Kongsikan kepada anak anda tentang risiko hamil tanpa nikah, risiko melakukan seks bebas dan penyakit-penyakit kelamin yang boleh berlaku seperti HPV dan AIDS.
Memberikan penghargaan terhadap remaja juga adalah salah satu usaha untuk menunjukkan kasih sayang. Remaja akan berasa bangga kerana mendapat penghargaan terutamanya daripada ibu bapa. Remaja akan berasa bahawa bakat atau kebolehan yang dipamerkan itu mendapat perhatian dan dihargai. Penghargaan yang diberikan akan menyuntik semangat dan inspirasi untuk remaja melakukan yang terbaik.
Adalah normal bagi remaja untuk menjadi lebih beremosi bagi tempoh beberapa hari. Tetapi jika anda melihat perubahan emosi atau tingkah laku yang lebih signifikan, yang berlaku lebih daripada dua minggu, ia bermakna sesuatu yang lain sedang berlaku, seperti kemurungan.

Sekiranya anda berfikir anak anda atau seseorang individu remaja lain yang anda kenali mungkin tertekan, segera dapatkan rawatan profesional untuk mereka. Kemurungan serius dan jika tidak dirawat, boleh mengancam nyawa.
Remaja memerlukan bimbingan ibu bapa atau individu dewasa, walaupun mereka mungkin berfikir tidak memerlukannya. Memahami perkembangan mereka dapat membantu anda memberi sokongan kepada mereka untuk menjadi seorang dewasa yang bertanggungjawab.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen