Betul ke Bercakap Time Baby Tidur Ada Manfaat?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan

“Masa si manja tengah tidur, cubalah bercakap dengan dia. Cakap benda elok-elok.” Haaa…ibu-ibu sekalian pernah ‘tak’ dapat nasihat macam ini? Kalau anda melakukannya seperti yang dinasihatkan, adakah anda tahu kebaikan daripada perbuatan anda itu? Jom Hello Doktor ‘nak’ kongsikan. 

Pupuk nilai positif ketika tidur

Bercakap dengan si comel anda ketika mereka sedang tidur adalah merujuk kepada perbuatan yang dipanggil sebagai affirmative sleep talking. Ia adalah seperti hipnosis. Bertenang, jangan fikir bukan-bukan. Ia bukanlah satu perkara yang menakutkan. 

Apa yang dimaksudkan dengan affirmative sleep talking ini adalah anda membisikan kata-kata positif kepada bayi anda pada saat mereka melelapkan mata. Perbuatan ini pada asasnya dapat membantu minda untuk ‘berinteraksi’ dengan perkataan yang anda bisikan. 

Bisikan seperti, “Besar jadi anak yang pandai”, “Mama sayangkan Husna” dan “Husna kena jadi budak baik” adalah antara kata-kata yang boleh anda bisikan kepada si manja anda. 

Kaedah yang dianggap seperti terapi bicara ketika tidur ini adalah sesuai untuk diaplikasikan kepada anak anda ketika dia masih bayi sehinggalah dia berusia 12 tahun. Ia dipercayai dapat membentuk keyakinan diri pada anda dan membantunya untuk membesar menjadi individu yang lebih berdikari. 

Manfaatnya 

Beberapa manfaat lain yang akan diperoleh si manja daripada terapi ini adalah seperti:

  • Meningkatkan kesedaran dan rasa disayangi
  • Untuk kesihatan dan kesejahteraan dalaman 
  • Memperbaiki tingkah laku
  • Menjadikan anak lebih tenang, bahagia dan teratur
  • Membantu mempertingkatkan keupayaan bertutur

Cara melakukannya

Tempoh yang terbaik adalah selepas 40 hingga 50 minit pertama selepas mereka tidur. Ini kerana pada saat ini minda di bawah sedar masih terjaga dan terbuka untuk menerima sebarang kata-kata positif. 

  1. Peruntukkan masa sekurang-kurangnya 5 minit setiap malam secara berterusan. Ketika mereka sedang melelapkan mata, mulakan dengan pendekatan yang lembut, seperti membisikkan nama anak dengan perlahan-lahan
  2. Lafazkan kepada mereka betapa anda sayangkan mereka, nyatakan betapa berharganya kewujudan mereka dalam kehidupan anda
  3. Selepas itu anda boleh memulakan terapi ini dengan menyatakan perkara-perkara positif seperti, “Gosok gigi tu baik untuk gigi. Jadi Husna kenalah rajin gosok gigi. Lagi Mama bertambah sayang.”
  4. Ulangi untuk menyebut nama mereka dua hingga tiga kali bagi mendapatkan perhatian mereka. Dalam masa yang sama untuk menyedarkan mereka bahawa anda sedang ‘bercakap’ dengan mereka
  5. Pastikan anda memilih perkataan yang sesuai untuk menukar atau mengubah tingkah laku anak ke arah positif
  6. Ulangi terapi ini sewaktu anak tidur untuk sekurang-kurangnya empat minggu. Ini kerana dikatakan tempoh tersebut adalah waktu yang terbaik untuk minda anak memproses dan menerima apa yang dibisikkan.

Tiada salah mencuba

Mungkin ada antara anda yang meragui keberkesanan kaedah ini. Namun, penulis sendiri tidak menafikan turut melakukan kaedah ini. Tidak ada rugi kalau kita mencuba. Ia mungkin dianggap sebagai satu perbuatan yang mudah. Tetapi hakikatnya ia memberikan satu perasaan yang kuat dan asas keyakinan yang tinggi dalam minda separuh sedar si manja. Selamat mencuba!

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel: