Eratkan Jalinan Kasih Sayang Antara Bapa dan Bayi

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Setiap kali berbicara mengenai jalinan, ia mesti merujuk kepada perasaan kasih dan sayang sesama individu. Bagi ibu bapa, tiada apa yang lebih penting daripada jalinan yang terhubung antara mereka dengan anak-anak. Mungkin bagi seorang ibu, ia lebih mudah kerana mereka lebih banyak meluangkan masa dengan anak mereka. Namun, bagaimanakah pula bagi seorang bapa?

Ada bapa yang mampu menjalinkan hubungan bersama anak mereka seawal usia mereka masih bayi lagi. Namun begitu, kebanyakannya memerlukan masa yang lebih lama dan ini adalah normal. Ini kerana sebagai seorang bapa, anda juga memerlukan masa untuk menerima hakikat bahawa isteri anda bukan kepunyaan anda seorang lagi dan anda perlu membantu mereka sepanjang tempoh mereka pulih daripada melahirkan anak. Anda sendiri juga pasti letih dan tidak dapat tidur secukupnya kerana membantu pasangan menjaga bayi anda. Oleh itu, anda tidak perlu memaksa kerana jalinan ini akan terjalin juga walaupun agak lambat.

Kajian saintifik mengenai jalinan

Kajian menunjukkan bahawa bapa yang berada di sisi pasangan ketika kelahiran bayi akan mengalami perasaan yang sama seperti yang dialami oleh ibu. Selepas sahaja bayi lahir, seorang bapa seharusnya terus memeluk dan merangkul bayi agar perasaan kasih sayang itu lahir secara semula jadi.

Banyak kajian terbaharu yang mencadangkan seorang bapa perlu mengekalkan hubungan yang rapat dengan anak mereka ketika berusia awal bulan lagi. Ini akan membuat hubungan mereka dengan anak menjadi lebih rapat ketika dewasa kelak. Oleh itu, seawal bayi masih berada dalam perut lagi, tidak salah untuk berbual dengan anak anda agar mereka dapat mengenali suara anda. Ini juga dapat membina ikatan kepercayaan sesama anda dan bayi.

Antara kajian lain daripada Canada pula mencadangkan bahawa bakal bapa sebenarnya akan mengalami perubahan daripada hormon dan biologi yang akan menyediakan mereka ke alam keibubapaan. Kajian ini mengatakan bahawa testosteron bakal bapa akan menurun manakala hormon prolaktin dan kortisol yang berkait rapat dengan kehamilan, akan meningkat dalam tempoh tiga minggu sebelum bayi dilahirkan.

Ada juga kajian serupa yang menunjukkan kadar prolaktin dalam badan lelaki akan meningkat apabila mereka merangkul bayi. Penemuan ini dapat menyokong kenyataan yang mengatakan terdapat perubahan fisiologi buat bakal bapa.

Tip untuk bapa menguatkan jalinan dengan anak mereka

  • Bermain bersama

Kajian menunjukkan bahawa ibu dan bapa cenderung untuk membahagikan cara penjagaan ketika bayi mula mencecah awal minggu kehidupan mereka. Peranan ibu selalunya akan lebih cenderung kepada penjagaan yang lembut dan melibatkan mental manakala bapa pula cenderung kepada penjagaan yang lebih bersikap fizikal.

Ini jelas sekali akan menyebabkan anda dan pasangan menjadi stereotaip terhadap anda. Namun, ia juga akan menjadikan anda sebagai ‘teman sepermainan’ mereka. Selalunya, seorang bapa akan menjadi ‘hero’ kepada anak mereka. Ini juga merupakan kelebihan kepada bapa kerana bapa juga mungkin merupakan individu pertama yang mendengar tangisan bayi semasa bermain bersama. 

Bapa dan Anak, Eratkan Jalinan Kasih Sayang - menguatkan jalinan

  • Rangkul bayi anda dengan erat

Apabila si ibu sedang menyusukan bayi,  mereka akan membawa bayi dekat kepada dada mereka lalu membuat mereka jelas dapat melihat anda. Tidak salah juga jika anda sebagai seorang bapa turut memgang bayi pada posisi yang sama seperti si ibu menyusukan bayi, dan biarkan mata mereka jelas melihat kepada anda.

  • Ambil tugas pada waktu malam

Beri peluang kepada si ibu untuk mendapatkan tidur yang mencukupi dengan menjadi ‘penyelamat’ pada waktu malam tatkala bayi menangis. Ini akan memberi anda dan bayi masa bersama yang berharga. Anda dinasihatkan untuk selalu menyimpan susu di dalam peti untuk situasi kecemasan begini.

  • Usap tangisan bayi anda

Anda perlu menjadi seorang bapa yang sentiasa ada ketika bayi menangis untuk mengusap tangisan mereka. Anda boleh cuba memujuk mereka dengan pelbagai cara termasuklah menggunakan puting palsu. Ini dapat memberi mereka petunjuk bahawa bukan hanya si ibu sahaja yang mampu memberikan apa yang diperlukan oleh bayi.

  • Cuba lakukan urutan bayi

Bayi mudah bergerak balas dengan sentuhan. Cara yang paling mudah untuk merelakskan bayi adalah dengan urutan lembut. Apabila bayi anda sedang gembira, lakukan 10 hingga 15 minit urutan yang lembut pada bahagian kaki, perut, tangan dan leher mereka.

Mampukah bapa menjaga anak?

Selalunya, ibu sahaja yang akan diberikan tanggungjawab untuk menguruskan bayi dari A-Z. Jika si ayah membantu pun, itu masih dilakukan dengan pemantauan daripada ibu. Namun, bagaimana pula jika berlaku hal kecemasan kepada ibu, seperti perlu bekerja luar kawasan ataupun dimasukkan ke hospital? Jadi, bersedialah para bapa untuk menggalas tanggungjawab menjaga anak-anak.

Sebaik-baiknya, tanggungjawab untuk menjaga anak perlu digalas oleh kedua-dua ibu dan bapa. Suami perlu mengambil tahu dan membantu isteri dalam hal ehwal penjagaan anak supaya boleh bersedia jika hal-hal kecemasan berlaku. Buat si ibu pula, berikan kepercayaan kepada suami anda untuk sama-sama membantu anda menjaga bayi. Ini panduan untuk bapa belajar menjaga bayi mereka.

Fahami perangai bayi: Setiap anak sudah pasti mempunyai perangai yang berbeza. Sudah tentu si ibu yang lebih memahami perangai bayi mereka. Jadi, ibu perlu kerap bercerita tentang kelakuan dan aktiviti bayi kepada si bapa supaya sedikit sebanyak bapa boleh mengetahui tabiat dan aktiviti harian bayi mereka. Contohnya, jika bayi terjaga daripada tidur dan menangis, bapa perlu periksa adakah disebabkan lampin basah ataupun disebabkan kembung perut. Selain itu, ibu boleh memberitahu suami tentang tabiat tidur bayi seperti perlu menutup lampu sebelum tidur ataupun tidak boleh membuat bising semasa bayi tidur.

Apa yang bayi anda gemari? Dalam menjaga bayi yang belum pandai bertutur, anda perlu tahu cara memujuk anak anda jika dia merengek atau menangis. Jadi, wahai bapa, bertanyalah kepada isteri anda tentang cara untuk membuatkan anak anda gembira. Contohnya, tarik minat anak anda untuk mandi, dengan cara meletakkan mainan terapung seperti itik dan bola dalam tab mandiannya.

Tahu rutin harian bayi anda: Bayi mempunyai waktu makan dan tidur yang tetap setiap hari. Jadi, ketahui jadual waktu makan dan tidur bagi mengelakkan bayi meragam. Jika si anak sudah pandai makan makanan pejal, si bapa perlulah belajar sekurang-kurangnya dua resipi bayi. Selain itu, anda juga perlu tahu jika anak mengalami alergi pada sebarang makanan.

Kenali tanda bayi meragam: Anda perlu mengetahui punca anak meragam atau menangis. Adakah tanda-tanda yang ditunjukkan normal atau kerana anak kurang sihat. Sediakan termometer bayi di rumah supaya mudah untuk anda mengetahui suhu badan bayi. Jika disebabkan demam atau sakit selesema mahupun batuk, maka segeralah membawa bayi anda mendapatkan rawatan.

Bolehkah bapa menyusukan anak?

Bapa dan Anak, Eratkan Jalinan Kasih Sayang - menyusukan anak

Kebanyakan ibu bapa bersetuju bahawa penyusuan susu ibu adalah cara terbaik untuk memberikan bayi makan. Susu ibu mengandungi campuran hebat nutrien dan memberikan pelbagai manfaat kesihatan kepada bayi. Selain itu, penyusuan susu ibu adalah percuma, tanpa sebarang persiapan atau pembersihan, dan adalah cara yang sempurna untuk seorang ibu membina hubungan dengan anaknya.

Tetapi ramai bapa baru mempunyai perasaan yang berbeza mengenai penyusuan selepas kedatangan bayi. Ia bukanlah bermakna bahawa si bapa tidak menghargai penyusuan dan manfaatnya – hanya sahaja mereka berasa sedikit ketinggalan dalam pengalaman ini.

Perasaan kekurangan

Adalah perkara biasa untuk si bapa merasa:

  • Merasa takut bahawa anda akan mempunyai masa yang sukar untuk membina ikatan dengan bayi anda berbanding pasangan anda.
  • Merasa kekurangan, mempercayai bahawa semua yang anda lakukan untuk bayi anda tidak boleh dibandingkan dengan sumbangan pasangan anda.
  • Merasa tidak senang kepada bayi yang secara fizikalnya telah mengganggu anda dan pasangan anda.
  • Mempercayai bahawa memandangkan wanita yang menyusukan bayi, mereka lebih berpengetahuan dan mempunyai kemahiran yang lebih baik.

Berikut adalah beberapa cara tertentu di mana para bapa boleh membantu:

  1. Banyakkan membantu dan lebih bertimbang rasa. Penyusuan susu ibu adalah satu tugas yang sukar, begitu juga dengan kerja pasangannya. Bantu bila-bila masa yang boleh. Apabila si ibu menyusukan anak, bawakan dia bantal atau segelas air, atau bantu untuk sendawakan bayi apabila bayi selesai makan.
  2. Pastikan anda mendapat banyak sentuhan kulit ke kulit dengan anak anda. Memeluk, memandikan, dan membaca di kerusi semasa bayi anda tidur di atas dada anda adalah kunci kepada ikatan hubungan. Dan ini akan memberikan anda dan bayi anda peluang untuk menjalin hubungan dengan cara yang sama seperti rasa kasih yang timbul melalui penyusuan.
  3. Luangkan banyak masa bersantai dengan bayi anda. Bawa bayi anda berjalan-jalan dalam kereta sorong, Bawa bayi dalam pengendong bayi sewaktu membeli-belah, atau bermain di lantai bersama-sama. Ini akan memberikan anda dan bayi anda peluang untuk bersendirian. Semakin kerap ini berlaku, anda akan lebih yakin tentang keupayaan anda sebagai seorang bapa.
  4. Susukan bayi anda dengan susu badan daripada botol. Anda boleh memperkenalkan bayi anda dengan botol dan mula mengambil alih tugas pada masa makan. (Sebelum memulakan penggunaan botol susu, adalah lebih baik menunggu sehingga bayi anda berusia sekurang-kurangnya 4 minggu supaya tabiat penyusuannya telah terbina dengan baik. Anda ingin memastikan bayi anda peluang untuk betul-betul selesa dengan penyusuan payudara sebenar terlebih dahulu.) Cuba untuk tidak terasa hati jika bayi anda kelihatan tidak menikmati menyusu botol dengan anda. Puting plastik, seperti yang sebenar, datang dalam pelbagai bentuk dan saiz. Jadi, anda mungkin perlu bereksperimen untuk mengetahui jenis puting terbaik yang bayi anda sukai.
  5. Bersabar jika pasangan anda seolah-olah kurang menggemari hubungan kelamin. Pasangan anda mungkin hanya fokus kepada penyusuan bayi anda. Selain itu, wanita pada masa ini mungkin mempunyai tahap estrogen yang lebih rendah jadi pelinciran faraj semula jadi mungkin tidak mencukupi. Ini boleh membawa kepada hubungan kelamin yang tidak selesa atau menyakitkan. Jadi, daripada menganggap bahawa pasangan anda tidak tertarik kepada anda lagi, dapatkanlah pelincir berasaskan air untuknya apabila dia berada dalam mood.

Bolehkah bapa menukar lampin anak?

Sejujurnya kaum lelaki jarang memiliki peluang untuk menukar lampin bayi sebelum mereka bergelar bapa. Menukar lampin bukan suatu yang menyeronokkan, tetapi ia adalah suatu kemestian ketika berhadapan dengan bayi yang baru lahir. Anda akan memerlukan banyak latihan tetapi jangan bimbang, anda akan mahir akhirnya.

Bagaimana ia patut dilakukan?

Bapa dan Anak, Eratkan Jalinan Kasih Sayang - menukar lampin

Langkah pertama untuk menukar lampin bayi adalah dengan mencari tempat dengan ketinggian yang bersesuaian. Menukar lampin di atas lantai juga boleh dilakukan tetapi ia akan memudahkan anda untuk mendapat sakit belakang. Pastikan semua keperluan adalah tersedia:

  • Lampin baru
  • Tisu basah atau semangkuk air suam dan sedikit tisu kapas
  • Tisu
  • Pakaian baru
  • Krim ruam lampin
  • Sesuatu untuk membuang lampin yang terpakai

Pastikan kawasan tidak terlalu sempit bagi mengelakkan anda atau bayi terlanggar sesuatu. Jangan tinggalkan bayi anda tanpa diawasi.

Bagaimana cara membersihkan lampin bayi lelaki?

Menukarkan lampin adalah berbeza mengikut jantina bayi. Untuk bayi lelaki, musuh utama anda adalah air kencing bayi yang membentuk projektil. Maka, pastikan kemaluan bayi adalah dalam keadaan tertutup sepanjang masa.

Sekiranya bayi anda telah bersunat, anda harus berjaga-jaga dengan kawasan luka di sekitar kemaluan bayi. Anda mungkin perlu membalut bahagian hadapan kemaluan anak dengan kain kasa yang disaluti oleh Vaseline untuk beberapa hari awal selepas bersunat, bergantung kepada nasihat pakar. Tukar kain kasa setiap kali menukar lampin bayi.

Untuk bayi yang belum bersunat, anda harus membersihkan di sekitar kawasan kulup. Pastikan kulup berada dalam keadaan longgar ketika dibersihkan. Bahagian kulup tidak akan tertarik balik sehingga anak mencapai usia setahun. Apabila bahagian ini boleh ditarik ke pangkal (walaupun tidak terlalu banyak), bersihkan bahagian tersebut dengan air bersih, bukan dengan sabun. Selepas dibersihkan, kembalikan kulup ke posisi asal. Sekiranya bahagian kulup bertukar merah atau membengkak, sila dapatkan pemeriksaan pakar untuk memastikan bayi lelaki anda tidak mengalami jangkitan.

Bagaimana cara membersihkan lampin bayi perempuan?

Apabila anda menukar lampin untuk bayi perempuan, ingat, ianya adalah lebih sukar berbanding bayi lelaki.

Anda harus menggunakan pengelap yang lembap atau bebola kapas untuk mengelap semua sudut dan celahan secara menyeluruh. Sekiranya bahagian ini tidak dibersihkan, kebarangkalian besar akan berlaku jangkitan pada saluran kencing bayi perempuan anda. Bagi mengelakkan najis termasuk ke kawasan faraj, sila amalkan mengelap dari hadapan ke belakang.

Pastikan anda mengelap di bahagian terbuka di faraj secara menyeluruh bagi mengelakkannya daripada tertutup. Sekiranya ia berlaku, anda harus menggunakan krim steroid untuk membuka kembali bahagian tersebut, atau kemungkinan pembedahan terpaksa dilakukan bagi membuka kembali bahagian yang tertutup tersebut. Bagaimanapun, ini bukanlah perkara yang kerap berlaku.

Menukar lampin pakai buang

Bapa-bapa baru adalah sangat beruntung kerana lampin pakai buang sangat mudah diurus. Untuk membuka lampin lama, buka tab di bahagian sisi lampin kemudian angkat kaki bayi dan dari bawah ke atas alihkan lampin lama. Tidak ada apa yang mampu anda lakukan sekiranya sisa dari lampin terkeluar. Cuma pastikan semua barangan untuk pembersihan adalah dalam keadaan tersedia.

Seterusnya sediakan lampin baru dengan menghamparkannya di atas meja atau kaunter yang anda gunakan. Letakkan bayi anda di atas lampin yang baru dengan punggung dalam anggaran separuh panjang lampin. Tab sepatutnya berada di sisi dan separuh hadapan pula berada di antara kaki bayi.

Memakaikan dan menanggalkan lampin adalah agak mudah. Perkara asasnya adalah mengenal pasti bahagian hadapan dan belakang lampin. Untuk lampin pakai buang, tab lekatan harus berada di bahagian belakang dan ia melekat pada bahagian luar hadapan lampin. Lampin jenis kain atau campuran adalah sedikit rumit, tetapi bukanlah terlalu sukar. Akhir sekali, lipat bahagian hadapan lampin ke bahagian abdomen bayi dan tutup lampin dengan tab lekatan.

Pengalaman tidak ternilai

Jalinan kasih sayang antara seorang bapa dan anak adalah sangat penting dalam tumbesaran anak-anak. Tidak kira apa panggilan anak anda kepada anda; papa, ayah, abah, bapa, daddy, babah atau abi, luangkanlah masa untuk bersama anak anda, tidak akan jatuhnya ego seorang lelaki jika anda membantu isteri anda untuk menjaga anak, membantu memberikan susu pada anak mahupun menukar lampin anak. Anak anda akan membesar, tidak akan selamanya anda akan mendapat peluang melakukannya. Hargailah masa yang ada untuk anda merasai pengalaman menjaga anak anda.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat untuk membaca artikel:

Baca juga: Resepi Ayam Buat Anak yang Cerewet Makan

Rujukan