8 Tip untuk Mula Mengajar Bayi Berenang

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Teruja melihat ibu bapa lain membawa anak mereka ke kolam mandi dan anda ingin melakukan perkara yang sama? Ikuti tip berikut untuk mula memperkenalkan anak anda kepada air.

1. Mulakan dalam tab mandi

Ini cara mudah untuk membuatkan bayi anda terbiasa dengan air. Duduk sekali dengannya untuk mewujudkan persekitaran yang selamat dan menyeronokkan. Untuk membuatnya terbiasa dengan perasaan air pada kepalanya, isi cawan dan tuangkan air perlahan-lahan ke atas rambutnya, membiarkannya mengalir pada wajahnya juga.

2. Cari masa yang tepat

Anda boleh mula memperkenalkan bayi anda kepada air seawal mungkin mengikut keselesaan anda, asalkan pusat perutnya atau kemaluannya (jika disunat), telah sembuh. Lebih awal anak anda bermula, lebih selesa dia berada dalam kolam renang. Anda juga patut merujuk kepada pakar pediatrik sebelum memulakan.

3. Periksa suhu air

Bayi tidak dapat mengawal suhu badan mereka seperti orang dewasa, jadi suhu kolam yang selesa diperlukan untuk memastikan suhu badan mereka tidak terjejas. Jika air di kolam anda agak sejuk, anda masih boleh membawa bayi masuk, tetapi anda mungkin perlu keluar setiap 10 minit atau lebih untuk memanaskan badan. Beri perhatian kepada bibir, jari tangan dan kaki. Jika bertukar ungu, ambil bayi keluar dari kolam.

4. Bina hubungan dengan bayi

Anda atau orang dewasa lain harus sentiasa berada dalam air, memegang bayi anda. Bukan sahaja untuk keselamatan, memegang bayi anda secara kulit ke kulit dan berinteraksi dengannya di dalam air akan menguatkan ikatan dengan bayi.

5. Elakkan pelampung

Pelampung air memberikan rasa selamat yang salah. Selain itu, pelampung juga memastikan bayi dalam kedudukan menegak, sedangkan kedudukan mendatarlah yang lebih baik untuk berenang.

6. Pilih posisi

Apabila masuk dalam air, pilihlah posisi yang selesa untuk anda dan bayi. Contohnya, anda boleh memegang bayi anda pada bahagian belakang, menyokong bahagian belakang kepalanya dan punggungnya. Anda juga boleh memegang bayi anda di bawah ketiaknya, sama ada secara bersemuka atau dengan bayi memandang ke hadapan. Apa jua posisi yang anda pilih, geraklah perlahan-lahan dalam kolam supaya bayi anda merasakan sensasi air pada tubuhnya. Dalam kolam kanak-kanak atau kawasan cetek lain, pegang di bawah ketiak bayi anda dan duduk mencangkung supaya anda sama ketinggian dengannya.

7. Jadikannya seronok

Semasa berada dalam air, nyanyikan lagu atau main permainan untuk membantu bayi terhibur. Senyum selalu dan bercakap atau bernyanyi dengan suara yang menenangkan, terutamanya jika bayi anda enggan berada dalam air. Melihat wajah tersenyum anda akan meyakinkannya bahawa ini adalah persekitaran yang selamat dan menyeronokkan.

8. Ikut isyarat bayi

Sesetengah bayi terus selesa dengan air, sementara yang lain lebih teragak-agak. Yang penting, ikut reaksi bayi anda, dan jangan memaksanya mencuba sebelum dia bersedia. Jika bayi anda mula menangis atau meragam, bawa dia keluar untuk memanaskan badan, tawarkan sesuatu untuk dimakan, dan biarkan dia berehat.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Tarikh Reviu: Januari 30, 2019 | Kali terakhir kemaskini: November 29, 2019

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut