Minggu demi minggu

Penjagaan Bayi Minggu ke-43

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Perkembangan & Pelakuan

Perkembangan bayi anda 

Bayi anda mungkin akan berjalan semasa anda menggenggam tangan mereka, dan juga menghulurkan tangan atau kaki untuk membantu anda menukar pakaian mereka. Pada waktu makan, mereka mungkin dapat minum sendiri daripada cawan (walaupun sesetengah bayi mungkin belum dapat melakukannya  dengan baik untuk beberapa bulan atau bahkan setahun dua lagi) dan makan sendiri dengan tangan.

Pada minggu ketiga bulan kesepuluh, bayi anda mampu untuk:

  • Berdiri sendiri seketika;
  • Mengatakan “dada” atau “mama” tanpa membezakannya;
  • Menunding ke arah sesuatu yang mereka kehendaki.

Sokongan utuk bayi anda

Bayi anda juga akan sengaja menjatuhkan objek supaya seseorang, kemungkinannya anda, mengambil kembali. Jika anda bosan dengan permainan ini, ambil objek itu untuk beberapa minit dan cuba untuk mengalihkan perhatian bayi anda dengan permainan yang menyeronokkan seperti sorok dan mengagah.

Kesihatan & Keselamatan

Apa yang perlu saya bincangkan dengan doktor?

Kebanyakan doktor tidak menjadualkan pemeriksaan yang kerap untuk bayi anda bulan ini. Hubungi doktor jika terdapat sebarang  kebimbangan yang tidak boleh anda tunggu hingga temu janji seterusnya.

Apa yang perlu saya tahu?

Pada masa ini, bayi anda mungkin pernah sakit dengan selesema atau flu. Berikut adalah apa yang anda perlu tahu mengenai antibiotik:

Apa yang perlu anda tahu tentang antibiotik

Berhati-hati apabila bayi anda mengambil antibiotik. Antibiotik hanya berkesan terhadap bakteria, dan tidak membantu sama sekali dalam jangkitan virus; yang menyebabkan selesema, flu dan pelbagai penyakit pernafasan. Jadi, jika bayi anda mengalami keadaan ini, antibiotik semata-mata tidak akan membantu. Pemberian antibiotik yang tidak perlu membuatkan bakteria lebih tahan (resistant) kepada rawatan, yang boleh menyebabkan masalah apabila bayi anda benar-benar memerlukan ubat untuk jangkitan bakteria. Antibiotik juga mempunyai risikonya sendiri, kerana boleh menghasilkan kesan sampingan atau reaksi alahan yang serius.

Bila anda perlu memberi antibiotik kepada bayi anda?

Hanya berikan antibiotik seperti yang diarahkan oleh pakar kanak-kanak anda. Adalah penting untuk menghabiskan antibiotik yang ditetapkan. Berhenti lebih awal mungkin tidak menghapuskan penyakit ini sepenuhnya atau boleh menyebabkan masalah kesihatan lain yang lebih serius.

Bagaimana untuk memberikan antibiotik dengan lebih mudah?

Jika bayi anda muntah selepas mengambil antibiotik dan kebanyakan antibiotik tersebut keluar daripada mulutnya, anda boleh menggantikannya dengan dos yang lain. Jangan berikan bayi anda satu lagi dos jika mereka muntah selepas satu jam. Pada masa ini, sebahagian besar ubat-ubatan telah pun diserap. Memberi satu lagi dos boleh menyebabkan kesan sampingan dos berlebihan. Anda harus cuba memahami mengapa mereka muntah, kerana tindak balas termuntah atau kerana mereka sedang sakit?

Sesetengah ubat-ubatan boleh dicampur dengan makanan untuk membuat ubat terasa lebih baik. Dalam kes lain, penitis atau picagari – yang memasukkan ubat ke dalam kerongkong bayi adalah lebih berkesan berbanding menggunakan sudu. Farmasi tempatan anda juga mungkin dapat menambah perasa khas untuk ubat-ubatan tertentu untuk membuatnya lebih sedap untuk bayi anda.

Kerisauan Saya

Anda mungkin mempunyai banyak kerisauan pada minggu 43 seperti:

Mengisar Gigi

Seperti menghantuk kepala atau berguling-guling, menarik rambut atau menghisap ibu jari, mengisar gigi adalah cara yang sesetengah bayi gunakan untuk mengurangkan tekanan. Tabiat mengisar gigi boleh menjejaskan perkembangan gigi susu dan gigi kekal. Tabiat ini mempunyai dua punca: tekanan dan rasa ingin tahu.

Memberikan perhatian dan kasih sayang sebanyaknya sebelum tidur juga boleh mengurangkan keperluan mengisar gigi. Dalam kebanyakan kes, tabiat ini akan pergi apabila bayi semakin tahu cara menenangkan diri dan sebelum sebarang kerosakan berlaku pada gigi.

Tekanan bukan satu-satunya punca mengisar gigi. Kadangkala bayi tidak sengaja mendapati perangai apabila bereksperimen dengan gigi baru mereka, maka mereka menikmati sensasi dan bunyi tersebut. Tetapi, tidak lama kemudian, keseronokan itu hilang dan mereka akan hilang minat dalam orkestra gigi mereka.

Jika anda mendapati bahawa tabiat mengisar gigi bayi anda menjadi lebih kerap dan bukannya berkurangan, dan anda bimbang bahawa mereka mungkin mula melakukan kerosakan kepada gigi, rujuk dengan doktor atau doktor gigi.

Menggigit

Memang wajar untuk bayi anda menguji gigi baru mereka di setiap permukaan. Menggigit boleh menjadi kebiasaan yang tidak baik dan dengan pertambahan gigi, boleh bertambah menyakitkan bagi mangsa.

Menggigit pada mulanya adalah aktiviti main dan eksperimen; bayi sama sekali tidak menyedari mereka boleh mencederakan sesiapa sahaja dengannya. Tetapi reaksi orang lain menarik hati si kecil. Mereka mendapati riak muka si ibu apabila digigit pada bahu melucukan, reaksi terkejut dan jeritan “Argh” olok-olok daripada si ayah kelakar, dan reaksi nenek “Comelnya, dia sudah pandai menggigit” sebagai tanda persetujuan. Bahkan, jeritan sakit “Argh!”  atau teguran tegas tetap mengukuhkan tabiat menggigit, kerana bayi merasakannya lucu atau melihatnya sebagai cabaran kepada aktiviti berdikari mereka yang baru atau kedua-duanya.

Cara yang paling berkesan untuk bertindak balas adalah dengan mengalihkan si kecil dengan tenang dari bahagian mereka menggigit dengan berkata tegas “Jangan menggigit.” Kemudian dengan cepat, alihkan perhatian mereka dengan lagu, mainan, atau objek lain. Lakukan begini setiap kali mereka menggigit dan mereka akhirnya akan faham. Menggigit  mereka kembali hanya memburukkan keadaan,  bukan sahaja kejam, tetapi juga implikasi tersirat bahawa apa yang baik untuk anda juga baik untuk mereka.

Bagaimanakah pula perkembangan bayi anda pada minggu 44?

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

enEnglish

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut