Bayi Tumbuh Jerawat: Apa yang Ibu Bapa Perlu Tahu

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Masalah kulit berjerawat sememangnya akan mengganggu kita tidak kira dari aspek penampilan ataupun emosi. Kebanyakan individu dewasa tidak boleh lari dari kondisi ini. Namun begitu, si kecil anda juga tidak terkecuali daripada mengalaminya. Ikuti artikel ini dengan lebih lanjut untuk mengetahui apa yang ibu bapa perlu tahu jika kulit bayi tumbuh jerawat.

Adakah ia normal?

Ya, kondisi ini sebenarnya adalah normal berlaku pada bayi. Jerawat boleh tumbuh ketika kelahiran bayi lagi namun kebiasaannya ia akan tumbuh beberapa minggu selepas kelahiran. Ia juga sebenarnya kelihatan sama seperti yang dihadapi oleh individu dewasa terutamanya remaja. Anda boleh lihat ia tumbuh seperti bintik-bintik berwarna keputihan atau kemerahan.

Kebiasaannya, ia akan tumbuh pada pipi, hidung, dahi malahan pada belakang badan bayi. Kebanyakan bayi juga akan tumbuh jerawat kecil yang berbentuk seperti bijian pada bahagian mukanya dan kondisi ini dinamakan sebagai ‘milia’. Ibu bapa tidak perlu risau kerana kondisi ini adalah normal dan akan hilang sendiri selepas beberapa minggu.

Apakah punca jerawat bayi?

Tidak wujud jawapan yang pasti mengapa kondisi ini boleh berlaku. Namun begitu, pakar selalu mengaitkan kondisi ini dengan hormon yang diterima oleh bayi semasa berada dalam kandungan ibu. Selain itu, faktor pengambilan ubat-ubatan oleh si ibu semasa menyusukan bayi juga dikatakan sebagai punca kepada kondisi ini.

Ada kajian yang menyatakan bahawa kondisi jerawat bayi terjadi disebabkan oleh reaksi bayi kepada produk penjagaan kulit yang dipakai. Namun begitu, ada juga kajian yang menyimpulkan yis dan bukannya pembentukan minyak dalam kulit. Perbezaan pendapat dalam setiap kajian ini menyukarkan pakar untuk menentukan faktor utama yang menyebabkannya.

Selain itu, terdapat juga beberapa faktor luaran lain yang boleh menyebabkan jerawat bayi tumbuh, antaranya:

  • Bayi kerap menangis
  • Jenis kain yang dipakai bayi kasar
  • Kulit bayi kerap terdedah air mata
  • Kulit bayi kerap terdedah kepada kesan muntah susu

Apakah yang boleh dilakukan?

Malangnya, tidak banyak boleh dilakukan untuk merawat kondisi ini. Menurut pakar, jerawat bayi ini akan pudar dan hilang dengan sendirinya tanpa meninggalkan sebarang parut. Namun begitu, ada juga kes jerawat bayi ini berlarutan selama berbulan-bulan lamanya. Sekiranya ini berlaku pada bayi anda, dapatkan bantuan doktor untuk mengesyorkan krim atau ubat yang sesuai digunakan untuk merawat kondisi tersebut.

Namun begitu, anda dinasihatkan untuk tidak menggunakan sebarang krim atau ubat jerawat yang dibeli di farmasi tanpa cadangan doktor kerana kulit bayi adalah sangat sensitif dan boleh bertindak balas dengannya sehingga menyebabkan keradangan yang jauh lebih berbahaya.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut