backup og meta

Grooming oleh Pemangsa Pedofilia: Kenalpasti dan Cegah!

Grooming oleh Pemangsa Pedofilia: Kenalpasti dan Cegah!

Grooming adalah apabila seorang dewasa membina hubungan emosi dengan seorang kanak-kanak untuk mendapatkan kepercayaan mereka untuk tujuan penderaan seksual, eksploitasi seksual atau pemerdagangan. Sepertimana istilah grooming secara literalnya bermaksud didandan, dalam kes pedofilia, pemangsa biasanya mempersiapkan mangsa untuk diperalatkan secara seksual. Bunyinya memang menakutkan tetapi demikianlah kelicikan pemangsa pedofilia sehingga kanak-kanak tersebut mempercayainya.

Kanak-kanak dan remaja mungkin diperalatkan pemangsa pedofilia sama ada secara atas talian atau secara bersemuka, oleh orang yang tidak mereka kenali atau oleh seseorang yang mereka kenali seperti ahli keluarga, rakan atau guru. Grooming boleh berlaku kepada sebarang kanak-kanak tetapi mereka yang kurang upaya atau dalam penjagaan lebih berisiko menjadi mangsa.

contoh dialog bermesra untuk tujuan grooming antara pemangsa dan kanak-kanak

Tanda-tanda grooming

Tanda-tanda grooming tidak semestinya jelas dan pemangsa sering kali melakukan pelbagai cara agar tidak dikenal pasti.

Sekiranya seorang kanak-kanak sedang diperalatkan pemangsa pedofilia, mereka mungkin:

  • Menjadi sangat perahsia, termasuklah tentang apa yang mereka lakukan dalam talian
  • Mempunyai teman lelaki atau teman wanita yang lebih tua
  • Pergi ke tempat asing untuk bertemu rakan-rakan
  • Mempunyai barang baru seperti pakaian atau telefon bimbit yang mereka tidak boleh atau tidak akan menerangkan sumbernya
  • Mempunyai akses kepada dadah dan alkohol

Dalam kalangan remaja, tanda-tanda grooming mungkin dikelirukan dengan kelakuan remaja yang nakal, tetapi anda mungkin dapat melihat perubahan aneh dalam tingkah laku atau personaliti mereka, atau kelakuan seksual yang tidak sesuai dengan usia mereka.

Bagaimana grooming berlaku

Grooming berlaku secara dalam talian dan secara bersemuka. Pesalah laku akan menyembunyikan niat sebenar mereka dan mungkin menghabiskan masa yang lama untuk mendapatkan kepercayaan kanak-kanak. Mereka juga mungkin cuba mendapatkan kepercayaan seluruh keluarga untuk membolehkan mereka dibiarkan bersendirian dengan kanak-kanak tersebut. Jika mereka bekerja dengan kanak-kanak, mereka mungkin menggunakan taktik yang sama dengan rakan sekerja mereka agar dibiarkan bersama anak kecil tersebut.

Pemangsa pedofilia tersebut melakukan grooming dengan cara:

  • Berpura-pura menjadi orang lain, contohnya menipu usia mereka dalam talian
  • Menawarkan nasihat atau persefahaman
  • Membeli hadiah
  • Memberi perhatian kepada kanak-kanak tersebut
  • Menyalahgunakan kedudukan profesional atau reputasi mereka
  • Membawa kanak-kanak tersebut bercuti atau berjalan.

video ihsan Protect & Save The Children

Mereka juga boleh menggunakan:

  • rahsia dan ugutan untuk mengawal kanak-kanak: apabila berjaya membina kepercayaan, pemangsa mungkin memanipulasi hubungan dengan mengasingkan kanak-kanak tersebut daripada rakan atau keluarga sehingga kanak-kanak tersebut bergantung kepada mereka. Mereka juga akan menggunakan kuasa untuk membuatkan kanak-kanak tersebut tidak mempunyai pilihan selain mengikut arahan mereka.
  • rangkaian sosial dalam talian: pemangsa mungkin mengkaji segala minat kanak-kanak tersebut sebelum membina hubungan emosi. Penderaan seksual juga boleh dilakukan secara maya seperti memberi atau mengajar kanak-kanak memberi mesej seksual atau menyuruh kanak-kanak tersebut menyentuh bahagian badan mereka.

Penderaan seksual kanak-kanak secara dalam talian

Apabila eksploitasi seksual berlaku dalam talian, kanak-kanak atau remaja tersebut mungkin dipujuk, atau dipaksa, untuk:

  • menghantar atau menyiarkan imej mereka yang terdedah
  • mengambil bahagian dalam aktiviti seks melalui webcam atau telefon pintar
  • menjalankan perbualan seksual melalui teks atau dalam talian.

Pemangsa mungkin mengancam untuk menghantar gambar, video atau salinan perbualan kepada rakan dan keluarga kanak-kanak atau remaja tersebut melainkan mereka bersetuju untuk mengambil bahagian dalam aktiviti seksual yang lain. Kesannya imej atau video boleh terus dikongsikan lama selepas penderaan seksual telah dihentikan.

Mengapa mangsa tidak melaporkan

Antara sebab mangsa tidak melaporkan penderaan yang mereka alami termasuklah:

  • malu
  • merasa bersalah
  • tidak menyedari bahawa mereka disalahgunakan
  • percaya mereka berada dalam hubungan dengan ‘teman lelaki’ atau ‘teman wanita’

Pemangsa kebiasannya mengeksploitasi kelemahan mangsa untuk meningkatkan kebergantungan kanak-kanak atau remaja tersebut terhadap mereka, dan mengurangkan kemungkinan mereka bercakap.

Oleh itu, ambil langkah pencegahan dengan memastikan anak anda selamat sama ada di dunia luar mahupun di alam maya. Didik anak anda tentang batasan perhubungan dan sentuhan dengan orang dewasa. Bina hubungan saling mempercayai dengan anak anda agar mereka terbuka untuk bercakap dengan anda.

[embed-health-tool-child-growth-chart]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

https://www.nspcc.org.uk/preventing-abuse/child-abuse-and-neglect/grooming/

Versi Terbaru

20/07/2022

Ditulis oleh Helma Hassan

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Anak Nak Masuk Prasekolah, Latih Si Kecil Menulis Dengan Betul! Ikut 7 Tip Ini

5 Model SUV Terbaik Tahun 2024 Jika Anda Ada Keluarga Besar, Luas & Selesa!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Muhamad Firdaus Rahim

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Helma Hassan · Disemak pada 20/07/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan