Kaitan Gula dan Ekzema Bayi

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Ibu bapa yang mempunyai anak ekzema pasti tercari-cari punca yang menyebabkan berlakunya ekzema pada si manja mereka. Selain faktor keturunan dan juga persekitaran, kebanyakan pencetus ekzema adalah berpunca daripada pemakanan.

Kajian menunjukkan bahawa anak kecil akan kurang cenderung mendapat ekzema jika ibu mereka ada mengambil probiotik semasa hamil. Malahan, bayi yang menyusu susu ibu secara eksklusif dalam tempoh enam bulan pertama kelahiran juga adalah kurang cenderung mengalami ekzema.

Kebanyakan doktor akan menyarankan ibu bapa untuk mengelakkan sebarang faktor pencetus ekzema bagi kanak-kanak. Salah satunya adalah dengan menjaga pemakanan anak. Ketahui kesan pengambilan gula berlebihan bagi kanak-kanak ekzema.

Bagaimana gula boleh memberi kesan kepada kulit bayi ekzema

Gula diketahui bukan sahaja memberikan kesan negatif kepada kesihatan tubuh manusia, bahkan juga pengambilan gula berlebihan turut mempunyai kaitan dengan mereka yang menghidap ekzema, termasuk juga bayi dan kanak-kanak.

Makanan tinggi gula boleh menjadi pencetus terjadinya ekzema. Gula menyebabkan tahap insulin anak anda melonjak, yang mana mengakibatkan keradangan. Antara makanan yang mengandungi kandungan gula tinggi termasuklah kek, sesetengah jenis minuman kopi, soda, sesetengah jenis smoothie dan makanan segera seperti burger.

Gula berlebihan dalam badan juga boleh memberi kesan kepada kulit, disebabkan ia menjadi penyebab kepada kandungan tinggi keradangan dalam tubuh. Keradangan yang berlaku ini boleh menghasilkan ekzema pada kulit bayi. Apabila tubuh gagal untuk memetabolismekan glukosa seperti yang sepatutnya ia berlaku, ini akan menyebabkan terjadinya glikasi. Glikasi boleh menjurus kepada kulit memecah dan lemah, serta menyebabkan kerosakan kulit seperti kekeringan dan juga kulit menipis. Semakin banyak gula yang anak anda makan, semakin cepat glikasi memasuki kulit anak anda. Disebabkan itulah, ibu bapa yang mempunyai anak ekzema perlu mengehadkan karbohidrat ringkas dan gula sebanyak mungkin pada pemakanan si manja.

Makanan lain yang perlu dielakkan bagi bayi ekzema

Selain gula, bayi anda juga mungkin boleh mendapat ekzema melalui makanan pencetus lain seperti:

  • Produk tenusu- Ini salah satu jenis makanan yang menjadi pencetus alergi bayi. Antara produk tenusu yang perlu elak diberikan kepada bayi ialah susu, keju, dan yogurt. Bagi sesetengah bayi, protein dalam susu lembu tidak mudah dihadam dan usus penghadaman bayi menganggapnya sebagai bahan alergik.
  • Soya- Biasanya, jika bayi mengalami reaksi alergik terhadap produk tenusu, ia juga boleh alergik kepada protein yang ada dalam soya. Ibu yang menyusukan bayi juga perlu mengelak daripada mengambil makanan yang mengandungi soya.
  • Kacang- Doktor akan menasihati ibu untuk mengelakkan pemberian kacang dalam diet bayi terutama semasa awal pengenalan kepada makanan pejal. Apatah lagi jika anda mempunyai sejarah keluarga yang alergik terhadap kacang.

Jika anda khuatir bayi anda akan mengalami ekzema, semasa awal kelahiran lagi, ibu yang menyusukan bayi perlu berjaga-jaga dengan pengambilan makanannya. Anda perlu mengelak daripada makan makanan yang mengandungi pencetus ekzema seperti susu lembu, kacang dan kerang. Berjumpalah dengan doktor jika bayi anda ada menunjukkan tanda-tanda ekzema. Sebaik-baiknya, pencegahan awal adalah lebih baik untuk si manja. 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut