Minggu demi minggu

Perkembangan Janin Minggu ke-2: Persiapan persenyawaan

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Perkembangan bayi

Perkembangan bayi dalam kandungan  

Sewaktu minggu ini, badan anda mungkin menunjukkan tanda persediaan menerima pembentukan bayi. Pada penghujung minggu ini, telur anda akan dilepaskan, menunggu untuk disenyawakan. Maklumkan pasangan anda bahawa anda telah bersedia. Bayi anda bakal terbentuk tetapi memerlukan usaha anda dan pasangan. Usahalah sebaik mungkin pada minggu ini!

Tahukah anda jantina anak anda boleh ditentukan pada waktu ini? Tetapi anda tidak akan mengetahuinya sehinggalah kehamilan mencapai 18 hingga 20 minggu. Anda mungkin tertanya-tanya bagaimana perkara ini berlaku. Biar kami jelaskan sekarang.

Setiap orang mempunyai 46 kromosom yang membentuk material genetik anda. Daripada 46 kromosom terdapat 2 kromosom yang menentukan jantina anda, yang dipanggil seks kromosom. Satu kromosom datang daripada sperma dan satu lagi daripada ovum. Ovum hanya mempunyai 1 jenis kromosom, dipanggil kromosom X sementara sperma boleh membawa kromosom X atau kromosom Y. Jika bayi disenyawakan dengan seks kromosom XX, bayi yang terbentuk adalah bayi perempuan. Jika seks kromosom yang terbentuk ialah XY, maka bayi yang terhasil ialah bayi lelaki.

Perubahan hidup & tubuh badan

Bagaimanakah perubahan badan saya?

Badan anda akan bersedia untuk ovulasi, yang bermakna telur akan dilepaskan dan bersedia untuk disenyawakan. Lapisan uterus pula menebal, bersedia untuk memberikan nutrisi kepada bayi anda. Penghujung minggu ini adalah waktu yang paling kondusif untuk mendapatkan bayi. Anda boleh menggunakan ujian ovulasi untuk mengetahui waktu yang optimum untuk bermula.

Sewaktu hubungan kelamin, sperma daripada pasangan anda akan bergerak menuju ke telur. Kebiasaannya hanya satu sperma yang akan menembusi telur tersebut dan fertilisasi akan berlaku. Apabila ini berlaku, telur yang telah disenyawakan akan menempel pada dinding uterus. Anda tidak akan mengetahui anda hamil melainkan setelah beberapa minggu.

Apakah yang perlu saya beri perhatian?

Menentukan waktu ovulasi mungkin sukar. Ia bergantung kepada berapa panjang kitaran haid anda dan sama ada tempohnya regular atau tidak. Jika kitaran haid tidak regular adalah agak sukar untuk menentukan bila telur telah dilepaskan. Terdapat banyak apps dan alat untuk anda menentukan ovulasi anda. Tanda ini mungkin termasuklah perubahan pada mukus serviks (jernih dan licin) atau peningkatan suhu badan yang dapat memberitahu bahawa anda sedang berovulasi. Ovulasi mungkin berlaku antara 12 hingga 14 hari. Untuk meningkatkan peluang anda, anda patut merancang untuk mengadakan hubungan kelamin dengan pasangan anda beberapa hari sebelum dan meneruskan hingga beberapa hari selepas waktu haid. Anda mungkin perlu mencuba beberapa kali sebelum berjaya. Pastikan anda dan pasangan anda mengambil peluang ini.

Pertemuan dengan doktor

Apa yang harus saya maklumkan pada doktor?

Anda patut memaklumkan doktor anda bahawa anda sedang mencuba untuk hamil. Doktor akan bertanya sejarah perubatan dan melaksanakan pemeriksaan kesihatan menyeluruh. Sewaktu menjalani pemeriksaan fizikal sebelum kehamilan, anda patut memaklumkan doktor jika anda sakit atau mengambil sebarang ubat. Ini dapat menyediakan anda lebih baik pada permulaan kehamilan.

Apakah ujian yang perlu saya tahu?

Pada waktu ini, anda mungkin mahu menggunakan ujian ovulasi. Kitaran haid setiap wanita adalah berbeza. Sesetengah wanita mungkin mendapat haid setiap 21 atau 28 hari. Jika anda merancang untuk kehamilan, ujian ovulasi akan membantu anda menentukan masa yang terbaik untuk mengadakan hubungan kelamin dengan pasangan anda.

Ujian lain yang patut anda ketahui ialah ujian kehamilan. Setelah telur anda disenyawakan dengan sperma, ia akan mengambil masa beberapa minggu untuk mengetahui anda hamil. Sesetengah ujian kehamilan boleh mengesan kehamilan pada minggu anda terlepas haid manakala sesetengah yang lain mungkin hanya mengesan beberapa minggu selepas. Sila hubungi doktor anda jika anda mempunyai sebarang tanda kehamilan.

Kesihatan & keselamatan

Apakah yang perlu saya tahu untuk kesihatan dan keselamatan semasa hamil?

Sebelum menerima berita baik, berhati-hati dengan faktor yang berbahaya kepada anda dan bayi. Ini perkara yang patut anda perhatikan untuk memastikan keselamatan kehamilan anda.

Analgesik

Apa yang akan anda lakukan jika mengalami migrain? Adakah anda akan meminum ubat seperti Efferalgan (sejenis parasetamol) yang mengandungi Codeine® – Ingat! Anda hamil! Kebanyakan ubat tahan sakit tidak selamat untuk kehamilan dan mengambil beberapa hari dalam badan. Bahan ubat-ubat ini boleh membahayakan perkembangan bayi dan mengurangkan kesuburan anda. Untuk keputusan terbaik, sila dapatkan nasihat doktor atau ahli farmasi sebelum mengambil sebarang ubat pada waktu kritikal ini.

Alkohol, dadah dan produk tembakau

Sewaktu kehamilan, anda patut mengelakkan minum alkohol, mengunakan dadah dan produk tembakau. Bahan ini boleh membahayakan kesuburan, meningkatkan risiko keguguran dan penyebab kecacatan dalam janin. Antara kecacatan yang biasa ialah sindrom fetal keracunan alkohol, masalah pernafasan, berat rendah sewaktu kelahiran. Sila dapatkan saranan doktor jika anda mempunyai sebarang persoalan atau berhadapan dengan sebarang masalah kesihatan.

Biar kami tunjukkan apa yang akan berlaku minggu hadapan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut