backup og meta

Selalu Pakai Racun Serangga? Benarkah Ia Boleh Menyebabkan Kecacatan Kekal Pada Janin?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 05/07/2022

    Selalu Pakai Racun Serangga? Benarkah Ia Boleh Menyebabkan Kecacatan Kekal Pada Janin?

    Racun serangga merupakan bahan kimia yang seringkali digunakan secara domestik dan di dalam bidang agrikultur. Namun, baru-baru ini, kajian menyatakan bahawa jika anda terdedah kepada racun serangga sewaktu hamil, bayi dalam kandungan anda berisiko mendapat kecacatan kekal. Betul ke? Ikuti artikel ini untuk penerangan selanjutnya.

    Otak gagal berpisah dua

    Kajian yang dibuat telah mendapati bahawa pendedahan kepada bahan kimia Piperonyl butoxide (PBO) yang terkandung di dalam racun serangga boleh menyebabkan kegagalan embriologi otak yang dipanggil sebagai holoprosencephaly (HPE). Ia merupakan situasi di mana struktur otak depan embrionik (prosencephalon) mengalami kerencatan perkembangan menyebabkan kecacatan pada struktur muka tengah. Ia berpunca daripada perkembangan struktur sistem saraf pusat yang tidak sempurna dan mempunyai pelbagai spektrum presentasi.

    PBO tidak dicipta khusus untuk membunuh serangga tetapi ia mampu meningkatkan tempoh simpan racun serangga tersebut dan kadar kecekapannya. Bahan kimia ini akan menghalang pengaliran signal dalam kitaran biologi penting buat serangga seperti lalat buah dan nyamuk, menyebabkan ia mati. Namun begitu, kitaran ini yang dipanggil sebagai sonic hedgehog signalling pathway, merupakan kitaran yang penting dalam aspek perkembangan embriologi binatang lain dan juga manusia.

    Kajian terhadap tikus putih

    Kajian yang telah dijalankan oleh sekumpulan saintis diketuai oleh Robert Lipinski telah mendapati bahawa PBO boleh menyebabkan kecacatan kekal pada janin tikus putih. Ia dijalankan pada peringkat awal fasa kehamilan bagi membuktikan bahan kimia tersebut mempengaruhi perkembangan embriologi tikus pada waktu kritikal tumbesaran janin. Di dalam kajian tersebut, tikus putih betina yang hamil 8 hari diberikan suntikan PBO pada dos yang berlainan di antara 22 hingga 1,800 miligram per kilogram berat badan.

    Dapatan kajian tersebut mempunyai variasi bergantung kepada dos PBO yang diberikan. Kesemua anak kepada tikus tersebut mengalami kerosakan pada struktur otak depan. Tikus putih yang diberikan dos PBO paling tinggi melahirkan anak yang mempunyai kecacatan otak serupa dengan HPE. Selain daripada kecacatan tersebut, anak-anak tikus juga mempunyai tulang dagu, tulang pipi dan tulang pada bahagian soket mata yang tidak membesar selari dengan tulang-tulang pada bahagian lain.  

    Tiada bukti kukuh

    Setakat ini, tiada bukti yang menyatakan bahawa kecacatan HPE disebabkan oleh pendedahan kepada PBO semasa hamil. Ini kerana menurut Lipinski, kecacatan tersebut boleh disebabkan oleh banyak faktor. “Ambil sedikit daripada faktor itu, sedikit daripada faktor ini, jadilah HPE”, ujarnya. PBO telah tersenarai antara 10 bahan kimia yang sering dijumpai di persekitaran. Kajian pada tahun 2002 telah mendapati bahawa 75% daripada sampel udara yang diberikan oleh wanita mengandung adalah PBO. Jika PBO merupakan faktor utama yang menyebabkan HPE, maka lebih ramai bayi yang sepatutnya mendapat kecacatan tersebut.

    Walaupun kajian ini menyatakan PBO boleh menyebabkan kecacatan pada perkembangan embriologi, ia merupakan bahan kimia yang tidak mempunyai kajian yang banyak. Produk yang mengandungi PBO tidak mempunyai label amaran untuk ibu mengandung. Justeru risiko kepada tahap kecacatan bayi dianggap rendah. Kesatuan Eropah (EU) tidak mengambil serius berkaitan dengan keselamatan bahan kimia ini. Namun ini boleh berubah jika kajian yang lebih mendalam membuktikan ia memang benar-benar menyebabkan kecacatan janin.

    Konklusi

    Setakat ini, tiada bukti yang menunjukkan PBO boleh menyebabkan kecacatan otak bayi. Dos bahan kimia yang digunakan di dalam kajian tersebut adalah tinggi. Ia jauh lebih besar berbanding dengan dos yang digunakan di dalam racun serangga atau persekitaran. Kajian lanjut perlu dijalankan bagi mengesahkan kesan PBO terhadap perkembangan embriologi janin pada waktu kritikal.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 05/07/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan