Kebanyakan individu terutamanya golongan yang bekerja tidak mempunyai masa yang cukup untuk ke pasar raya setiap hari bagi membeli stok makanan segar. Disebabkan itu, mereka cenderung untuk membeli secara pukal. Ini akan menjadi satu masalah kerana stok makanan segar akan kehilangan nutrisi jika disimpan dalam tempoh yang lama. Berikut merupakan beberapa tip memastikan buah-buahan dan sayur-sayuran yang anda beli secara pukal untuk disimpan kekal segar dan bernutrisi.
1. Masak dengan cara yang betul
Nutrien daripada buah-buahan dan sayur-sayuran segar akan hilang semasa sedang dimasak. Memasak akan mengakibatkan stok makanan segar kehilangan kandungan antioksida karotenoid seperti beta karotena, likopena dan lutein. Umum mengetahui bahawa terlebih masak makanan segar ini akan menghuraikan sel-sel nutrien sekaligus menghilangkannya. Oleh itu, jalan terbaik untuk memasak buah-buahan dan sayur-sayuran adalah dengan memasaknya dengan suhu dan tempoh memasak yang minimum selain penggunaan air yang minimum. Ini kerana buah-buahan dan sayur-sayuran dapat mengekalkan nutrien sekiranya tidak terlalu terdedah kepada air serta dimasak dengan suhu dan tempoh yang tidak terlalu tinggi dan lama.
2. Simpan dengan cara yang betul
Buah-buahan dan sayur-sayuran yang disimpan sekali dan rapat-rapat di dalam peti sejuk akan cepat busuk. Oleh itu, anda perlu mengasingkannya dan jangan simpan buah-buahan dan sayur-sayuran di dalam peti sejuk. Sebaliknya simpan di dalam kabinet dapur yang berlainan. Selain itu, jangan gunakan gelung getah untuk mengikat makanan ini sebaliknya gunakan kertas atau kain untuk membungkusnya atau simpan di dalam balang kaca.
3. Jangan menyimpan jus buah-buahan dan sayur-sayuran
Usai sahaja mengisar buah-buahan atau sayur-sayuran untuk dibuat jus, anda diingatkan untuk tidak menyimpannya untuk diminum kemudian hari. Ini kerana penyimpanan jus akan mengakibatkan kehilangan kandungan nutrien. Oleh itu, anda disarankan untuk terus minum jus tersebut bagi mengekalkan nutrien dan kesegarannya.
4. Jangan potong sebelum disimpan
Kajian menunjukkan buah-buahan dan sayur-sayuran yang dipotong dan disimpan akan kehilangan sekurang-kurangnya suku bahagian antioksida seperti vitamin C dan karotenoid. Selepas 5-6 hari, buah-buahan dan sayur-sayuran yang dipotong dan disimpan ini akan terdedah dengan oksigen yang akan mengurangkan lagi kandungan nutrien. Oleh itu, jangan memotong buah-buahan dan sayur-sayuran selagi anda belum memutuskan untuk memasaknya.
5. Pilih buah-buahan dan sayur-sayuran yang paling muda
Ketika memilih buah-buahan dan sayur-sayuran di pasar raya, sentiasa cari dan pilih yang paling muda dan tidak terlalu masak kerana kandungan nutriennya tinggi berbanding yang lain. Sekiranya anda memilih yang tua dan sudah masak, pastikan anda memakannya sejurus selepas membeli untuk mengelakkan buah-buahan atau sayur-sayuran itu hilang nutrien pada kemudian hari.
6. Jangan basuh sebelum disimpan
Semua buah-buahan dan sayur-sayuran perlu dibasuh untuk membuang serangga, bahan kimia, bakteria dan kuman. Namun begitu, anda diingatkan untuk hanya membasuhnya ketika hendak memakannya. Ini kerana membasuh buah-buahan dan sayur-sayuran sebelum disimpan akan menyebabkannya terdedah dengan oksigen terlalu lama sekaligus menyebabkan pertembuhan kulat yang lebih cepat. Selain itu jangan merendam buah-buahan dan sayur-sayuran kerana akan mengakibatkan kehilangan nutrien yang utama. Tuntasnya, jangan basuh buah-buahan dan sayur-sayuran sebelum anda memutuskan untuk memakannya.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
[embed-health-tool-bmr]