Bersalin Normal Setelah Bersalin Czer. Mungkinkah?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Pembedahan caesarean section (czer) merupakan alternatif buat si ibu yang ingin melahirkan bayi namun mempunyai kontraindikasi untuk bersalin normal. Anda mesti pernah terdengar berkenaan dengan keputusan untuk membenarkan ibu bersalin normal walaupun mereka mempunyai luka czer yang lepas. Boleh ke? Bukan nanti akan memudaratkan tahap kesihatan ibu ke? Baca artikel ini untuk tahu dengan lebih lanjut.

Kenapa ibu tidak digalakkan bersalin czer?

Jika pembedahan czer tidak akan memberikan kesakitan kepada ibu yang hendak bersalin, kenapa tidak semua ibu yang ingin bersalin dilakukan secara pembedahan? Bukankah itu merupakan satu pilihan terbaik bagi memastikan keselesaan ibu? Lagi pun pembedahan czer pakai ubat bius kan? 

Jika anda mempunyai persoalan atau tanggapan yang sama berkenaan dengan pembedahan czer, anda tidak salah. Namun bagi setiap pembedahan, pasti ada risikonya. Mereka yang melalui pembedahan czer lazimnya akan tinggal di hospital lebih lama berbanding dengan mereka yang bersalin normal. Ini berikutan wanita tersebut perlu dipantau akan keadaan luka di bahagian abdomennya setelah menjalani pembedahan major.

Ibu yang bersalin normal juga kebiasaannya boleh menyusukan anak lebih cepat berbanding dengan mereka yang bersalin czer. Mana tidaknya, kesan ubat bius yang diberikan akan mengambil masa untuk hilang. Ini akan mempengaruhi kebolehan si ibu untuk memberikan jagaan awal kepada bayi seusai bersalin seperti sentuhan kulit ke kulit dan penyusuan badan.

Antara risiko yang boleh dialami oleh wanita yang menjalani pembedahan czer adalah seperti berikut:

  • Pendarahan
  • Risiko pembedahan czer pada kehamilan yang akan datang
  • Jangkitan kuman
  • Kecederaan kepada anak ketika pembedahan
  • Kecederaan pada organ lain yang berada di bahagian abdomen
  • Pelekatan (adhesion), angin pasang (hernia) dan komplikasi pembedahan abdomen
  • Risiko yang berkaitan dengan pemberian ubat bius 
  • Jika dilakukan sebelum 37 minggu kehamilan, anak yang lahir berisiko untuk mendapat masalah berkaitan pernafasan

Kenapa ibu perlu bersalin czer?

Jika anda mengalami komplikasi ketika hamil, maka mereka yang terbabit akan digalakkan untuk bersalin czer. Ini adalah untuk melindungi nyawa ibu dan anak, dan dalam masa yang sama mengelakkan komplikasi yang boleh mempengaruhi tahap kesihatan kedua-duanya selepas bersalin.

Bagi mereka yang sudah didiagnosis dengan komplikasi tertentu seperti preeklampsia dan diabetes gestasi, pelan untuk bersalin czer kebiasaannya sudah dirancang lebih awal. Keadaan ini dipanggil sebagai prosedur czer elektif. Ibu mempunyai masa untuk bertanyakan soalan sebelum membuat keputusan perubatan.

Bagi mereka yang melalui prosedur czer kecemasan pula, kebiasaannya ia melibatkan keadaan yang boleh mengancam nyawa bayi atau ibu. Ini merupakan keadaan di mana segala-galanya dibuat secara tergopoh-gapah maka ibu atau penjaga tidak mempunyai banyak masa untuk membuat keputusan perubatan dan memahaminya secara mendalam.

Antara keadaan yang menggalakkan prosedur pembedahan czer adalah seperti berikut:

  • Bayi yang mempunyai masalah berkaitan tumbesaran
  • Bayi yang songsang (kaki di bawah, kepala di atas)
  • Komplikasi kehamilan seperti diabetes gestasi dan preeklampsia
  • Masalah kesihatan yang dialami oleh ibu seperti penyakit jantung tidak stabil dan darah tinggi yang tidak terkawal
  • Kepala bayi terlalu besar dan tidak muat untuk melepasi pinggul ibu
  • Masalah dengan plasenta seperti plasenta previa dan abruptio placenta
  • Ibu mempunyai jangkitan herpes kelamin yang aktif
  • Masalah dengan tali pusat bayi
  • Bayi kekurangan oksigen
  • Bayi lahir keluar bahu terlebih dahulu

Bersalin normal selepas bersalin czer (VBAC)

Suatu ketika dahulu, mereka yang bersalin czer akan melalui pembedahan yang sama bagi kehamilan akan datang. Namun panduan yang dikeluarkan oleh The American College of Obstetricians and Gynecologists (ACOG) menggalakkan prosedur bersalin normal selepas bersalin czer. Antara kebaikannya adalah:

  • Tidak melibatkan pembedahan pada bahagian abdomen
  • Jangka masa pemulihan yang lebih pendek
  • Kurang risiko untuk mendapat jangkitan kuman
  • Kurang pendarahan
  • Kurang risiko kecederaan pada organ lain

Walaupun kelihatan seperti baik buat mereka yang pernah bersalin czer pada kelahiran sebelumnya, namun bukan semua wanita sesuai untuk melalui prosedur VBAC. Ia bergantung kepada jenis parut pada rahim anda kesan daripada pembedahan czer. Parut yang berbeza mempunyai kebarangkalian yang berlainan berkaitan dengan risikonya untuk pecah. Antaranya adalah:

  • Potongan melintang pada bahagian bawah rahim. Ini merupakan teknik potongan paling lazim yang dilakukan oleh doktor. Risikonya untuk pecah adalah yang paling rendah (1 daripada 500 kelahiran)  jika dibandingkan dengan teknik potongan yang lain
  • Potongan menegak pada bahagian bawah rahim. Teknik potongan ini mempunyai risiko untuk pecah yang lebih tinggi berbanding dengan potongan melintang pada bahagian bawah abdomen
  • Potongan menegak pada bahagian atas rahim atau dikenali sebagai parut klasik czer. Potongan ini kebiasaannya dilakukan bagi kelahiran pramatang sebelum 32 minggu (very preterm). Ia mempunyai risiko yang tinggi untuk pecah jika VBAC dilakukan

Jika berlaku komplikasi rahim pecah sewaktu VBAC, prosedur bersalin czer kecemasan akan dijalankan. Ini bagi merendahkan risiko kematian bagi ibu dan bayi di samping  untuk mengelakkan komplikasi lain seperti pendarahan berlebihan dan jangkitan pada rahim ibu. 

Jika keadaan tersebut terlalu serius, pembedahan yang melibatkan pembuangan rahim akan dilakukan bagi menyelamatkan nyawa ibu. Ini bermakna, wanita tersebut tidak boleh hamil di masa akan datang.

Kriteria kelayakan untuk melalui prosedur VBAC

Bagi mengelakkan komplikasi, beberapa faktor perlu diambil kira sebelum membenarkan seseorang itu untuk melalui prosedur VBAC. Mereka yang sudah bersalin czer lebih daripada 2 kali kebiasaannya tidak akan dibenarkan untuk melalui prosedur tersebut. Antara faktor yang perlu diambil kira adalah seperti berikut:

  • Kedudukan bayi anda tidak songsang
  • Anggaran berat bayi normal
  • Anda pernah bersalin secara normal sebelum ini dan berjaya
  • Anda mempunyai parut potongan melintang pada bahagian bawah rahim
  • Anda tidak mengalami komplikasi kehamilan yang menjadi punca kepada prosedur bersalin czer sebelumnya
  • Proses kelahiran berlaku dengan sendirinya

Konklusi

Jika anda tidak mahu bersalin czer dan ingin mencuba VBAC, berbincanglah dengan doktor anda. Pemeriksaan kesihatan akan dilakukan dan anda akan diberitahu berkenaan dengan kebaikan, risiko dan pelan tindakan sekiranya berlaku sebarang kesulitan. Ini berikutan risiko bagi setiap wanita berbeza bergantung kepada faktor yang telah dinyatakan. Perkara tersebut akan mempengaruhi kejayaan VBAC bagi mengelakkan komplikasi seperti rahim pecah. Jika anda tidak sesuai untuk VBAC, ikutilah nasihat doktor dan jalanilah prosedur bersalin czer.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: Januari 6, 2020 | Kali terakhir kemaskini: Januari 6, 2020

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut