backup og meta

Ini Adalah Jenis Penyakit Yang Paling Banyak Meragut Nyawa Manusia Dalam Sejarah Dunia

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 18/06/2020

    Ini Adalah Jenis Penyakit Yang Paling Banyak Meragut Nyawa Manusia Dalam Sejarah Dunia

    Sebelum ini, kita pernah mendengar berita berkenaan penularan wabak Ebola yang berlaku antara tahun 2014 hingga 2015 di bahagian Afrika Barat. Ia telah menjadi perhatian dunia memandangkan kes yang berlaku akibat penyakit tersebut berjumlah lebih daripada 10,000 kes dengan lebih daripada 4,900 kematian. Walau bagaimanapun, wabak Ebola tersebut masih dianggap kecil kerana terdapat beberapa penyakit lain yang pernah merekodkan kematian yang jauh lebih besar dalam sejarah dunia. Berikut disenaraikan beberapa jenis wabak penyakit yang pernah menyerang dunia satu ketika dahulu sehingga menyebabkan angka kematian yang sangat tinggi. 

    AIDS

    AIDS adalah sejenis penyakit di mana terdapat kekurangan imuniti selular yang teruk, yang menurunkan ketahanan tubuh badan terhadap jangkitan dan penyakit. Ia pertama kali diiktiraf sebagai penyakit pada awal 1980 an. Menurut data daripada UNAIDS, dianggarkan sekitar 30 juta manusia mati akibat penyakit berkaitan AIDS sejak tahun 2001 dengan purata sebanyak 2.3 juta setiap tahun. Dianggarkan sekitar 35.3 juta orang sedang menghidap AIDS di seluruh dunia.

    Kolera

    Kolera adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh penyakit bakteria pada usus kecil yang boleh membunuh. Ia biasanya disebabkan oleh bekalan air yang dijangkiti atau tercemar dan menyebabkan muntah yang teruk dan cirit-birit. Ia telah mula menyerang dunia sejak tahun 1800 dan menyebabkan puluhan ribu nyawa maut setiap tahun. Salah satu wabak kolera terbesar pernah menyerang India pada awal abad ke 20 yang menyebabkan kematian sebanyak 800,000 individu dalam hanya 2 dekad.

    Influenza

    Siapa sahaja yang tidak pernah mendengar mengenai wabak SARS yang pernah meresahkan dunia pada tahun 2003. Begitu juga dengan wabak Hong Kong Flu yang pernah terjadi pada tahun 1968. Kesemuanya adalah wabak penyakit berkaitan flu yang direkodkan pernah menyerang seawal tahun 1760 sehingga tahun 2009. Keseluruhan wabak flu yang berlaku di seluruh dunia telah menyebabkan kematian hampir 50 juta individu. 

    Cacar

    Cacar adalah satu-satunya penyakit yang berjaya dihapuskan disebabkan oleh kejayaan pelaksanaan vaksin secara global. Kelaziman penyakit cacar telah bermula seawal abad ke 16 dan ia telah menyebabkan kematian sebanyak 500 juta individu pada abad ke 20 sahaja. Kes terakhir cacar yang didiagnosis berlaku pada tahun 1977 dan WHO telah mengisytiharkan penghapusan total penyakit ini pada tahun 1979.

    Malaria

    Tahukah anda, penyakit ini telah ‘menemani’ kehidupan manusia selama 500,000 tahun. WHO melaporkan bahawa malaria telah meragut sebanyak 200 juta nyawa manusia pada abad ke 19. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa malaria adalah penyakit pembunuh terbesar dunia yang telah menyebabkan kehilangan bilion nyawa manusia.

    Kini, pelbagai usaha telah dilakukan bagi mengelakkan wabak penyakit besar-besaran daripada terjadi. Vaksin adalah antara salah satu kaedah bagi menyekat penyakit-penyakit berbahaya daripada mengancam populasi manusia sedia ada. Belajarlah daripada kisah, sejarah dan tragedi lalu yang telah meragut banyak nyawa saat penawarnya masih tidak dijumpai. Bersyukurlah kerana kita masih mempunyai peluang untuk tidak dijangkiti melalui pemvaksinan yang telah tersedia.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 18/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan