Selepas lebih 10 minggu, bilangan kes semakian bertambah dan mula melibatkan bandar yang lebih besar iaitu Beni. Kementerian Kesihatan Republik Demokratik Kongo (DRC) dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sedang berusaha mengawal penularan virus Ebola.
Virus Ebola menyebabkan 50 peratus risiko kematian
Ebola merupakan virus yang sangat berisiko tinggi sehingga menyebabkan kematian dalam 50 peratus daripada mereka yang dijangkiti secara purata.
Simptom penyakit ini termasuk:
- Demam secara tiba-tiba.
- Badan lemah.
- Sakit otot.
- Sakit kepala dan tekak.
- Muntah-muntah dan cirit-birit.
- Ruam pada kulit.
- Kerosakan organ (buah pinggang, hati).
- Pendarahan dalaman dan luaran.
Virus ini tersebar daripada binatang yang dijangkiti Ebola. Penularan dalam kalangan manusia boleh berlaku melalui sentuhan langsung (luka pada kulit atau membran mukus) dengan darah, cecair badan, atau organ mereka yang dijangkiti Ebola. Binatang yang mengandungi virus ini termasuk kelawar buah, cimpanzi, gorila, dan monyet.
Penyebaran virus juga didakwa boleh berlaku melalui hubungan seksual.
Tiada rawatan khusus bagi Ebola
Rawatan yang diberikan berbentuk air untuk mengelakkan dehidrasi serta rawatan sokongan bagi mengawal simptom yang dialami oleh pesakit. Sehingga kini, tiada ubat-ubatan khusus bagi rawatan Ebola. Walau bagaimanapun, beberapa rawatan seperti terapi imun dan ubat-ubatan sedang dalam proses percubaan.