3 Masalah Kesihatan yang Kerap Disalah Diagnosis dalam Kalangan Wanita

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

‘Wanita lebih kerap mengadu sakit berbanding lelaki sekalipun untuk perkara yang kecil!’. Stigma yang selalu dikaitkan dengan wanita ini membuatkan aduan kesihatan wanita selalu dilihat lebih remeh berbanding lelaki. Kesannya, dalam bidang kesihatan, wanita lebih berkemungkinan tidak mendapat diagnosis yang sebenar, lewat mendapatkan diagnosis atau mendapat diagnosis yang salah dan akibatnya, rawatan yang salah. Berikut merupakan 3 masalah kesihatan yang mungkin dialami wanita tetapi kerap tidak didiagnosis oleh pakar kesihatan:

1. Endometriosis

endometriosis

Salah satu keadaan kronik yang dihadapi ramai wanita, endometriosis adalah keadaan di mana tisu yang sepatutnya hanya berada dalam rahim tumbuh pada bahagian lain tubuh wanita. Ini termasuk ovari, tiub fallopian, uretra (saluran kencing), mahupun usus, buah pinggang, dan organ lain. Keadaan ini menyebabkan simptom sengugut yang teruk dan kesukaran untuk hamil. Endometriosis boleh menjejaskan kualiti hidup seorang wanita. Meskipun dianggarkan 1 dalam 10 wanita mengalami endometriosis, namun, secara purata, mereka mengambil masa 7 hingga 8 tahun sebelum menerima diagnosis.

Simptom keadaan ini termasuklah kesakitan melampau pada bahagian pinggul, serta bahagian-bahagian tubuh yang lain, pendarahan haid yang banyak dan berterusan, tompok darah antara sewaktu suci dari haid, kesakitan semasa hubungan kelamin, mual dan muntah, sakit kepala yang teruk, dan keletihan yang berterusan.

Anggaran dalam jurnal Fertility and Sterility menunjukkan bahawa 10-15% wanita pada usia reproduktif hidup dengan keadaan ini, dan 70% wanita yang mengalami sakit pinggul yang kronik sebenarnya mempunyai endometriosis. Walaupun ramai yang mengalami simptom endometriosis sejak remaja, mereka mengambil masa yang lama untuk mendapatkan diagnosis yang betul.

Biasanya, doktor hanya boleh mendiagnosis endometriosis dengan melakukan laparoskopi. Ini adalah prosedur di mana seorang doktor memasukkan kamera kecil ke dalam perut untuk mencari lesi dan keabnormalan. Doktor mungkin menetapkan ubat tahan sakit atau terapi hormon untuk pengurusan endometriosis, tetapi kerana keadaan ini berkembang, ramai pesakit memerlukan pembedahan berkali-kali untuk menghilangkan pertumbuhan tisu yang tidak normal.

Baca Juga:

2. Penyakit jantung koronari

penyakit jantung

Satu lagi masalah kesihatan yang sering gagal dikesan oleh doktor dalam pesakit wanita adalah penyakit jantung koronari. Penyakit ini berlaku apabila terdapat masalah pada arteri yang menyalurkan darah dan oksigen kepada jantung, yang boleh membawa kepada serangan jantung. Simptom-simptom penyakit jantung koronari berlainan mengikut individu, yang boleh membuatkan keadaan mencabar untuk didiagnosis doktor. Simptom serangan jantung turut berbeza antara lelaki dan wanita, menyebabkan lebih banyak wanita tidak didiagnosis sehingga keadaan menjadi lebih buruk.

Antara simptom biasa bagi penyakit jantung kornari ialah angina (sakit dada), sakit pada leher dan kepenatan. Wanita mungkin mengalami simptom lain seperti sakit belakang, pedih ulu hati dan muntah. Wanita mempunyai risiko mendapat diagnosis awal yang salah sebanyak 50%, walaupun setelah mereka mengalami serangan jantung. Wanita juga mengalami kadar kematian di hospital setelah serangan jantung yang lebih tinggi berbanding lelaki.

Baca Juga:

3. ADHD

ADHD

Wanita bukan sahaja sukar mendapatkan diagnosis tepat bagi masalah kesihatan fizikal, mereka juga bergelut untuk mendapatkan diagnosis yang betul bagi masalah tingkah laku, terutamanya bagi mereka yang menghidap penyakit ADHD. Kecelaruan Hiperaktif Kurang Daya Tumpuan (ADHD) adalah gangguan yang dicirikan oleh tingkah laku impulsif, hiperaktif dan ketidaktumpuan.

Biasanya, para doktor melihat ADHD sebagai masalah khusus untuk kanak-kanak, namun orang dewasa turut mengalaminya. Jika diagnosis bagi orang dewasa sukar dicapai, masalah ini lebih sukar lagi bagi wanita. Kajian menunjukkan bahawa kebanyakan keluarga dan pakar kesihatan cenderung mempercayai bahawa kanak-kanak dan orang dewasa lelaki lebih cenderung mempunyai ADHD, dan mereka lebih berkemungkinan untuk mengabaikan simptom yang sama pada kanak-kanak perempuan dan wanita.

Beberapa sumber menyatakan bahawa sehingga tiga perempat daripada wanita yang mengalami ADHD tidak pernah menerima diagnosis, dan dalam kes kanak-kanak, doktor kurang mendiagnosis kanak-kanak perempuan berbanding lelaki. Selain itu, kanak-kanak perempuan perlu menunggu lebih lama daripada kanak-kanak lelaki untuk menerima diagnosis ADHD. Kanak-kanak lelaki secara purata, menerima diagnosis pada usia 7 tahun, sementara kanak-kanak perempuan perlu menunggu sehingga mereka mencapai usia 12 tahun untuk mendapatkan perhatian klinikal yang sama.

Oleh itu, jika anda berasa aduan kesihatan anda tidak diambil serius oleh doktor anda, anda berhak untuk merujuk kepada pakar kesihatan lain untuk pandangan kedua. Kerana di penghujung hari, hanya anda seorang yang benar-benar tahu jika ada perkara yang tidak kena dengan kesihatan anda. Percayalah pada naluri anda dan dapatkan khidmat kesihatan yang anda perlukan.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: Mac 22, 2019 | Kali terakhir kemaskini: November 29, 2019

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut