backup og meta

Cabaran Jaga Pesakit Alzheimer, Tips Buat Ahli Keluarga

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 16/06/2020

    Cabaran Jaga Pesakit Alzheimer, Tips Buat Ahli Keluarga

    Kerap terlupa, tidak mampu menguruskan diri, dan mula berperangai seperti keanak-anakan- adalah antara tanda-tanda seseorang itu mengalami penyakit Alzheimer. Alzheimer, penyakit yang sering dikaitkan dengan warga emas ini melanda kira-kira 50,000 individu di Malaysia. Malahan, jumlah ini dijangka meningkat dua kali ganda bagi setiap 20 tahun. Lebih mengejutkan lagi, kebanyakan individu menganggapnya sebagai proses penuaan yang normal, justeru pesakit Alzheimer ini tidak dibawa berjumpa pakar untuk didiagnosis dan mendapatkan nasihat perubatan yang sewajarnya.

    Kurangnya pengetahuan dalam menguruskan warga emas dengan Penyakit Alzheimer (AD) tidak hanya memberi kesan kepada penjaga dan ahli keluarga, tetapi juga rakan-rakan, dan orang sekeliling mereka. Justeru, bagi meningkatkan kualiti hidup mereka, penjaga perlu berpengetahuan dalam menguruskan pesakit Alzheimer supaya mereka dapat mengurangkan beban yang tertanggung. Menjaga pesakit yang mempunyai penyakit Alzheimer boleh menjadi sangat mencabar daripada segi emosi, mental dan fizikal.

    Hari Alzheimer Sedunia- 21 September

    Sempena Hari Alzheimer Sedunia yang disambut pada 21 September, kami di Hello Doktor berpeluang menemubual seorang penjaga profesional daripada penyedia penjagaan warga emas di rumah iaitu Homage bagi mendapatkan maklumat berkenaan situasi semasa dan cabaran penjagaan warga emas yang menghidap Alzheimer. Ikuti kupasan berkenaan hal ini melalui penulisan di bawah.  

    Hello Doktor: Apakah cabaran terbesar dalam menjaga pesakit AD?

    Andrea: Individu yang mempunyai penyakit Alzheimer akan mengalami kehilangan memori. Mereka ini akan mudah resah dan mula berkeliaran serta akan menjadi lebih agresif. Selain itu, mereka juga akan sentiasa mengucapkan sesuatu dan melakukan sesuatu secara berulang-ulang.

    Golongan ini juga sering memerlukan bantuan bagi mengendalikan rutin harian seperti mandi, memakai pakaian, makan dan menggunakan tandas. Sesuatu aktiviti yang mudah untuk kita lakukan akan menjadi sesuatu yang sukar bagi penghidap Alzheimer. Walaupun ini tidak terus terjadi, namun ia akan berlaku seiring dengan masa dan lambat-laun mereka akan kehilangan keupayaan untuk menjaga diri sendiri. 

    Apabila ahli keluarga mendapatkan bantuan daripada Homage, pada awalnya, ia menjadi satu tugas yang sukar untukmembantu penghidap Alzheimer membiasakan diri dengan kami. Mereka cenderung untuk berasa hilang harapan dengan kehilangan privasi mereka. Justeru, kami akan memastikan wujudnya hubungan yang selesa antara penghidap Alzheimer dan profesional penjagaan kami bagi mendapatkan kepercayaan mereka. Ini biasanya dicapai melalui lawatan secara kerap dan berinteraksi dengan penghidap Alzheimer.

    Kesilapan penjagaan pesakit Alzheimer

    Hello Doktor: Apakah kesilapan yang biasa dilakukan oleh individu yang menjaga pesakit Alzheimer, terutamanya bagi mereka yang tidak menggunakan perkhidmatan penjagaan profesional dan memilih untuk melakukannya secara sendiri?

    Andrea: Kesalahan umum yang dilakukan oleh keluarga dalam penjagaan pesakit Alzheimer biasanya adalah tidak mendapatkan rawatan atau nasihat yang betul semasa peringkat Alzheimer yang berlainan. Ahli keluarga cenderung untuk mengabaikan tanda-tanda dan simptom yang dialami oleh ahli keluarga mereka yang mempunyai Alzheimer. Ahli keluarga juga cenderung untuk memberikan pendapat mereka atau rawatan mereka sendiri selain gagal untuk melihat bahawa rawatan segera daripada penjagaan kesihatan profesional adalah lebih penting. Sesetengah keluarga juga perlu mendidik diri mereka mengenai pelbagai jenis rawatan atau ubat-ubatan yang telah ditetapkan, termasuklah amalan gaya hidup yang dapat memperlahankan perkembangan penyakit tersebut. Penyelesaian yang baik adalah dengan cara mengupah jururawat terlatih untuk datang dan menjaga warga emas yang menghidap Alzheimer.

    Hello Doktor: Apakah kesan terhadap pesakit bagi sebarang kesilapan yang terjadi (contohnya: secara emosi, psikologi, dan sebagainya)?

    Andrea: Kesan pengabaian rawatan yang betul terhadap individu yang menghidap penyakit Alzheimer boleh menyebabkan mereka  menjadi semakin kecewa, bimbang dan marah. Mereka akan lebih mudah tertekan dan menjadi tidak berminat dengan perkara yang berada di sekeliling mereka. Ia boleh menyebabkan mereka berasa tidak selamat dan hilang keyakinan diri serta kebolehan mereka sendiri. 

    Mereka mungkin berasa bahawa mereka tidak lagi mampu mengawal dan mungkin juga tidak mempercayai tanggapan mereka sendiri. Selain itu, mereka akan mengalami kesan stigma yang mengelilingi penghidap Alzheimer iaitu tidak diperlakukan dengan cara yang sama oleh orang lain. Kesemua ini boleh memberi kesan negatif terhadap harga diri seseorang. Anda juga mungkin dapat melihat bahawa orang di sekeliling akan berhenti mendengar dan mematuhi atau peduli tentang bagaimana dia kelihatan, berhenti memandikan mereka dan mahu mereka memakai pakaian yang sama setiap hari.

    Tips buat ahli keluarga

    Hello Doktor: Selain tugas penjagaan, apakah aspek lain yang terlibat dalam penyediaan penjagaan profesional holistik bagi pesakit Alzheimer?

    Andrea: Selain daripada mengasuh, setiap penjaga penting untuk memahami batasan fizikal dan emosi pesakit.

    Latihan fizikal dan aktiviti sosial adalah penting, sepertimana pentingnya pemakanan dan penjagaan kesihatan yang betul. Bagi mendapatkan hasil yang baik, anda perlu merancang aktiviti harian yang membantu menyediakan struktur, makna, dan pencapaian bagi individu yang menghidap penyakit Alzheimer. Walaupun fungsi yang hilang tidak boleh dikembalikan, namun individu yang menghidap penyakit Alzheimer perlu berintegrasi dan mengambil bahagian dalam aktiviti dalam komuniti.

    Berdasarkan pengalaman kami, terdapat dua perkara penting yang perlu diberikan keutamaan ketika menjaga seseorang yang mempunyai AD.

    1. Mengurangkan kekecewaan – Seseorang individu yang menghidap penyakit Alzheimer cenderung untuk menjadi gelisah dan kecewa apabila mereka menghadapi kesukaran dalam melakukan aktiviti harian. Oleh itu, sebagai penjaga, adalah penting bagi kita untuk mengehadkan cabaran dan mengurangkan kekecewaan mereka. Ini boleh dicapai dengan membuat pengubahsuaian mudah untuk aktiviti harian mereka.
    • Rancang jadual dengan bijak. Wujudkan rutin harian. Pelaksanaan beberapa tugas, seperti mandi atau janji temu perubatan akan menjadi lebih mudah apabila seseorang individu itu lebih peka. Jadikan sesuatu lebih fleksibel untuk aktiviti yang lebih santai atau apabila tibanya hari-hari yang sukar.
    • Bersikap fleksibel dan ambil sedikit masa. Anggaplah bahawa tugas mungkin akan menjadi lebih lama untuk mereka dan berikan lebih banyak masa untuk mereka. Berikan masa untuk berehat semasa melakukan tugas. Dari masa ke masa, warga emas penghidap Alzheimer akan menjadi lebih berdikari dan untuk mengurangkan kekecewaan, adalah penting untuk anda kekal fleksibel dan menyesuaikan rutin dan jangkaan seperti yang diperlukan. Sebagai contoh, jika dia ingin memakai pakaian yang sama setiap hari, pertimbangkan untuk membeli beberapa pakaian yang sama. Jika mempunyai sebarang kesukaran ketika mandi, pertimbangkan untuk kurang melakukannya bagi mengurangkan masalah yang mungkin akan berlaku.
    • Libatkan penghidap penyakit Alzheimer bersama-sama anda. Benarkan individu yang menghidapi penyakit Alzheimer untuk melakukan perkara sebanyak mungkin dengan kurangnya bantuan daripada anda. Contohnya, dia mungkin dapat menetapkan tetapan meja dengan bantuan isyarat visual atau berpakaian secara bebas.
    • Menyediakan pilihan. Berikan beberapa, tetapi tidak terlalu banyak pilihan setiap hari. Sebagai contoh, berikan dua pakaian untuk dipilih, bertanya jika dia menyukai minuman panas atau sejuk, atau bertanya jika dia lebih suka pergi berjalan-jalan atau menonton filem.
    • Sediakan arahan yang mudah. Penghidap penyakit Alzheimer paling mudah memahami komunikasi yang jelas dengan satu langkah atau satu arahan terus.
    • Hadkan waktu tidur sebentar. Elakkan tidur secara berganda atau berpanjangan pada siang hari. Ini boleh meminimumkan risiko mereka kekal aktif pada waktu malam.
    • Kurangkan gangguan. Matikan TV dan kurangkan gangguan lain pada waktu makan dan semasa perbualan untuk memudahkan individu yang mengalami demensia memberikan tumpuan sepenuhnya.
    1. Mewujudkan persekitaran yang selamat – seiring dengan masa, penghidap penyakit Alzheimer akan mengalami kemerosotan tanggapan dan kemahiran menyelesaikan masalah, yang meningkatkan risiko kecederaan mereka. Oleh itu, adalah penting untuk kita sebagai penjaga bagi mewujudkan persekitaran yang selamat bagi mereka.
    • Mencegah mereka daripada jatuh. Elakkan penggunaan permaidani, sambungan kabel (extension) dan sebarang perkara yang boleh menyebabkan mereka jatuh. Pasang pegangan tangan atau handrail bagi memudahkan pergerakan mereka.
    • Gunakan kunci. Pasang kunci pada kabinet yang mengandungi sesuatu yang berpotensi berbahaya, seperti ubat, alkohol, senjata api, bahan pembersihan toksik, peralatan berbahaya dan alat-alat lain.
    • Semak suhu air. Turunkan termostat pada pemanas air panas bagi mengelakkan luka terbakar.
    • Ambil langkah keselamatan kebakaran. Pastikan mancis dan pemetik api tidak dapat dicapai. Sekiranya penghidap demensia itu merokok, selalu awasi aktiviti merokok mereka. Pastikan pemadam api boleh diakses dan pengesan asap dan karbon monoksida sentiasa berada dalam keadaan aktif.

    Hello Doktor: Berapa pentingkah aspek penjagaan yang lain dalam kesejahteraan umum pesakit dan keluarga mereka?

    Andrea: Disebabkan oleh keadaan semula jadi penghidap Alzheimer yang bersifat jangka panjang dan semakin merosot, ahli keluarga perlu bertanggungjawab ke atas kesejahteraan umum ahli keluarga mereka. Ini termasuklah pemberian ubat yang betul dan pelaksanaan sebarang intervensi bukan farmakologi seperti pemulihan, latihan memori dan rangsangan sosial. Kedua-dua ahli keluarga dan penghidap penyakit Alzheimer ingin dihormati, berintegriti, belas kasihan, bermaruah, dan perhatian terhadap privasi dan keselamatan mereka. Individu dengan simptom penyakit Alzheimer yang ringan hingga sederhana mungkin memerlukan sokongan dalam mencari peluang untuk meningkatkan kualiti hidup mereka pada permulaannya. Itulah sebabnya mengapa ia dianggap penting untuk mencari seseorang individu atau ahli keluarga lain bagi mendapatkan sistem sokongan yang baik.

    Hello Doktor: Apakah pilihan yang ada bagi ahli keluarga dalam mencari penjagaan profesional untuk pesakit AD?

    Andrea: Selain daripada alternatif yang biasa, ahli keluarga mempunyai pilihan untuk mencari rawatan profesional untuk orang yang tersayang dengan melibatkan penyedia perkhidmatan penjagaan di rumah. Sebagai contoh, melibatkan Homage untuk datang ke rumah mereka dan menyediakan penjagaan holistik untuk penghidap penyakit Alzheimer, agar mereka boleh menjalani usia tua dengan cara yang lebih terhormat dan bermaruah. Menjaga pesakit dalam persekitaran rumah yang biasa boleh melambatkan manifestasi simptom dan keperluan penjagaan kejururawatan profesional.

    Info: Andrea merupakan salah seorang penjaga profesional yang berkhidmat di Homage dalam perkhidmatan penjagaan warga emas di rumah. Untuk pengetahuan pembaca, Andrea mempunyai pengalaman dalam penjagaan pesakit strok melebihi 10 tahun di Singapura dan Arab Saudi. Andrea bukan sahaja terlibat secara langsung dengan ahli keluarga bagi penjagaan ahli keluarga yang menginjaki usia tua, malah Andrea turut membantu dalam membangunkan pelan khusus untuk seseorang individu berkeperluan setelah penilaian terperinci dijalankan. 

    Anda mungkin berminat membaca:

    • Alzheimer dalam Kalangan Warga Tua, Apa yang Anda Perlu Tahu

    • Penjagaan Ibu Bapa Menghidap Alzheimer

    • Penyakit Alzheimer

    • Penyelidikan Ubat Untuk Alzheimer Mungkin Menawarkan Harapan Kepada Pesakit

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 16/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan