Berapa BMI Anda?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Mengamalkan gaya hidup yang sihat bukan sahaja melibatkan aspek pemakanan mahupun senaman tetapi ia juga merangkumi BMI anda. Adakah nilai BMI anda sesuai dengan berat dan ketinggian anda?

Mengapa perlunya BMI?

Mempunyai kesihatan yang baik adalah petunjuk mudah bahawa badan anda pada tahap yang baik, begitu juga keadaannya dengan berat badan. Jika anda mempunyai berat badan yang berlebihan, ia akan meningkatkan risiko kecenderungan untuk mengalami masalah kesihatan. 

Umumnya, Body Mass Index (BMI) atau Indeks Jisim Badan merupakan satu nilai badan seseorang individu berdasarkan kiraan nisbah berat badan dengan ketinggian. Mengetahui nilai BMI akan dapat membantu seseorang untuk menentukan sama ada dia mempunyai berat badan yang seimbang ataupun tidak.

Mempunyai nilai BMI yang tidak seimbang; terlalu besar atau terlalu kecil, boleh mendedahkan seseorang kepada masalah kesihatan. Sebagai contoh, jika besar nilainya, maka anda berkemungkinan akan terdedah kepada penyakit seperti diabetes, darah tinggi ataupun penyakit jantung. 

Manakala jika terlalu kecil nilainya, akan wujud risiko untuk masalah kesihatan seperti anemia, keletihan kronik dan penurunan daya tahan badan terhadap jangkitan mungkin akan dihidapi. Ini membuktikan bahawa pentingnya untuk anda mengetahui nilai BMI untuk membolehkan anda mencari cara dan langkah yang perlu diambil bagi mendapatkan BMI yang lebih ideal. 

Kategori nilai BMI 

Kategori BMI menurut Kementerian Kesihatan Malaysia boleh dibahagikan kepada empat bahagian:

BMI (kg/m2)

  • Kurang dari 18.5 – Kurang berat badan. Ini boleh mendatangkan risiko kepada masalah kesihatan. Berbincang dengan doktor perubatan anda mengenai berat badan ideal anda
  • 18.5 hingga 22.9 – Normal. Teruskan bersenam dan makan secara seimbang
  • 23 hingga 26.9 – Lebih berat badan. Anda mempunyai risiko yang tinggi untuk mengembangkan diabetes jenis 2 dan penyakit kronik lain. Dapatkan pemeriksaan dan rundingan dengan doktor kesihatan untuk mendapatkan berat badan idea dan perubahan gaya hidup sihat
  • Lebih dari 27 – Obesiti. Berat anda sekarang meningkatkan risiko untuk membangunkan banyak penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes jenis 2 dan mengurangkan kualiti kehidupan secara keseluruhan. Amat disarankan untuk anda mendapatkan rundingan dan nasihat daripada pakar kesihatan untuk mndapatkan berat yang ideal serta melakukan perubahan pada gaya hidup seharian anda. 

Bagi membuat kiraan BMI, anda perlu mengetahui jumlah berat badan anda dalam nilai kilogram dan ketinggian dalam nilai meter. Contoh pengiraannya pula adalah seperti, sekiranya berat badan anda adalah 50 kilogram (kg), manakala ketinggian anda adalah 155 sentimeter (cm), apa yang perlu anda lakukan, maka anda perlu bahagikan berat dengan ketinggian anda: 

Berat badan: 50 kg

Ketinggian: 155 cm (1.55m)

Pengiraannya: 50 / (1.55 x 1.55) = 20.8

Maka BMI anda adalah 20.8.  Atau anda boleh mencuba Kalkulator Indeks Jisim Badan Hello Doktor

Tetapi harus diingatkan kiraan ini hanya sesuai untuk individu lelaki dan wanita dewasa yang berusia 18 hingga 64 tahun. Individu wanita mengandung, kanak-kanak, atlet berotot dan individu dewasa yang lebih berusia adalah tidak sesuai untuk menggunakan nilai kiraan di atas. 

Jadi bagaimana pula untuk mengetahui nilai indeks yang sesuai untuk kanak-kanak?

BMI anak

Sudah tentu pertumbuhan setiap anak adalah berbeza dan anda sebagai ibu bapa tidak boleh membandingkan anak anda dengan kanak-kanak yang lain. Keadaan ini berikutan faktor ketinggian dan saiz yang berbeza.

Sama seperti mengetahui BMI anda sendiri, pengetahuan BMI untuk si manja anda juga dapat membantu anda menentukan sama ada tumbesarannya pada kadar yang sesuai atau tidak mengikut peringkat usia. 

Cara pengiraannya adalah sama iaitu berat (kg) / tinggi (m) x tinggi (m). Kemudian anda boleh merujuk carta rujukan pertumbuhan anak di bawah untuk mengetahui BMI anak anda, yang berusia 2 tahun hingga 19 tahun.

sumber Positive Parenting
sumber Positive Parenting
sumber Positive Parenting
sumber Positive Parenting

Gaya hidup seimbang

Selepas mengetahui nilai BMI anda dan juga anak-anak, maka bolehlah anda menentukan aspek diet pemakanan yang sesuai buat anda sekeluarga. Pengambilan makanan yang seimbang dan kaya nutrien adalah penting dalam kehidupan seharian, selain melakukan aktiviti fizikal, okay?

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda mungkin berminat dengan artikel berikut