Daun Pudina: Bukan Sekadar Penyegar Nafas

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Daun pudina segar boleh didapati sepanjang tahun tetapi ia paling banyak didapati pada bulan-bulan musim panas yang hangat. Rasa pudina menyegarkan selain ia turut menyihatkan. Minyak patinya digunakan secara meluas dalam produk yang dikilangkan seperti ubat gigi, gel mandian dan ubat-ubatan disebabkan oleh sifat antibakteria semula jadinya dan kualiti kesan penyejukannya. Dalam masakan, daun pudina boleh ditambah ke dalam air yang sedang dimasak atau daunnya yang dicincang dimasukkan ke dalam hidangan untuk memanfaatkan sifat aromatiknya, rasanya dan kemampuannya dalam memberikan kelegaan terhadap masalah pencernaan.

 

Pudina (Mentha) adalah herba yang hidup dalam jangka masa yang lama dengan aroma yang unik. Terdapat pelbagai jenis pudina yang ada di dunia ini dan ia ditanam secara meluas. Daun dan batang dituai untuk kegunaan masakan dan perubatan. Pudina boleh digunakan secara segar atau kering. Di taman, pudina bercambah dan membesar dengan cepat di kawasan yang agak teduh daripada cahaya matahari.

 

Sejarah penggunaan daun pudina

Ia diketahui berasal dari rantau Asia dan rantau Mediterranean. Pudina terkenal dengan pelbagai faedahnya sepanjang lipatan sejarah. Orang Yunani menggunakan daun pudina untuk membersihkan meja perjamuan mereka dan menambahnya ke dalam air mandian mereka untuk merangsang tubuh mereka, sementara orang-orang Rom menggunakannya dalam sos, sebagai bantuan untuk pencernaan dan sebagai penyegar mulut. Para biarawan zaman pertengahan menanam herba ini untuk tujuan masakan dan perubatan. Dalam banyak budaya, pudina melambangkan keramahan dan diberikan sebagai tanda selamat datang dan persahabatan kepada tetamu.

 

Dalam Ebers Papyrus, teks perubatan kuno Mesir yang bertarikh 1550 sebelum Masihi, pudina disenaraikan sebagai agen bagi melegakan sakit perut. Pudina sangat dihargai di Mesir sehingga ia digunakan sebagai satu bentuk mata wang.

 

Perkataan pudina dalam bahasa Inggeris iaitu mint berasal dari watak mitos Greek kuno yang bernama Minthe. Mengikut mitos Yunani, Minthe adalah satu semangat atau lembaga yang mendiami kawasan sungai. Hades, Tuhan Neraka dan Kematian dalam mitos orang-orang Yunani purba, jatuh cinta dengan Minthe. Apabila Persephone, isteri Hades mengetahui berkenaan hal tersebut, dia menukarkan Minthe menjadi satu tanaman, agar semua orang akan berjalan di atasnya dan memijak serta menghancurkannya. Hades tidak dapat membatalkan sumpahan tersebut lalu Hades memberikan Minthe satu aroma yang luar biasa sehingga dia dapat menciumnya dan berada berhampirannya ketika orang-orang berjalan di atasnya.

Penggunaan peppermint 

Peppermint akhirnya diperkenalkan di Eropah di mana ia juga menjadi ramuan masakan dan perubatan yang popular. Ia telah disebutkan dalam Icelandic Pharmacopoeias seawal 1240 selepas Masihi sebagai ubat herba dan mendapat populariti selama dua abad kemudiannya. Para rahib di Zaman Pertengahan diketahui menggunakan peppermint sebagai penggilap gigi dan pada masa yang sama, pembuat keju mengetahui bahawa bau peppermint yang kuat akan menjauhkan tikus dari bilik stor penyimpanan keju.

 

Peppermint muncul sebagai spesies yang berbeza di London Pharmacopoeia pada tahun 1721 dan telah disenaraikan sebagai ubat untuk merawat pelbagai penyakit akibat daripada luka, penyakit kelamin, selesema dan sakit kepala. Bilamana peppermint terus mendapat populariti, ladang penanamannya meningkat daripada hanya beberapa ekar hingga beberapa ratus ekar.

 

Apabila peneroka Eropah datang ke Amerika, mereka mendapati bahawa orang Indian Amerika sudah mengetahui pentingnya pudina, walaupun mereka menanam spesis pudina yang berlainan, yang berasal dari Amerika Utara. Para peneroka membawa peppermint dan pohon pudina lain yang bukan berasal dari Amerika bersama dengan mereka dan pohon peppermint tersebut telah mula beradaptasi dengan persekitaran semula jadi di sana dan mula berkembang biak dan tersebar.

 

Di Amerika Utara, peppermint ditanam secara komersil dan secara eksklusif di utara dan timur dari Indiana ke New York dan kawasan paling selatan di Kanada. Michigan mempunyai kawasan paling banyak yang ditanam dengan peppermint di Amerika Syarikat, dan membuatkan Amerika Syarikat menghasilkan kira-kira setengah daripada penghasilan peppermint di dunia. Walau bagaimanapun, kualiti minyak peppermint Amerika dianggap lebih rendah berbanding daripada minyak peppermint Inggeris, yang dianggap paling baik, diikuti oleh minyak peppermint Perancis. Perbezaannya biasanya dalam bentuk jenis yang ditanam; di Amerika Syarikat, jenis hitam paling sering ditanam, sementara di Eropah, jenis putih yang lebih halus yang ditanam.

 

Bagaimana untuk mengenali daun pudina?

daun pudina

Tumbuhan dari keluarga mint mempunyai struktur batang yang unik. Batangnya bersegi dan tidak bulat seperti kebanyakan tumbuhan. Selain itu, daunnya mempunyai tepi yang bergerigi dan mempunyai bau pudina yang unik dan jelas apabila dihancurkan. Sesetengah pudina mempunyai warna yang berlainan atau daun yang halus dan lembut. Sesetengah tumbuh-tumbuhan daripada keluarga pudina biasanya tidak dianggap sebagai pudina, contohnya, catnip atau horehound.

 

Geografi tanaman pudina

Daun pudina tumbuh di kawasan luar rumah di seluruh dunia kecuali di kawasan paling sejuk di mana tanah kekal beku sepanjang tahun. Ia lebih menyukai tanah lembap dan beberapa teduhan semasa hari tersebut berada pada suhu paling panas ketika cuaca panas. Sekiranya keperluan kelembapan tidak dipenuhi, ia akan mati kembali kepada akar dan tumbuh semula apabila keadaan tanah dan suhu kembali seperti yang diinginkannya. Pudina bercambah atau tumbuh secara agresif dan boleh menjadi tanaman perosak bagi sesetengah taman. Ia juga boleh ditanam di dalam rumah di kawasan tingkap yang dimasuki cahaya matahari.

 

Jenis-jenis daun pudina

Jenis-jenis pudina yang paling lazim ditanam untuk tujuan masakan dan perubatan adalah spearmint, peppermint, chocolate mint, pineapple mint, apple mint, orange mint dan Swiss mint. Walau bagaimanapun, terdapat beratus-ratus jenis pudina yang lain. Jenis pudina boleh membuat pendebungaan silang dan boleh membuat jenis baharu apabila ditanam secara rapat, oleh itu terdapat pelbagai jenis pudina yang masih tidak didokumentasikan. Tidak semua pokok pudina adalah bersifat tumbuhan penutup tanah. Pudina gunung biasa tumbuh dengan ketinggian sehingga 36 inci dan tumbuh meliar di tengah dan tenggara Amerika Syarikat. Lemon mint atau purple horse mint tumbuh sehingga 48 inci tinggi dan merupakan pudina asli yang tumbuh liar di seluruh Amerika Syarikat. Ia mempunyai rasa dan bau seperti sitrus yang tajam.

 

Kegunaan daun pudina

Mint dikenali terutamanya untuk kegunaannya dalam perasa, seperti peppermint dan spearmint yang digunakan dalam gula-gula. Minyak pati dalam peppermint, mentol, adalah minyak aromatik yang kuat yang digunakan bukan sahaja untuk memberikan perasa kepada gula-gula tetapi juga digunakan dalam penyegar nafas, rokok, ubat sakit pernafasan, losen gatal-gatal dan cecair kumuran. Daun pudina juga merupakan ramuan biasa dalam teh herba yang tidak mempunyai kafein; peppermint dikatakan menghilangkan masalah pencernaan, mengurangkan kembung dan melegakan beberapa kesan kolitis ulseratif.

 

Jenis tumbuhan dalam keluarga pudina

daun pudina

Keluarga bagi tanaman daun pudina tergolong dalam jenis tumbuhan yang dikenali sebagai Lamiaceae. Menurut laman web Montana Plant Life, terdapat sebanyak 3,200 jenis spesies pudina di seluruh dunia, dengan kebanyakannya hidup dalam tempoh yang lama secara semula jadi. Pokok-pokok pudina biasanya mempunyai batang bersegi dengan empat sisi dan daun yang tumbuh bertentangan antara satu sama lain pada batang atau dalam corak whorled di sekelilingnya. Sebilangan tanaman pudina mempunyai aroma yang menyenangkan dan terdapat banyak jenis pudina yang penting dari aspek perubatan.

 

  • Spotted Horsemint

Spotted Horsemint (Monarda punctata) adalah pohon rimbun dan mempunyai banyak cabang. Pohon ini boleh mencapai ketinggian sehingga 4 kaki selain daun dan batangnya mempunyai bulu halus yang menutupinya. Spotted Horsemint mempunyai daun berbentuk tombak yang mempunyai kepanjangan antara 1 hingga 3 inci dan menghasilkan bunga kecil dengan bracts yang berwarna antara lavender atau merah jambu. Laman web Floridata menyatakan bahawa daun spotted horsemint mempunyai aroma yang sama seperti oregano, dan sesetengah individu menggunakannya untuk memberikan rasa pada makanan yang dimasak.

 

Spesies ini adalah tumbuhan asli di Amerika Syarikat timur dari Vermont ke Florida dan sejauh barat ke arah Texas dan Minnesota. Tumbuhan ini lebih menyukai kawasan yang mendapat matahari penuh tetapi boleh bertahan di bawah teduhan separa di iklim yang lebih panas. Tumbuhan ini akan tumbuh daripada benih, atau anda boleh membahagikan rumpun akar tumbuhan ini yang telah bercambah. Pudina ini akan menarik kupu-kupu dan merupakan pilihan yang baik untuk taman bunga liar.

 

  • Lemon Balm

Lemon balm (Melissa officinalis) mempunyai daun-daun berkulit hijau yang ringan dengan gerigi yang ketara di bahagian tepi. Dedaun pohon berbentuk telur berbau seperti lemon apabila dihancurkan dan bunga kuningnya mempunyai saiz 1/2 inci lebar. Bunga-bunga pohon ini tidak begitu kelihatan, menjadikan daunnya yang berbau lemon tersebut sebagai sebab utama penanaman pohon pudina jenis ini. Jenis hibrid seperti All Gold mempunyai daun berwarna kuning, manakala Variegata mempunyai tanda kuning pada permukaan daun berwarna hijau gelap.

 

Lemon balm boleh tumbuh dengan ketinggian hingga 3 kaki tinggi dan merupakan spesies asli bagi bahagian utara Afrika dan bahagian selatan Eropah. Lemon balm tumbuh dengan baik dengan cahaya matahari penuh dan ia akan tumbuh di tanah berpasir dengan mudah juga di tanah yang mempunyai kelembapan yang tinggi. Biji benih lemon balm sangat kecil dan perlahan untuk bercambah. Anda boleh membiakkannya dengan cara yang lebih baik dengan membahagikan rumpun akar dan menanamnya.

 

  • Peppermint

Peppermint (Mentha x Piperita) tumbuh daripada rizom bawah tanah yang merayap dan boleh merebak di kawasan yang sangat besar jika dibiarkan tidak terkawal. Peppermint mempunyai bau menthol yang biasa dengan daun dan batangnya apabila anda menghancurkannya dan jenis pudina ini mempunyai banyak kegunaan, termasuk keperluannya dalam aspek perubatan, masakan dan hiasan. Peppermint tumbuh tidak lebih tinggi daripada satu kaki dalam kebanyakan kes dan mempunyai daun yang boleh mempunyai kepanjangan sehingga 3 1/2 inci. Pohon peppermint juga boleh tumbuh atau ditanam di tanah yang sangat basah dengan aliran air yang buruk.

 

Peppermint adalah hasil kacukan antara spearmint dan watermint. Pohon ini tumbuh dengan mudah daripada kepingan sistem akar rizomnya. Tanam peppermint di taman anda dan selalulah memetik daunnya setiap dua minggu untuk digunakan dalam teh herba atau keringkan daunnya untuk digunakan sebagai potpuri. Untuk mengawal sifat percambahan peppermint yang menyebar, tanamlah di dalam periuk tanah liat yang kemudian ditanam ke dalam tanah dengan melebihkan satu inci rim atasnya daripada permukaan tanah. Sentiasa ingat bahawa peppermint akan cepat menyebar dan boleh menjadi spesies yang invasif jika ia keluar dari kebun anda dan mula berkembang menjadi liar.

 

Pepermint kurangkan sakit dada, kesukaran menelan

daun pudina

Bayangkan apabila anda makan makanan yang lazat di restoran kegemaran anda, kegembiraan menikmati makanan tersebut hilang kerana kesukaran menelan makanan dan diikuti dengan sakit dada. Sekiranya anda pergi berjumpa doktor mengenai simptom-simptom ini, dan tidak ada bukti punca sakit dada, anda boleh didiagnosis dengan mempunyai gangguan pada esofagus.

 

Peppermint dapat membantu dengan kesukaran menelan dan kesakitan dada yang dialami oleh beberapa pesakit yang mengalami gangguan esofagus, berpandukan laporan penyelidik di Medical University of South Carolina (MUSC) dalam jurnal Digestive Diseases & Sciences. Daripada 38 pesakit yang mendaftar dalam kajian perintis MUSC, 63 peratus daripada keseluruhannya melaporkan simptom yang semakin bertambah baik. Pesakit direkrut dari Klinik Gangguan Esophageal di MUSC Health Digestive Disease Center.

 

Menurut Mohamed Khalaf, MD, felo penyelidik gangguan esophageal di MUSC Health Digestive Disease Center yang juga pengarang pertama artikel kajian tersebut, minyak peppermint adalah agen yang terbukti dalam rawatan sindrom rengsa usus (irritable bowel syndrome). Pasukan penyelidik cuba untuk meneliti kesannya kepada pesakit yang mempunyai kesukaran menelan dan masalah sakit dada tanpa sebab yang jelas.

 

Donald O. Castell, MD, seorang profesor emiritus di MUSC College of Medicine yang juga ahli gastroenterologi terkenal dan penulis kanan artikel kajian pula berkata, penemuan mereka tersebut menunjukkan bahawa peppermint dapat membantu mencegah gejala ini dengan melegakan otot licin di bahagian esofagus bawah.

 

Fungsi minyak peppermint dan kesannya

Minyak Peppermint telah diketahui mempunyai kesan terapeutik dalam pelbagai gangguan kerana sifatnya yang melegakan otot. Walau bagaimanapun, hanya terdapat dua kajian terdahulu yang telah menyiasat peranannya dalam saluran pencernaan atas.

 

Kajian MUSC mendapati bahawa pesakit yang mengambil tablet minyak peppermint sebelum makan berasa lebih baik selepas makan berbanding mereka yang tidak mengambilnya. Mereka yang mempunyai kedua-dua kesakitan dada dan kesulitan untuk menelan makanan mendapat manfaat yang paling banyak: 73 peratus daripada mereka melaporkan perasaan lebih baik. Daripada pesakit yang hanya mempunyai satu gejala, mereka yang mengalami kesakitan dada mempunyai tindak balas yang lebih positif hasil penggunaan minyak peppermint (63 peratus) berbanding daripada mereka yang mempunyai masalah kesukaran untuk menelan (53 peratus).

 

Hasil tersebut jauh lebih baik dalam kalangan pesakit yang mempunyai gangguan spastik esofagus: 83 peratus dilaporkan berasa lebih baik atau sedikit lebih baik. Walaupun kurang dikenali berbanding gangguan esophageal seperti refluks asid, gangguan spastik esofagus juga boleh mengganggu kehidupan pesakit. Dalam gangguan ini, esofagus mengalami kekejangan yang menyakitkan yang boleh mengganggu aktiviti makan. Kerana kekejangan tersebut berlaku hanya dari semasa ke semasa, gangguan ini sukar untuk didiagnosis dan dirawat.

 

Peppermint menawarkan garis pertahanan pertama yang menarik untuk pesakit-pesakit ini, yang mengalami simptom secara sekejap-sekejap kerana mereka boleh mengambilnya secara bebas apabila simtom tersebut berlaku.

 

Menurut Khalaf, dalam kajian tersebut, pesakit yang mengalami kesukaran untuk menelan mengambil dua keping ramuan peppermint yang tersedia secara komersil sebelum makan. Mereka yang mengalami kesakitan dada mengambil pil peppermint apabila diperlukan.

 

Castell dan Khalaf mengambil maklum bahawa pesakit harus terlebih dahulu diperiksa oleh seorang doktor untuk mengenal pasti penyakit jantung dan menjalani prosedur yang dikenali sebagai endoskopi untuk menghalang halangan sebelum mereka ditawarkan dengan peppermint sebagai kaedah rawatan yang pertama. Endoskopi melibatkan kemasukan tiub fleksibel yang dilengkapi dengan cahaya dan kamera ke dalam esofagus.

 

Perlu kajian lanjut dos peppermint yang tepat

daun pudina

Salah satu kelemahan kajian ini ialah penyelidik tidak mengetahui dos peppermint yang tepat kerana ia adalah gula-gula komersial (hanya satu jenis yang berkesan) dengan resipi persendirian. Selain itu, kajian ini bergantung kepada pelaporan diri oleh pesakit untuk menentukan sama ada simptom bertambah baik atau tidak.

 

Walaupun penemuan awal kajian ini kelihatan menjanjikan, ianya perlu disahkan dalam percubaan yang membandingkan hasil pada pesakit yang menerima dos tertentu minyak peppermint dan mereka yang hanya menerima plasebo.

 

Sementara itu, pesakit yang telah didiagnosis mengalami gangguan spastik esofagus dan yang tidak mempunyai penyakit jantung boleh mencuba menggunakan peppermint untuk melihat apakah ianya melegakan simptom mereka. Menurut Khalaf, tiada risiko terhadap penggunaan minyak peppermint secara empirikal memandangkan ianya selamat, murah dan boleh didapati di mana-mana.

 

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: April 29, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Disember 26, 2019

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut