backup og meta

Mengantuk Selepas Makan?

Mengantuk Selepas Makan?

Kebanyakan antara kita sukar untuk memastikan diri kekal cergas dan bertenaga selepas makan. Kenapakah hadir keinginan yang kuat untuk tidur apabila selesai makan, terutamanya makan tengahari?

Kitaran penghadaman

Untuk bernafas pun kita memerlukan tenaga dan kita memperolehi tenaga daripada makanan. Apabila anda mengambil sebarang makanan, sistem pencernaan anda akan memecahkan makanan dan memprosesnya menjadi tenaga dan ketika proses ini berlaku, ia mencetuskan beberapa tindak balas.

Semasa proses pencernaan ini, badan akan menghasilkan cholecystokinin (CCK), glukagon, dan amylin untuk meningkatkan rasa kenyang. Gula dalam darah akan meningkat, menggalakkan pengeluaran insulin yang membantu pemindahan gula dari darah ke sel untuk tenaga.

Proses pencernaan ini  juga akan menghasilkan serotonin – hormon yang menyebabkan rasa mengantuk. Satu lagi hormon yang boleh menyebabkan tidur adalah melatonin. Walaupun proses pencernaan tidak membebaskan melatonin, hormon ini mungkin dipengaruhi oleh makanan yang dimakan.

Makanan yang dimakan

Sistem penghadaman anda akan menjalankan proses yang sama terhadap semua jenis makanan. Walau bagaimanapun, setiap makanan mempunyai kesan yang berbeza terhadap tubuh anda. Makanan tinggi protein seperti ayam turki, bayam, soya, telur, keju, tauhu, dan ikan mengandungi trytophan.

Tubuh anda menggunakan asid amino ini untuk menghasilkan melatonin – hormon tidur yang disebutkan di atas. Buah ceri akan meningkatkan tahap melatonin, sementara karbohidrat menyebabkan naik turun paras gula dalam darah dan mineral daripada pisang akan membuatkan otot dalam tubuh anda berada dalam keadaan tenang. Gabungan ketiga-tiga jenis makanan ini, boleh menimbulkan rasa mengantuk.

Nasib baik, terdapat makanan yang boleh membantu anda kekal berjaga. Ini termasuk sayur-sayuran, bijirin penuh dan lemak sihat yang turut dalam membantu meningkatkan tahap tenaga seseorang individu. Kadar penghidratan yang mencukupi, pengambilan gula yang rendah, jumlah pengambilan makanan yang sedikit tetapi kerap juga dapat membantu mengurangkan rasa mengantuk.

Corak tidur

Jika anda tidak mendapat tidur yang berkualiti, anda akan lebih cenderung untuk merasa mengantuk selepas makan. Apabila anda kurang tidur, tubuh anda akan cuba untuk mencari keseimbangan. Selepas anda makan, anda akan berasa kenyang dan santai, ketika ini tubuh anda akan cuba untuk mencari peluang dan memaksa anda untuk mendapatkan tidur yang diperlukan.

Untuk mengelakkan dari mengantuk selepas makan, adalah penting untuk anda mendapatkan tidur yang berkualiti dan mencukupi. Walau bagaimanapun, jika tubuh anda tetap menginginkan tidur selepas makan tengahari, anda mungkin patut tidur. Ini kerana tidur sekejap selepas makan tengahari terbukti berkesan membuatkan diri lebih bersemangat; fizikal dan mental.

Tahap kesihatan

Dalam sesetengah kes, rasa mengantuk selepas makan boleh menjadi tanda amaran masalah kesihatan. Individu yang menghidapi diabetes, anemia, tiroid yang tidak aktif, penyakit celiac, intoleransi makanan (tubuh tidak boleh mencerna makanan tertentu), dan tidur apnea sering mengalami rasa mengantuk selepas makan.

Jika anda kerap merasa mengantuk, anda mungkin perlu berjumpa doktor. Dapatkan keadaan sebenarnya tahap kesihatan anda agar anda dapat merawat rasa mengantuk anda.

[embed-health-tool-bmr]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Versi Terbaru

12/05/2022

Ditulis oleh Asyikin Md Isa

Disemak secara perubatan oleh Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

Diperbaharui oleh: Maria Stork


Artikel Berkaitan

Rahsia Untuk Cepat Tambah Berat Badan, Amalkan 5 Jenis Makanan Sihat Ini!

Mengapa Orang Dewasa Perlu Minum Susu Tepung? Ini 4 Khasiatnya Ramai Orang Tak Tahu


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Aisyah Syahira Abdul Hamid

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 12/05/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan