Bolehkah Saya Dapat HIV Melalui Seks Tanpa Ejakulasi?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Umum mengetahui bahawa virus HIV boleh disebarkan melalui cecair badan. Pertemuan cecair badan antara dua individu boleh berlaku melalui pelbagai cara namun dua kaedah yang kerap dibincangkan masyarakat adalah melalui hubungan seks tanpa perlindungan dan juga melalui perkongsian jarum dalam kalangan penagih dadah.

Justeru, melihat kepada peranan yang dimainkan cecair badan, antara soalan yang paling kerap ditanya adalah bolehkah seseorang mendapat virus HIV melalui seks tanpa ejakulasi? Jawapan mudahnya adalah kemungkinan penyebaran itu masih ada dan boleh berlaku walaupun tanpa ejakulasi.

Situasi penjelasan tentang virus HIV

Untuk tujuan penjelasan, bahagian ini akan dibahagikan kepada 2 situasi hubungan seksual melalui faraj bersifat heteroseksual.

Situasi 1: Lelaki yang positif HIV dan wanita yang negatif HIV

Dalam situasi ini, walaupun pasangan boleh mengambil langkah berhati-hati dengan mengelakan ejakulasi ke dalam faraj, harus diingati bahawa terdapat cecair yang akan keluar terlebih dahulu daripada zakar lelaki sebelum ejakulasi berlaku. Cecair tersebut disebut dalam konteks masyarakat Malaysia sebagai air mazi dan pengeluaran cecair ini berlaku tanpa sebarang kawalan oleh kaum lelaki. Penghasilan air mazi adalah sejenis tindak balas badan untuk menyediakan ejakulasi sperma dengan meneutralisasikan laluan uretra terlebih dahulu daripada tinggalan air kencing yang bersifat asid. Justeru, cecair ini boleh membawa sampel yang dicemari virus HIV dan membawa risiko untuk disebarkan apabila bertemu dengan membran mukosa dinding faraj.

Situasi 2: Wanita yang positif HIV dan lelaki yang negatif HIV

Secara umum, risiko lelaki untuk mendapat HIV daripada wanita adalah lebih rendah berbanding risiko wanita untuk mendapat HIV daripada lelaki. Risiko jangkitan daripada lelaki positif HIV kepada wanita negatif HIV dalam hubungan seks melalui faraj adalah sekitar 7 hingga 8 kes dalam setiap 10 000 hubungan seksual tanpa perlindungan manakala risiko tersebut hanyalah separuh dalam kes penyebaran HIV melalui wanita positif HIV kepada lelaki negatif HIV melalui hubungan seks faraj, sekitar 4 kes dalam setiap 10 000 hubungan seksual tanpa perlindungan.

Hal ini adalah kerana perbezaan permukaan yang bersentuhan antara lelaki dan perempuan ketika hubungan seksual. Zakar lelaki, khususnya yang berkhatan, rata-ratanya dilapik dengan kulit iaitu lapisan sel-sel mati yang tebal, menyebabkan peluang untuk virus HIV masuk ke dalam badan adalah sangat terhad kepada pembukaan uretra.

Berbeza dengan lelaki, bahagian yang bersentuhan untuk wanita ketika seks adalah dinding faraj yang diperbuat daripada membran mukosa yang mempunyai liang dan kelenjar pada permukaanya. Pembukaan-pembukaan ini dan juga lapisan sel pada permukaan dinging yang lebih nipis berbanding sel kulit, memudahkan penyerapan dan kemasukan virus HIV.

Wanita positif HIV mampu memberi jangkitan virus tersebut kepada Lelaki melaui rembesan cecair daripada liang dan kelenjar pada dinding faraj. Sekiranya lelaki tersebut memiliki sebarang luka, ulser mahupun pecahan kulit pada zakarnya, cecair daripada faraj wanita tadi boleh masuk melalui pembukaan-pembukaan ini pada permukaan zakar lelaki.

Walau bagaimanapun, risiko dalam hubungan seksual faraj heteroseksual adalah lebih rendah berbanding hubungan seksual melalui dubur heteroseksual dan jauh lebih rendah berbanding hubungan yang paling berisiko iaitu jenis hubungan seksual homoseksual melalui dubur.

Hari Kondom Sedunia

Justeru, pengunaan kondom amatlah disarankan bagi mengurangkan risiko penyebaran jangkitan penyakit kelamin seperti HIV. Ini kerana kondom bertindak sebagai lapisan perlindungan antara permukaan yang bersentuhan ketika hubungan seks. Di sebalik larangan agama dan implementasi undang-undang, hubungan seksual antara lelaki dan wanita merupakan bukan perkara yang mudah untuk dibendung. Hal ini terbukti melalui peningkatan kes-kes pembuangan bayi, kelahiran anak tidak sah taraf dan juga penyakit jengakitan kelamin. Peningkatan kes-kes ini memberi maksud bahawa walaupun undang-undang dan larangan agama itu wujud, pasangan-pasangan tetap mempunyai ruang dan peluang dan mengambil peluang tersebut untuk melakukan seks.

Sehubungan itu, sempena Hari Kondom Sedunia semalam, kempen seks selamat dilihat perlu bagi memastikan walaupun berlakunya hubungan seksual yang tidak diingini ini, hubungan tersebut dilindungi dari risiko jangkitan dan juga risiko untuk mengandung. Masyarakat perlu memahami bahawa promosi kondom dan kempen seks selamat bukanlah bertujuan untuk menggalakan seks, tetapi ianya adalah langkah tambahan untuk mengurangkan risiko mengandung dan jangkitan kelamin dalam hubungan seksual yang tidak berjaya dibendung oleh undang-undang dan larangan agama.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

enEnglish

Tarikh Reviu: Februari 15, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Februari 21, 2020

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut