backup og meta

Bukan Lelaki Saja, Wanita Juga Boleh Alami Masalah Orgasma Pramatang!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 15/06/2023

    Bukan Lelaki Saja, Wanita Juga Boleh Alami Masalah Orgasma Pramatang!

    Tahukah anda wanita juga boleh mengalami masalah klimaks awal?

    Ini salah satu masalah dalam kalangan wanita yang kurang mendapat perhatian jika dibandingkan dengan isu ejakulasi pramatang lelaki.

    Wanita yang mengalami masalah ini jadi amat sensitif walaupun dengan sentuhan yang sedikit.

    Mereka terus mencapai klimaks walaupun baru sahaja bersentuhan dengan pasangan.

    Perkara ini mungkin tidak akan menjadi masalah jika berlaku sekali sekala.

    Namun, jika ia kerap berlaku dan boleh menyebabkan wanita tersebut sukar untuk melakukan hubungan seks dengan aman, maka ia dikategorikan sebagai sebuah penyakit!

    Jom baca artikel di bawah untuk kenali lebih mendalam lagi masalah orgasma pramatang yang menghantui sesetengah golongan kaum hawa ini.

    Baca lebih lanjut tentang Kesihatan Seksual di sini.

    Wanita ‘puas’ awal mungkin hadapi tekanan perasaan

    Selalunya kita hanya dengar lelaki sahaja yang ‘pancut awal’. Tapi, boleh ke wanita pun klimaks awal?

    Ya, masalah cepat orgasma sebenarnya turut menghantui kaum wanita! Keadaan orgasma terlalu cepat pada wanita adalah sama dengan masalah ejakulasi pramatang lelaki.

    Apabila seorang wanita ‘habis’ awal, sukar untuknya meneruskan hubungan kelamin kerana nafsunya yang sudah terpadam.

    Selain itu, wanita yang sudah mencapai klimaks juga mempunyai vagina yang lebih sensitif. Kadang-kadang, hubungan seksual selepas orgasma boleh jadi sangat menyakitkan.

    Klimaks terlalu awal bukan sahaja akan jadi masalah, malah boleh buatkan wanita rasa gelisah, rendah diri dan tidak puas ketika melakukan seks.

    Memang benar, siapa tak suka rasa puas ketika berasmara. Namun, jika terlalu awal orgasma, bagaimana pula dengan kepuasan pasangan?

    Ini merupakan kerisauan terbesar milik wanita dengan premature orgasm atau orgasma pramatang yang menghantui 3% daripada semua wanita di seluruh dunia.

    Wanita klimaks awal – masalah seks wanita yang selalu dipandang enteng

    masalah seks wanita

    Masalah wanita orgasma awal malangnya tidak mendapat perhatian yang sama seperti ejakulasi pramatang lelaki.

    Masalah ini kerap terlepas pandang kerana lebih ramai wanita yang mempunyai masalah untuk klimaks.

    Jarang untuk kita dengar wanita mempunyai masalah orgasma pramatang.

    Selain itu, wanita juga mungkin tidak mahu berasmara atas alasan tidak ada mood. Tidak ada keinginan untuk berasmara merupakan punca utama wanita tidak mahu melakukan seks.

    Menurut Carvalho, hampir tiada langsung kajian yang menyentuh tentang masalah wanita yang mempunyai masalah klimaks dengan sentuhan yang minimal.

    Oleh itu, dalam kajiannya, Carvalho telah menjalankan tinjauan ke atas 510 wanita Portugis berusia 18-45 tahun.

    Dapatan beliau mendedahkan bahawa kebanyakan wanita pernah mengalami orgasma lebih awal daripada apa yang mereka harapkan.

    Daripada keseluruhan wanita yang mengambil bahagian, 14% wanita melaporkan selalu mengalami orgasma terlalu awal.

    Tambah lagi, 3% daripada wanita tersebut dikesan mengalami orgasma pramatang.

    Wanita yang mempunyai orgasma pramatang selalunya akan klimaks dalam masa yang singkat dan tidak boleh mengawal orgasma sendiri.

    Selain itu, menurut Universiti of Chicago 2005 National Health and Social Life Survey, 10% daripada wanita melaporkan bahawa mereka juga mengalami masalah klimaks dengan terlalu cepat.

    Kajian ini menyokong dapatan Carvalho bahawa masalah orgasma pramatang dalam kalangan wanita bukanlah sesuatu yang luar biasa.

    Wanita yang mempunyai masalah ini selalunya akan rasa stres terhadap aktiviti seksual mereka.

    Mereka juga selalunya mengelak berjumpa dengan doktor kerana masalah malu yang menebal.

    Anda juga mungkin berminat:

    Wanita jangan abaikan masalah capai klimaks

    klimaks wanita

    Kajian mendapati seramai 9.1% lelaki dan 13.4% wanita berumur 16- 21 tahun melaporkan mempunyai masalah dalam hubungan seksual mereka dalam masa 3 bulan ataupun lebih.

    Masalah yang paling besar untuk kaum lelaki ialah klimaks terlalu awal (4.5%), manakala wanita pula sukar untuk mencapai orgasma (6.3%).

    Namun, hanya 1/3 sahaja daripada lelaki dan wanita yang mempunyai masalah ini bertindak berjumpa dengan profesional.

    Individu yang mengalami masalah dalam hubungan seksual tak perlu malu untuk mendapatkan nasihat doktor.

    Jika dibiarkan, individu yang berdepan masalah ini boleh alami tekanan perasaan akibat kesukaran untuk memuaskan pasangan.

    Selalunya, masalah berkaitan dengan prestasi di ranjang lebih banyak memberi impak kepada lelaki berbanding wanita.

    Walau bagaimanapun, bagi wanita, ia bukanlah isu yang boleh menjurus kepada depresi atau keresahan seperti yang dirasakan oleh kebanyakan lelaki.

    Kebanyakan wanita mengakui mereka klimaks terlalu awal kerana rasa teruja untuk bersama dengan pasangan mereka.

    Selain itu, mereka juga mungkin telah terlalu lama berpisah dan tidak melakukan hubungan seks untuk jangka masa yang panjang.

    Walau bagaimanapun, bagi wanita yang benar-benar mengalami masalah orgasma pramatang ketika melakukan seks, mereka mungkin rasa tertekan.

    Ini kerana mereka tidak berupaya memuaskan pasangan ketika bersenggama.

    Jika anda perlukan nasihat yang lebih lanjut, lawatilah doktor yang bertauliah berdekatan anda untuk konsultasi. Mereka mampu membantu anda menyelesaikan permasalahan ini.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 15/06/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan